Lara Derita Kerana Ibu

Hi. Nama aku Lara, anak sulung, perempuan, bekerjaya dan alhamdulillah stabil kewangannya namun, gagal dan kecundang mental dan emosinya. Dari tatapan umum, kehidupan aku sempurna.

Dari seorang anak kampung yang tidak punya apa apa, kini punya segalanya. Kereta, rumah dan kerjaya tetap di usia yang muda. Aku telah memiliki segala yang diidamkan oleh anak muda seawal usia 20an.

Sangkanya aku bahagia, tapi tidak. Ada trauma, amarah, kekosongan, kesunyian dan kesedihan yang membelenggu aku tanpa aku tahu bila semua ini akan berakhir.

Segalanya bermula apabila ayahku pergi meninggalkan aku buat selamanya ketika aku ditahun akhir pengajian.

Bermulalah peranan aku sebagai anak sulung yang bertanggungjawab keatas segala hal. Aku sendiri yang meletakkan tanggungjawab yang berat ke bahuku. Kalau bukan aku siapa lagi?

Segalanya tampak normal, aku berusaha keras menjadi contoh yang baik buat semua orang. Sehinggakan aku jauh meninggalkan cara fikir adik adik dan keluarga yang lain melalui pendidikan, pengalaman dan pembacaan.

Boleh dikatakan aku sempurna di mata adik adik mahupun orang luar. Akulah sumber rujukan. Akulah tempat bergantung harap semua. Aku jaga semua orang, tanpa aku sedar aku mengabaikan diri sendiri.

Disinilah aku mula terkesan dan nampak bahawa aku sudah tidak berlaku adil pada diri aku sendiri. Aku mengalami depression di usia awal 30an.

Di usia ini, aku sedar bahawa aku memilik seorang ibu yang toksik dan narsisistik. Berat perkataan ini, tapi itulah hakikat yang aku perlu perlahan lahan terima. Sepanjang kehidupan aku, segalanya diuruskan oleh ayah.

Kini baru aku sedar, beruntungnya ibu mendapat ayah sebagai suami. Luka nya aku sehingga aku merasakan andai kata ayah masih hidup, ingin aku katakan ‘ayah, tolong, taknak dia sebagai ibu.’

Setelah ayah pergi, ibu bercinta dengan seorang lelaki asing yang lebih muda dari adik lelakiku sendiri. Beraninya ibu sehingga membawa lelaki tersebut tidur di rumah, yang mana ada adik perempuan aku disitu. Hati aku sangat hancur.

Keputusan ibu terlalu terburu buru, malah beribu-ribu wangnya dihabiskan untuk membeli keperluan, kereta dan pakaian lelaki tersebut.

Keputusan ibu untuk berkahwin dihalang oleh aku dan adik. Ibu mengambil keputusan untuk telan panadol, dengan alasan kami tidak lagi menyayanginya.

Tanpa dia sedar, kerana sayanglah kami menghalang. Ada yang mengatakan ibu terkena minyak dagu. Entahlah, aku tiada ilmu dalam menilai hal hal seperti itu. Yang pasti, ibuku bukan macam ibu orang lain : penuh kelembutan yang boleh dijadikan contoh buat anak anak.

Apa yang aku tahu, aku tak nak jadi seperti ibuku. Semakin hari ibu semakin teruk, keras hatinya. Kasar bahasanya. Palsu tindakannya.

Seperti orang muda gaya dan lagaknya. Pemakaian dan tindakan tidak sejajar dengan usianya yang sudah 50an. Depan umum, baik. Tidak ada yang menyangka apa yang dilakukannya pada kami adik beradik.

Aku memendam rasa, aku kecewa. Mati akal aku sebagai anak untuk menegur atau menasihati ibu. Selang beberapa tahun,lelaki tersebut pulang ke negara asalnya.

Oleh kerana tiada yang membantu dalam hal pernikahan mereka dan lelaki tersebut tidak pulang ke Malaysia, lelaki tersebut terus luput dalam sebutan harian ibu.

Sangkanya ibu kembali normal. Tapi tidak, ibu terus menerus bersikap kasar. Pada hari graduasi aku yang tertangguh kerana covid, aku menyatakan pada ibu untuk hadir.

Keras dia menjawab ‘pergi buat apa?’. Sedangkan segala persediaan dari hotel, kenderaan semuanya telah pun aku sediakan. Begitu sekali berdendamnya ibu dengan anak sendiri.

Ibu telah membuat satu lagi tindakan tidak wajar. Dia menikah dengan seorang lelaki asing. Dan lelaki asing tersebut nyata sudah berkeluarga.

Lebih mengecewakan aku apabila, ibu menikah tanpa pengetahuan aku dan adik adik. Malah tanpa pengetahuan abangnya sendiri.

Lebih meruntunkan aku sebagai anak apabila mengetahui, isteri lelaki tersebut tidak mengizinkan pernikahan tersebut dan menyerang ibuku di media sosial.

Pernikahan ibu juga mencurigakan tanpa sebarang dokumen sah dan jurunikah yang berdaftar. Nikah sindiket. Iye, itulah ibuku.

Sebagai anak, hanya kesedihan yang mampu aku suarakan. Tiada daya dan tindakan lagi yang aku mampu perbetulkan.

Aku berusaha keras demi keluarga ini, tidak berkahwin saat rakan sebaya sudah memiliki keluarga sendiri. Aku memilih bujang kerana ibu. Tapi depression yang aku dapat.

Aku pujuk diri aku sendiri. Setiap kali usai solat, aku peluk diri aku sendiri memikirkan betapa sunyi dan sakitnya ujian ini.

Aku betul betul diuji dengan hal yang aku cintai : ibu. Setiap kali mengenangkan hal ini seolah olah tiada langsung jalan penyelesaian.

Fasa berjumpa therapist adalah fasa sangat berat bagi aku, dimana aib, keburukan ibu sendiri satu persatu aku fahami dan perhalusi. Fasa ini sangat meletihkan dan menyakitkan. Sulit untuk aku kekal waras, apabila diuji Tuhan dengan ibu sendiri.

Pernah terdetik di hati, aku bukan nabi, mengapa berat sangat ujian yang aku lalui. Setidaknya nabi itu ada pengikut setia, isteri saat diuji.

Tapi aku sendiri?

Hal hal salah dan dosa yang ibu lakukan, aku hanya mampu memandang sepi. Jika ditegur, ibu akan mengugut dengan nyawanya sendiri.

Pokoknya asal ditegur, soal nyawa nya dijadikan ganti. Kini aku sendiri menjauhkan diri dari keluarga. Dibelenggu soalan, ‘derhakakah aku membiarkan ibu begitu?’

Tapi aku tak mampu. Kehidupan seharian aku sangat berat. Aku bertarung dengan diri sendiri. Fizikalnya mungkin nampak sihat, tapi pergelutan emosi setiap hari yang aku perlu lalui sangat menyakitkan.

Aku menulis ini kerana, ingin pembaca menilai dari sudut aku : seorang anak yang diderhakai ibu sendiri. Ibaratnya diluah mati emak ditelan mati bapa. Apa pun tindakan atau jalan yang aku ambil seolah olah serba tak kena.

Kerana ia melibatkan ibu. Andai kata ada dikalangan rakan kalian yang senasib denganku, rayuku, berhentilah meminta insan-insan seperti aku untuk sabar, kerana itu adalah hal pertama yang kami sedang lakukan.

Yang senasib denganku, peluk dan doa dari kejauhan aku titipkan. Semoga kita mampu melalui semua ni, walau taktahu entah bila pengakhirannya.

Mengubah pattern toksik dalam keluarga itu sukar, mungkin ada yang terluka atau terkorban. Tapi yang pasti akan aku pastikan, anakku tidak menderita lara yang sama seperti ini.

– Lara (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *