Lambat Jodoh

Assalamualaikum. Izinkan saya perkenalkan nama saya Nur. Ibu kepada dua anak. Cuma perkongsian kisah jodoh saya yang agak lambat tiba. Moga moga ada manfaat.

Saya mengimbau kehidupan saya beberapa tahun yang lalu, atau lebih tepat lagi sebelum saya bertemu jodoh. Kehidupan bujang yang serba ringkas dan pantas.

Di usia yang sudah melepasi 30 an, balik kampung saja, pasti tak terlepas dengan tembakan soalan dari makcik pakcik sepupu sepapat rakan taulan, ‘bila nak ada teman?’.

Maklumlah, adik adik yang 3 orang tu sudah ‘lepas’. Kakak sulungnya bila lagi?

Selalunya saya jawab dengan senyuman. Kadang dengan sengihan. Ada juga jawapan saya berbaur mohon doa pakcik makcik semua. Tak lupa, dalam senyum sengih tu, sempat lagi meminta tolong. Tolong cari kan Kak Nur seorang suami! Hehe…

“Kak Nur tak ada pakwe?“

“Takde… takde orang ndak barangkali!“. Jujur jawapan takde putar belit. Apa nak malu ye dak?

Mungkin sebab tu..sepupu saya Kak Ma dan arwah Acik Nor, adik saya Nadirah & Nadiah, kawan mak, kawan kawan seopis, kawan serumah, Mardhiah. Hatta member blog (Ibu Ena) yang tak pernah bersua muka juga antara mereka yang pernah menjadi ‘orang tengah’ dalam proses mencarikan saya calon suami.

MasyaAllah.. betapa syukurnya saya waktu tu, dalam tiada masih ada yang kisah. Saya tak pernah menolak siapa siapa yang ingin diperkenalkan kepada saya, walau siapa pun dia. Bak kata kawan saya tu, kenal-kenal dulu. Mana la tahu…

Tapi….saya harus akur dengan takdir Tuhan, dalam ramai ramai yang diperkenalkan, tiada seorang pun yang ditakdirkan berjodoh dengan saya.

Memilih?

Mesti!

Kecewa?

Tak pernah walau sekali. Bahkan syukur yang tak putus sebab saya tahu, mereka bukanlah yang terbaik buat saya.

Hati saya juga pernah terdetik, jodoh saya bukan kat atas dunia ni, tapi kat sana nanti. Dia tak sempat jumpa saya, dah jumpa ajal dahulu kot. Ya, saya pernah terfikir begitu.

Another ‘positive side’ yang selalu saya ingatkan kat diri sendiri sebab lambat jodoh ni, Dia nak suruh saya berbakti lebih kat mak ayah ni.

Mana tak nya, kalau saya pulang ke kampung, mak selalu kata kat saya,

“Kak Nur ada balik ni, senang lah mak!”

Boleh kata semua kerja rumah saya beres kan, dari hal memasak, mengemas, membasuh. Bahkan tiada istilah balik kampung nak makan masakan mak. Tapi lebih kepada, nak masak apa untuk mak.

Maklum lah anak sulung kan. Perempuan pula tu, sifat tanggungjawab memang terlebih sedikit la. (masuk bakul sendiri jap) . Tambahan pula saya punyai adik adik yang ramai.

Saya pernah dengar ceramah seorang ustaz perihal jodoh lambat ni, salah satu sebabnya, mungkin hati ibu yang paling dalam itu sendiri yang tak sedia untuk ‘lepaskan’ anaknya.

Pasal tu kot, Allah tak izin lagi. Sebab mak tak sedia lagi untuk ‘berkongsi’ saya dengan sesiapa. Detik hati saya. Tapi saya tak kisah pun. Apa saja untuk mak. Hatta nyawa pun saya sanggup kasi. Setakat tak berjodoh ni, apa la sangat kan.

Bahkan beberapa purnama sebelum saya berjumpa jodoh dengan suami, saya sudah persiapkan diri dan hati untuk hidup sendiri hingga akhir nanti. Kononnya dah pasrah dan redha, takpe la tak berjodoh pun. Ada sebab Allah tak kasi jodoh ni, ada sebab.

Tapi di sebalik semuanya, saya tak pernah hilang yakin dan putus harap, bahawa setiap yang Allah jadikan itu baik semuanya.

Walau apa pun episod kehidupan berjodoh atau tak berjodoh, atau apa saja keadaan, ujian yang mungkin datang menghimpit, menghentam, merenyuk hati dan diri, serahkan semua kepada Tuhan.

Kerana ada hikmah tersirat yang kita mungkin takkan pernah faham… dalam perjalanan menuju Tuhan.

– Nur (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *