Layakkah Dia Peluang Kedua?

Assalamualaikum semua, terima kasih admin kerana siarkan cerita aku.

Cerita ini sedang terjadi dan masih aku alami.

Waktu sedang aku menulis ini (7/5/2023, 8.01 pm), hati aku dalam keadaan terluka yang amat dalam.

Ceritanya bermula dengan aku mengenali seorang lelaki. Sebenarnya dia sudah lama aku kenal, sejak dari zaman sekolah lagi.

Tapi aku terpisah seketika darinya kerana dia berpindah ke sekolah asrama penuh setelah tamat PMR pada tahun 2013. Sekarang umur kami sama sama 25 tahun.

Tahap perkenalan kami lebih serius semasa umur 23 tahun. Dia terlebih dahulu bergraduasi dan direzekikan kerja. Tidaklah berpangkat jawatan kerajaan tapi aku yakin dia mampu dari segi kewangan, Alhamdulillah.

Aku pada masa itu, dalam fasa internship.

Alhamdulillah perkenalan serius kami selama 2 tahun membawa kepada kesepakatan keluarga masing- masing untuk menjalin satu ikatan.

Ibu dan ayah kami bersetuju dan merestui hubungan ini. Kami berdua sudahpun bekerja dan menyimpan wang secukupnya untuk berkahwin pada tahun depan (2024).

Aku yakin, dia mampu menjaga aku. Dia seorang lelaki yang menjaga solat, menjaga tutur bicara, tidak sekali dia ambil kesempatan ke atas aku.

Dia berjanji untuk menyediakan segala keperluan aku apabila sudah berkahwin nanti.

Biasalah sedang bercinta, janji itu dan janji ini sudah menjadi syair biasa dalam kehidupan seharian kami.

Bahkan kadang kadang kami bergaduh, iya, aku akui aku sensitif orangnya, walaupun salah aku, tapi dia akan terlebih dahulu meminta maaf.

Apabila aku sakit, dia lah orang paling risau, aku tinggal bersama abang di Ibu kota yang jauh dari ibu dan ayah di kampung,

Jadi, dia, bakal suami lah yang akan membawa aku ke klinik, membeli ubat, dan kadang kala sifat craving aku nak makan itu dan ini, dia lah yang akan belikan.

Banyak kali juga ketika aku kehabisan duit, dia lah yang akan bagi duit belanja, tak banyak tapi cukup untuk aku.

Untuk pengetahuan, dia juga menyewa rumah bersama dua kawannya yang lain, jarak rumah dalam 30 minit perjalanan sahaja.

Dalam doa aku, nama dialah yang aku sebut sebut selalu,

Semoga Allah jodohkan aku dengan dia dan permudahkan urusan kami nanti.

Aku pernah sahaja bercinta tapi belum pernah aku rasa se yakin ini untuk berkahwin, hati aku benar mengatakan dia lah orang nya yang akan menjadi imam aku nanti, in shaa Allah.

Di fasa ini, di mana aku sedang menyimpan duit untuk kahwin, kami sedang survey untuk tema perkahwinan, dimana dan bila nak buat kursus kahwin, bila nak buat test HIV, dan macam mana cara nak isi borang kami.

Ya, kami memang excited!

Namun, 2/5/23, dia senyap. Aku call dia tak balas, aku whatsapp dia tak reply, kadang one tick, kadang double tick. Aku risau, kenapa?

Padahal sehari sebelum tu, kami rancak berborak pasal kursus kahwin, dah book dah pun tarikh, tinggal pergi sahaja.

Aku cuba call banyak kali tapi memang dia tak angkat. Naik bengang aku dibuatnya. Di instagram juga dia tak reply!

Aku terus hubungi rakan serumahnya, hanya sorang yang angkat dan aku terus tanya, dimana dia?!

Hancurnya hati aku apabila aku dapat tahu malam 2/5/2023 tu, bakal suami aku ditangkap polis kerana mengedar dadah dan satu jumlah dadah hampir 1kg dijumpai dalam keretanya.

Sumpah, pada masa tu aku hilang arah, terduduk aku di tempat kerja. Ya Allah Ya Allah ya Allah. Hanya nama Allah aku sebut.

Berjurai air mata aku, tak mampu aku nak berpaut pada kerusi atau meja, aku terduduk disitu.

Rakan sekerja aku pelik dan panik melihat aku.

Kak C datang dan memangku aku dan aku terus menangis dalam dakapannya, dalam tangisan aku cakap dekat kak C, aku nak balik, tolong hantar aku balik.

Terus kak C papah aku dan hantar aku balik ke rumah abang.

Sepanjang perjalanan, teresak esak aku menangis, kak C ada tanya kenapa tapi aku memang tak boleh bercakap masa tu. kecewanya hati aku.

Masa tu kereta aku tinggalkan di pejabat dan kebetulan abang aku belum balik dari kerja

Sampai dirumah, aku call lagi sekali kawan dia, aku mahukan kepastian, betul ke apa yang aku dengar?

Kawan dia menjelaskan kepada aku apa yang terjadi, rupanya selama ini memang bakal suami aku ambil dadah, cuma dadah dalam keretanya itu adalah untuk dijual atau diedar dan itulah kali pertama dia mengedar dadah.

Namun kali pertama itulah, dia ditangkap polis. Dan kenapa dia mengedar dadah adalah untuk membayar hutang ayahnya yang suka buat loan dengan ah long,

Sebagai anak sulung, dia mahu selesaikan cepat hutang itu kerana tidak mahu terbeban membayar hutang setelah kahwin dengan aku nanti.

Kawannya bagitahu, dia ambil dadah pun sebab dia stress dengan hutang ayah dia, maksudnya dia bukan penagih tegar.

Ya Allah ya Allah, kenapa aku tak tahu dia ambil dadah? Dia orang baik, rupa parasnya tak macam orang ambil dadah dan dia sentiasa menjaga penampilan.

Aku menangis dalam bilik, meratapi nasib aku, masa depan aku, janji janji kami? Ya Allah, benar aku tak mampu.

Aku betul- betul buntu sekarang. Aku tak tahu nak buat apa, hati aku terluka dan kecewa. Demi Allah, aku tak kuat.

Aku mengambil keputusan untuk tidak bagitahu ibu, ayah dan abang terlebih dahulu. Aku takut reaksi mereka nanti sudah pasti mereka akan memisahkan aku dari dia.

Mana ada ibu ayah sanggup melihat anak mereka berkahwin dengan seorang penagih dadah? Walaupun aku jelaskan keadaan sebenar, mereka 100% akan menolak alasan aku.

Semalam aku dapat call dari dia dari lokap. Dia minta maaf, dia menangis aku pun menangis. Dia minta maaf kerana tidak jujur dengan aku.

Dia minta maaf kerana melukakan hati aku, dia berjanji untuk berubah, dia bagitahu, dia sentiasa ingat aku semasa dalam tahanan. Dari nada suara, aku tahu dia bersungguh-sungguh untuk berubah.

Cuma, aku mahukan pendapat pembaca. Jujur, aku masih sangat mencintai dia.

Ya, dia telah melakukan kesalahan dan kesilapan besar. Dia berjanji dia mahu berubah, dia masih lagi pegang setiap janjinya untuk kahwin dengan aku.

Dia meminta aku doakan dia cepat- cepat keluar dan kami akan teruskan perancangan kami.

Tapi, aku takut, bagaimana reaksi ibu dan ayah bila dapat tahu dia ditangkap polis atas kesalahan dadah?

Aku tidak akan ceritakan kepada mereka dan aku yakin ibu dan ayah dia pun akan buat benda sama.

Setiap hari aku berdoa semoga Allah berikan ketenangan kepada hatinya disana, dan hati aku.

Setiap hari dengan air mata rindu dan kecewa menemani aku. Makan aku tak mampu, tidur aku tak mampu. Depan abang, aku berpura aku okay sahaja.

Aku masih mencintainya, adakah aku bodoh kerana memperjudikan masa depan aku? Salahkan aku kerana percaya kepada dia? Aku sudi memberi peluang kedua untuk dia menebus kesilapan dia.

Kepada pembaca, layakkah dia mendapat peluang kedua? Tolong aku.

– Lily (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *