Late Night Thoughts: Aku & Depresi

Seperti yang tertulis di tajuk, aku hanya ingin berkongsikan cerita dan fikiran lewat malam aku. Maaf andai aku tidak dapat memperkenalkan diri, cukuplah aku dikenali sebagai insan yang berdosa.

Aku adalah seorang pelajar IPTA yang berumur 20an. Tulisan ini ditulis kerna aku ingin berkongsi setiap fikiran lewat malam aku, dan mencari sedikit kekuatan dari dunia luar.

Maaf jika tulisan ini agak panjang dan mungkin sukar untuk difahami bagi sesetengah pihak. Dengan ini, bermula lah cerita aku. Selamat membaca.

Kadang-kadang aku terfikir apa itu makna kemaafan.

Adakah memaafkan juga beerti melepaskan? atau memaafkan dan melepaskan adalah dua perkara yang berbeza. Kerna tak semestinya kita melepaskan bermakna kita memaafkan, tapi bila kita memaafkan bearti kita juga melepaskan.

Aku juga terfikir kenapa sukar untuk kita memaafkan seseorang?

Adakah disebabkan orang yang melakukan kesalahan itu tidak pernah meminta maaf atau hanya kerna kita yang tidak mahu memaafkan? Walaupun perit dan sakit untuk terus hidup pada masa silam.

Andai aku mengerti apa erti sebenar kemaafan adakah aku juga bisa memaafkan? Mungkin bagi sesetengah orang tidak akan faham bahawa terdapat perit dalam kemaafan.

Ya betul, indahnya terdapat pada selepas kita memaaf dan melepaskan.

Aku pernah terbaca satu pernyataan yang menyatakan bahawa kebanyakan orang yang mempunyai masalah mental adalah disebabkan mereka sendiri enggan keluar daripada situasi itu ataupun dalam in-denial. Aku partially setuju dengan pernyataan itu.

Terdapat dua jenis situasi sama ada “susah” atau “tidak mahu”. Situasi “tidak mahu” itu adalah in-denial dan refuse to get help.

Manakala aku pula berada dalam situasi susah untuk melepaskan. Aku sentiasa mencuba dan berusaha walaupun aku tidak tahu pengakhiran kepada cerita aku atau sejauh mana sudah perjalanan aku.

Mungkin jika kalian ada mengenali individu yang mempunyai masalah mental pernah berfikir bahawa mereka ini terlalu banyak beralasan.

Ya, ini betul. Aku mengakui aku juga banyak memberi alasan di saat aku penat dan tersungkur, tetapi itu tidak bermakna aku tidak akan bangkit dan meneruskan perjalanan aku.

Kadang-kadang dengan beralasan ini adalah satu cara untuk aku melepaskan penat dan meluahkan perasaan aku.

Aku bukanlah jenis orang yang mampu menyatakan isi hati dan fikiran aku kerna sedari kecil aku belajar untuk pendamkan kesakitan yang aku rasa.

Aku sedar bahawa aku belum mampu untuk memaafkan kerna setiap kali aku memikirkan kembali setiap apa yang terjadi, hati aku masih sakit dan tekak aku masih perit. Namun aku faham bahawa hasil yang terbaik hanya datang kepada mereka yang terus mencuba.

Oleh itu, aku sentiasa mencari cara untuk aku melepaskan semua memori gelap aku. Kau tahu kenapa mereka yang mempunyai masalah mental ingin difahami?

Kerna fikiran mereka terlalu bercelaru sehingga mereka sendiri pun sukar untuk memahaminya.

Apa yang mereka inginkan adalah bertentangan dengan apa yang mereka rasa. Seperti aku yang berfikir kenapa harus aku memaafkan sedangkan aku ters3ksa sendirian, tetapi aku juga ingin memaafkan kerna aku sudah penat berjuang dan hidup di dalam dunia aku sendiri.

Tiada satu pun antara ahli keluarga aku yang dapat menerima keadaan aku begini, dan sebab itu juga tidak mahu menunjukkan sisi gelap depresi aku kepada mereka. Kerna aku tahu aku lah yang akan dipersalahkan nanti.

Harapan aku untuk setiap tahun adalah untuk memaaf dan melepaskan dengan hati yang ikhlas. Orang yang melakukan kesalahan itu sendiri tidak pernah meminta maaf juga punca aku sukar untuk memaafkan.

Tetapi adakah aku yakin bahawa aku dapat memaafkan seikhlas hati andai dia sudah meminta maaf? Jawapannya ialah tidak. Sebabnya ialah untuk kita memaafkan seseorang kita perlu bermula dengan memaafkan diri sendiri.

Masalah orang yang ada depresi ini ialah mereka sentiasa meletakkan kesalahan ke atas diri mereka sendiri.

Bagaimana harus aku memaafkan apabila hati aku masih sakit dan membenci diri aku? Untuk memaafkan diri sendiri aku perlu menyelami semua memori gelap aku untuk melepaskan ia satu demi satu.

Namun aku tidak kuat. Aku masih berharap bahawa aku akan mendapat closure yang aku inginkan walaupun aku sedar itu adalah mustahil sehingga ke hujung nyawa aku.

Percayalah bukan aku tidak mencuba tetapi aku belum ada kekuatan itu. Aku akan sentiasa mencuba biarpun aku gagal berkali-kali untuk aku menyelamatkan diri dari dunia gelap ini.

Most painful fight is a fight within yourself. Aku tahu aku perlu kuat demi diri, tetapi aku juga perlu kekuatan dari orang sekeliling di saat kekuatan diri ini mulai surut.

Jujur aku sedih bahawa bukan aku keluarga aku yang memberikan kekuatan kepada diri ini, namun aku tetap menjadi mereka sumber kekuatan aku walaupun mustahil untuk aku membicarakan hal ini dengan mereka.

Perkara yang lebih menyakitkan adalah aku sedar akan situasi aku. Namun aku bingung ke mana yang harus aku tuju.

Hidup aku diibaratkan seperti dalam satu bulatan yang gelap dan di luar bulatan itu ialah dunia sebenar yang kalian duduki sekarang.

Aku sedar akan setiap perkara yang berlaku di dunia luar: gembira mahupun sedih, namun aku tetap takut untuk melangkah ke sana.

Aku bagai di penjarakan dengan fikiran aku sendiri. Setiap detik gembira yang berlaku, aku turut ikut ketawa sendirian di duniaku.

Sinar cahaya di luar bulatan itu membuatkan aku ingin keluar namun disebabkan ketakutan dalam diri hanya meninggalkan aku terperangkap dan ters3ksa di antara dua dunia.

Sedari kecil hanya dunia gelap ini yang aku kenal, maka sudah semestinya untuk aku memasuki dunia yang berbeza aku akan takut.

Semakin hari semakin hati ini meronta melihat keindahan dunia yang sebenar, namun kaki ini berat untuk melangkah kerna aku tidak tahu apa yang bakal menanti aku di sana.

Adakah keindahan itu benar atau hanya tipu yang mengaburi mata?

Walaupun begitu aku tetap mencuba menggerakkan langkah walau hanya sedikit untuk meninggalkan dunia gelap ini. Kerna aku percaya tidak wujud pelangi tanpa hujan. Langit juga tidak sentiasa cerah dan begitulah kehidupan manusia.

Aku sentiasa cuba untuk positifkan diri bagi menyuntik sedikit harapan kepada diri yang sedih ini.

Bagi orang yang mengenali diri ini pasti tahu perangai aku yang seakan kanak-kanak, itu adalah topeng yang aku pakai untuk mengaburi mata orang sekeliling dan juga mata diri dengan harapan aku akan menggapai kebahagiaan sebenar satu saat nanti.

Maaf dan terima kasih aku ucapkan kepada orang yang sentiasa bersabar dalam menemani aku.

Aku berharap agar dapat terus menunggu saat aku datang membawa kejayaan diri kerna ucapan tahniah darimu adalah pengakhiran kepada cerita sedih ini. Ini adalah apa yang aku harapkan.

Selamat malam.

– Insan berdosa (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *