Assalamualaikum & selamat sejahtera kepada pembaca² semua. Terima kasih admin andai confession aku ni diterbitkan.
Korang pernah tak ada perasaan benci dengan ayah kandung sendiri? Pernah tak rasa bahagia kalau ayah korang tak ada dekat rumah?
Pernah tak berdoa semoga ayah korang mati dulu daripada ibu korang? Pernah tak berdendam dengan ayah sendiri? Pernah tak? Aku sampai sekarang alami perasaan ni.
Aku tau sebagai anak, aku tak patut ada perasaan macam ni. Aku benci perasaan ni. Aku cuba nak ikhlas, aku cuba nak redha tapi ya Rabbi, sangat susah bagi aku nak buang perasan ni. Susah! Sangat susah.
Aku ceritakan secara ringkas latar belakang family aku. Aku anak perempuan sulung daripada 2 beradik. Aku ada adik lelaki. Adik aku ni tak normal macam orang lain.
Masa adik aku kecil, doktor tentera dekat kem Abah aku berkhidmat tu syak adik aku ni mungkin autism. Doktor tu siap buat referal letter untuk adik aku dirujuk ke bahagian pakar kanak-kanak HKL, untuk further check up.
Tapi Abah aku buat tak kisah je. Sampai la sekarang ni, adik aku dah 22 tahun pon. SPM pon failed, nak minta kerja pon susah.
Emak aku seorang suri rumah tangga. Emak belajar sampai SRP je (kalau zaman sekarang ni PT3 la) tapi bukan sebab Emak tak bijak. Tapi sebab kemiskinan. Family Emak aku susah, Emak pula anak sulung. Jadi lepas SRP, Emak kerja kilang tolong keluarga dia.
Abah pulak seorang bekas tentera. Walaupun Abah seorang bekas tentera, Abah langsung tak ada disiplin. Baju sepah merata, lepas makan pinggan dibiar macam tu saja.
Abah seorang yang pemboros dan suka berhutang. Duit pencen dia beratus ribu, habis macam tu je, tak ada hasil apa pon. Yang tinggal sekarang ni hanyalah hutang keliling pinggang.
Kalau orang yang tak kenal Abah, mesti orang tu akan ingat Abah seorang yang alim. Sebab Abah suka pergi masjid, siap jadi AJK masjid.
Kurta dan kopiah tak pernah lekang. Tapi hakikatnya, hanya alim-alim tahi kucing. Pakaian dan perilaku luaran tu hanyalah topeng semata-mata.
Realiti sebenar hanya kami sekeluarga yang tahu. Pakaian tidak menjamin tahap kealiman, keimanan dan kesolehan seseorang ye rakan-rakan sekalian.
Mulut Abah pula kadang-kadang tu ringan je kata Emak bengong la, lembab la. Aku pon pernah je dibodohkan oleh Abah.
Depan orang ramai, Abah layan emak macam permaisuri. Ramai yang jeles dengan Emak. Ramai yang kata Emak bertuah dapat suami macam Abah. Tapi realitinya, dekat rumah abah layan Emak macam kuli.
Abah suka mengarah Emak itu ini, dia nak Emak layan dia umpama raja. Emak ada kencing manis, kaki Emak selalu kebas-kebas, jadi tak boleh berdiri lama-lama.
Abah tau Emak sakit tapi Abah tak pernah tolong Emak buat kerja rumah. Emak selalu telefon aku, mengadu dekat aku yang dia penat. Pilu hati aku.
Kalau la aku mampu, memang aku nak je upah orang gaji untuk Emak aku. Abah aku juga pantang ditegur. Walaupun dah terang lagi bersuluh yang dia salah, dia tetap anggap dia betul.
Kadang-kadang kan, dia punya usaha nak tegakkan benang yang basah tu, sampai menampakkan kebodohan diri sendiri. Hmmm.
Sepanjang 27 tahun aku hidup, tak banyak pengalaman manis aku dengan Abah. Masa kanak-kanakku, memang penampar sepak terajang tu jadi makanan aku. Pantang silap sikit memang akan kena.
Tapi Emak selalu nasihat, Abah pukul Along, Abah marah Along tu sebab Abah sayang. Abah nak Along berjaya dalam hidup.
Okay, aku terima nasihat Emak aku. Aku sematkan dalam kepala otak aku, jangan buat salah kalau tak nak kena marah. Kena jadi budak baik kalau tak nak kena pukul.
Alhamdulillah, aku jadi orang la. Dekat sekolah aku top student, setiap tahun memang muka aku je yang naik pentas ambil anugerah kecemerlangan. Abah juga selalu ambil duit raya aku.
Orang lain, selalu dapat duit raya daripada ayah masing-masing, tapi aku? Setiap tahun duit raya aku habis macam tu je.
Ayat “…Abah pinjam dulu, nanti Abah ganti balik…” dah selalu sangat aku dengar. Hakikatnya memang tak pernah dapat balik pon la.
Bukan setakat duit raya aku Abah minta, dengan duit tabung aku pon Abah pernah pecahkan. Sedih aku, penat-penat aku menabung, ikat perut tak makan waktu rehat tapi duit habis lesap macam tu je.
Bukan setakat duit aku, rantai & gelang emas aku yang Mak Ngah aku hadiahkan pon Abah gadai.
Satu-satunya memori indah zaman kecil yang aku ingat, Abah pernah belikan kek coklat favourite aku masa birthday aku yang ke-10. Zaman remaja pon aku tak ada memori yang indah dengan Abah.
2008 – Masa ni aku 15 tahun, Abah curang dengan Emak. Betul la orang kata, naluri hati isteri ni, jangan dibuat main.
Mula-mula Abah tak nak mengaku tapi bila Emak tunjuk bukti, kantoi la dia, terciduk Abah dibuatnya. Buat pertama kalinya aku tengok Emak menangis teresak-esak.
Buat pertama kalinya Emak cerita masalah dia sepanjang perkahwinan dia dengan Abah. Baru aku tau, macam-macam yang Abah buat dekat Emak. Aku hanya mampu mendengar. Apa je seorang remaja 15 tahun mampu buat masa tu? Dipendekkan cerita, Emak dan Abah berbaik.
Abah berjanji dengan Emak dia takkan buat lagi. Setahun kemudian, Abah pencen tentera dan kami sekeluarga pindah balik kampung Abah.
Janji tinggal janji, Abah curang buat kali ke-2. Menangis lagi Emak depan aku. Kali ni hampir bercerai tapi Alhamdulillah, jodoh Emak Abah aku panjang. Bagi aku, Emak adalah orang yang paling penyabar yang pernah aku jumpa.
Macam-macam Abah buat dekat Emak. Macam-macam adik-beradik Abah mengata Emak. Subhanallah, aku kagum dengan kesabaran Emak. Tapi aku geram sebab Abah tak pernah hargai pengorbanan Emak.
Masa Abah dapat duit pencen dulu, satu sen pon Abah tak bagi duit tu dekat Emak. Dia jakun dapat duit beratus ribu. Sakan berjoli.
Dia mula berkawan dengan budak-budak muda yang selayaknya jadi anak dia. Emak dah pesan, dapat je duit pencen tu, beli rumah dulu.
Tapi Abah marah Emak. Abah tak dengar nasihat Emak. Abah dengar nasihat kawan-kawan muda dia. Kawan suruh beli kereta baru, Abah beli. Kawan suruh buat bisnes, Abah pon buat bisnes.
End up, satu hasil pon tak ada. Bisnes entah ke mana. Kereta kena tarik. Duit habis macam tu je.
Habis barang kemas Emak Abah gadai. Sampaikan rantai pusaka Emak pon Abah ambil gadai. Rumah pon tak ada, sampai sekarang hidup menyewa. Bila dah susah, kawan-kawan joli Abah pon hilang entah kemana.
2010 – Sementara tunggu keputusan SPM, aku kerja kilang, dalam sebulan lebih rasanya aku kerja. So dapat la merasa pegang duit sendiri.
Keputusan SPM aku pon agak cemerlang. Aku dapat 7A dan berjaya masuk kolej matrikulasi. Aku ada dapat anugerah pelajar cemerlang peringkat daerah, dapat la sijil dan duit RM300.
Cuba teka siapa yang ambil duit tu? Ye siapa lagi kalau bukan Abah. Merayu-rayu dia minta, katanya nak ganti balik. Tapi hampeh, burn macam tu je duit aku. Dalam 2 minggu sebelum daftar masuk matrik, Abah ada mintak duit gaji aku.
Katanya nak rolling modal bisnes dia. Tapi aku tak bagi la sebab aku dah bagi RM300 tu.
Disebabkan aku tak bagi Abah duit, Abah mengamuk dan Abah cakap dia tak nak uruskan pendaftran matrik aku. Terpinga-pinga la aku dengan Emak pergi pejabat ketua kampung uruskan cop untuk borang kemasukan matrik.
Aku dengan Emak jugak la yang pergi bayar yuran matrik, guna duit aku sendiri. Abah memang lepas tangan dan tak ambil tahu langsung.
Nasib baiklah pak cik aku tolong bawa aku pergi beli barang-barang keperluan. Pak cik aku ada juga la sponsor sikit-sikit dan bagi duit belanja sementara nak tunggu elaun matrik masuk. Nak harapkan Abah? Hmmmm.
2012 – Lepas habis matrik pon aku kerja kilang juga sementara tunggu keputusan UPU. Kali ni lama sikit aku kerja, dalam 3 bulan lebih juga sebelum dapat keputusan UPU.
Pisang berbuah dua kali nampaknya, Abah minta duit gaji aku lagi. Aku tak bagi, Abah mengamuk lagi dan dia sekali lagi tak ambil peduli urusan aku nak masuk universiti pula.
Sekali lagi aku berdua dengan Emak terpinga-pinga uruskan semua. Dan sekali lagi yuran kemasukan aku terpaksa bayar guna duit sendiri. Abah memang tak ambil peduli langsung. Aku sendiri yang usaha minta biasiswa kerajaan negeri.
Aku dengan Emak juga la yang terpinga-pinga ke pejabat KWSP untuk buat pengeluaran akaun kedua KWSP Emak untuk pengajian aku. Tapi akhirnya duit KWSP tu Abah aku yang ambil.
Duit biasiswa kerajaan negeri tu yang aku mohon sebelum ni dapat dalam bentuk cek atas nama aku, dipos ke rumah. Sebab cek tu nama aku, jadi hanya aku je yang boleh cash out kan cek tu.
Tapi Abah sanggup pos cek tu ke universiti aku dan paksa aku cash out kan cek tu dan masukkan ke akaun dia. Jumlah biasiswa tu RM1000, Abah minta semua.
Tapi aku dah bijak sikit masa tu, aku cakap banyak benda nak kena beli dekat universiti, buku rujukan mahal. Jadi aku bagi Abah RM300 je. Abah tak puas hati, tapi hati aku yang puas. Hahahaha.
2015 – aku tamat belajar. Masa ni Abah kantoi pasang perempuan lain. Abah curang lagi. Aku tak faham, Abah tak kaya, duit pon tak ada, kerja pon tidak tapi kenapa la perempuan suka dekat dia. Masa ni Abah addicted dengan FB dan WhatsApp.
Emak selalu mengadu yang Abah 24 jam dengan handphone je. Jadi satu malam tu, bila Abah tidur, aku geledah la handphone abah. Aku tengok mesengger dengan perempuan lain. WhatsApp pula dengan perempuan lain. Ya Allah, geramnya aku masa tu, geli geleman aku baca mesej dorang.
Aku terus block perempuan-perempuan tu dekat FB dan WhatsApp Abah. Aku tak berani nak tanya Abah. Dan aku tak sampai hati, tak tergamak nak bagi tau Emak. Sampai sekarang aku simpan rahsia ni sorang-sorang. Wallaualam aku tak tau apa kesudahan kisah curang Abah kali ni.
2016 – aku mula bekerja. Gaji aku tak la tinggi mana tapi Alhamdulillah, cukup la untuk aku survive hidup di KL ni. Abah makin lepas tangan bila aku dah mula kerja.
Dia dah malas kerja, hutang pula makin banyak keliling pinggang. Tiap bulan mesti minta duit dekat aku walaupun aku dah bagi duit belanja dekat Abah. Duit belanja yang aku bagi dekat Emak pon Abah ambil. Sewa rumah di KL aku kena bayar. Sewa rumah di kampung lagi.
Duit belanja di KL, duit belanja di kampung. Bil-bil lain, duit PTPTN, kos transport dan makan minum aku lagi. Gaji aku memang cukup-cukup makan je, sampaikan aku tak ada simpanan untuk diri sendiri.
Kadang-kadang tu, bila Abah minta duit dan aku kata tak ada duit, mula la dia kata “…ada anak pon tak boleh tolong…”. Ya Allah, luluh hati aku.
Tak cukup ke pertolongan aku selama ni? Aku pon ada komitmen sendiri juga. Nak je aku cakap, “Abah yang cari masalah buat hutang keliling pinggang, bebankan anak bini, lepas tu nak cakap Along tak tolong?”.
Tapi aku mampu cakap dalam hati je la. Tak tergamak nak cakap dekat Abah macam tu walaupun aku dah geram tahap petala langit ke -7.
2018 – aku bergaduh besar dengan Abah. Punca utamanya sebab duit juga. Panjang untuk diceritakan. Tapi kerana duit Abah cakap yang aku ni anak tak guna.
Abah cakap yang selama ni aku layan dia macam pengemis sebab dia selalu minta duit aku (sumpah aku tak pernah anggap Abah pengemis). Abah cakap dia menyesal ada anak macam aku. Abah cakap dia kecewa dengan aku.
Macam-macam Abah kata dekat aku tapi yang paling buat aku terluka, Abah cakap aku bukan lagi anak dia dan dia bukan lagi Abah aku, dia haramkan aku panggil dia Abah, dia haramkan aku jejak kaki ke rumah di kampung (padahal duit sewa rumah tu aku yang bayar).
Aku screenshot semua kata-kata Abah untuk ‘kenangan’. Memang sedih sangat. Kes ni membuatkan aku semakin tawar hati dengan Abah. Siang di office aku la orang yang paling ceria, tapi setiap malam aku menangis sorang-sorang.
Aku tak ada sesiapa untuk bercerita. Nak bercerita dengan kawan, aku tak nak aibkan Abah aku. Seburuk-buruk dia, dia tetap Abah aku. Nak mengadu dengan Emak? Emak pon tersepit di antara anak dan suami. Jadi aku tak nak bebankan fikiran Emak. Nak cerita dengan adik?
Adik aku bukannya faham apa pon. Jadi aku pendam sorang-sorang dan kesannya, aku di diagnosed with mild depression.
Pernah terdetik di fikiran lebih baik mati daripada hidup. Dada aku rasa macam nak pecah, tak tau nak describe macam mana. Tapi Alhamdulillah, aku survived that battle. Battle with my own self.
2020 – tapi perjuangan aku sia-sia. Abah cari pasal dengan aku lagi. Puncanya? Apa lagi, duit la! Sejak PKPB 2.0 dilaksanakan di Klang Valley Oktober lepas, memang bajet bulanan aku lari sikit. Aku sangat terkesan dengan PKPB kali ni. Selalunya setiap hari aku pergi kerja naik bas.
Tapi sejak PKPB ni, laluan bas diubah dan bas dah tak lalu di kawasan rumah sewa aku. Jadi aku terpaksa la naik Grab. Pergi balik kos nya lebih kurang RM14-16 sehari. Jika sebulan, dah ±RM400. Tapi Abah tak faham.
Dia tak pernah cuba nak faham pon. Aku tak faham kenapa Abah tak nak kerja? Abah sihat walafiat, cukup sifat tulang 4 kerat.
Logiknya, bila tak ada duit, kita kena la usaha cari kerja. Tapi Abah aku tak nak usaha langsung. Apa dia ingat duduk goyang kaki main games, duit boleh turun daripada langit agaknya?
Abah minta duit aku lagi. Jujurnya baki duit aku memang cukup-cukup untuk belanja aku je. Bila aku tak bagi, macam biasa la Abah mengamuk. Tapi kali ni Abah tak directly mengamuk dekat aku.
Bila aku telefon Emak, Emak cerita yang Abah marah Emak. Abah tengking-tengking Emak sebab aku tak bagi Abah duit.
Abah tak bertegur sapa dengan Emak sebab Emak back up aku. 2020 ~ kegelapan menyapa aku lagi.
Sekarang ni, saat aku taip ni, 10 Nov 2020, aku rasa perasaan sama yang aku rasa pada 2018 tu. Dada aku sesak. Kepala aku berdenyut. Air mata aku laju mengalir. Aku rasa macam mayat hidup sekarang ni.
Tolong aku. Aku tak suka perasaan ni. Bantu aku untuk redha dengan perangai Abah aku. Sesiapa ada tips untuk lunaskan hutang, minta beri komen (terima kasih in advance for the tips given).
Bantu aku untuk ikhlaskan hati aku. Bantu aku untuk buang rasa benci terhadap Abah sendiri. Save me. Please help me bring myself to life again ~
– Along (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit