Lawatan Antenatal Klinik Kesihatan

Assalamualaikum. Terima kasih jika pandangan ini disiarkan. Sekadar hendak melontarkan pendapat tentang lawatan antenatal ke klinik kesihatan. Saya Anonymous dan ini adalah sedikit luahan.

Kisahnya, saya mengandung lagi, alhamdulillah. Rezeki Allah hadir tanpa diduga, mungkin Allah ingin menguji dan menambah kualiti saya dan suami sebagai ibu bapa. Anak nak masuk dua dah, jangan main-main lagi dengan parenting ya.

Nak dipendekkan cerita, pregnancy ini adalah unplanned, bermaksud saya termengandung selepas saya dan suami merancang sendiri.

Kami sangat yakin yang kami memang menjaga 100% ketika sedang merancang, namun lepas saya dapat tahu yang saya mengandung, baru saya sedar sebenarnya kaedah merancang yang kami guna sebelum ini tidaklah berkesan sepenuhnya.

Seperti biasa, saya agak saya akan terima bebelan nurse di KK. Lepas buat pregnancy check, saya dibebel oleh Dr.

Katanya, “Tak boleh macam ni, kesian anak, kesian diri sendiri,” dan sekian-sekian. Saya diamkan sahaja. Kemudian, waktu buka buku pink, saya ditegur sedikit sahaja oleh nurse.

Katanya, “Kasihan dekat anak (sebab anak saya baru nak masuk setahun). Kecik lagi tu. Kesian dekat awak juga la,” kata nurse tu lembut. Lepas ditegur begitu, tiada lagi bebelan, semua kerja seterusnya dijalankan dengan baik sekali.

Sejujurnya, saya tidaklah terasa hati dengan teguran itu. Cumanya, saya terfikir beberapa perkara. Apakah teguran Dr. dan nurse tidak mengesani hati ibu-ibu lain yang juga mengandung anak rapat-rapat?

Dalam kes saya, hanya Allah yang tahu betapa saya dan suami menjaga dan merancang cara kami dan kami sangat yakin yang kami tidak culas.

Selepas termengandung, saya membaca beberapa sumber dan barulah saya tahu bahawa teknik yang kami gunakan hanya berkesan sebanyak 79% dan masih ada peluang untuk mengandung.

Baru saya sedar kami tersilap dalam merancang. Sedangkan, suatu masa dulu ibu saya juga menggunakan cara merancang yang serupa seperti kami dan alhamdulillah, kaedah itu berjaya selama ibu dan ayah saya merancang jarak umur anak-anak mereka.

Kalau dalam kes saya ni merancang tapi tidak menjadi, mungkin tidak bagi semua ibu di luar sana. Kita tidak tahu bagaimana keadaan rumahtangga mereka.

Mungkin mereka mahu menjarakkan kandungan, tetapi suami tidak bagi kerjasama. Mungkin mereka adalah mangsa keganasan rumahtangga.

Mungkin dia memang merancang untuk anak rapat dan dia ada matlamat dan perancangan yang rapi untuk anak-anaknya nanti.

Saya ada seorang rakan, anak 2 orang rapat-rapat sebab dia merancang begitu. Alhamdulillah, disebabkan dia ada matlamat yang betul, maka anak-anaknya memang terjaga dengan sangat baik dan rumahtangganya juga tetap terurus.

Jadi, saya rasa terpanggil untuk memberi pandangan.

Bagi saya, saya sangat setuju apabila Dr. dan nurse memberi nasihat yang berterusan kepada ibu-ibu selepas mereka melahirkan anak. Nasihat-nasihat seperti jaga jarak kandungan atas faktor kesihatan mental dan fizikal, dan lain-lain.

Nasihat yang konsisten sebagai peringatan di samping beberapa panduan parenting kepada ibu-ibu (dan juga bapa yang turut hadir dalam lawatan susulan di klinik),

Terutama bagi ibu-ibu yang mempunyai risiko penyakit yang tinggi (komplikasi ketika mengandung atau mempunyai sejarah penyakit kemurungan).

Tetapi, apabila datang si ibu memberitahu bahawa dia mengandung lagi (sedangkan anak belum masuk umur 1 tahun), sebelum melontarkan kata-kata seperti,

“Kasihan anak”, “Eii tak boleh macam tu”, lebih baik bertanya dulu adakah kandungan ini dirancang atau tidak, adakah menggunakan kaedah merancang yang betul, dan soalan-soalan yang relevan.

Ketika saya menerima teguran seperti, “Kasihan kat anak tu, kecil lagi,” sejujurnya hadir perasaan bercampur-baur.

Ya, saya kasihankan anak saya yang masih kecil. Saya juga teramat sibuk dengan kerja ketika ini. Tapi, statement tu juga secara tidak langsung, membuatkan saya rasa, ‘salahkah aku mengandung?’ ‘Anak dalam perut ni salahkah sebab membesar dalam rahim saya sekarang?’

Sebab itu, keadaan ini membuatkan saya terfikir, sekiranya saya yang sihat pun terkesan dengan soalan begitu,

Bagaimana pula jika soalan ini diajukan kepada ibu-ibu yang sedang mengalami kemurungan atau mood disorder contohnya. Tidak mustahil teguran seperti ini akan memberi kesan negatif kepada emosi mereka.

Saya harap penulisan ini mendapat perhatian doktor-doktor dan jururawat di luar sana untuk menjawab persoalan saya.

Saya tidak tahu mungkin mereka mempunyai pendekatan dan cara komunikasi yang berbeza terhadap ibu-ibu yang ada masalah kemurungan atau anxiety yang termengandung anak rapat-rapat. Jika ada, saya berminat untuk tahu.

Akhir sekali, mohon maaf sekiranya ada yang terkesan dengan penulisan ini.

Saya amat menghormati tugas-tugas frontliners di Malaysia dan penulisan ini adalah sekadar memberi pandangan peribadi di samping memohon pendapat yang lebih tepat.

Terima kasih.

– Anonymous (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *