Hari ini genap 2 tahun ibu aku meninggal dunia. 2 Tahun lalu pada ketika dan saat ini perasaan sedih menyelubungi diri.
Dipendekkan cerita selepas 2 hari ibu meninggal aku terus ke amanah raya untuk menuntut harta ibu aku. Kenapa aku yang pergi sebab antara kami 10 adik beradik aku ada sedikit ilmu berkaitan dokumentasi.
Setelah berbincang dengan amanah raya berkaitan harta arwah ibu kami sepakat untuk bagi 100% peninggalan duit KWSP arwah ibu kepada ayah dengan syarat kami 10 adik beradik kena pergi ke pesuruhjaya sumpah untuk ‘declare’ persetujuan untuk bagi 100% kepada ayah.
Setelah 2 bulan arwah ibu meninggal ayah bercadang ingin berkahwin lain. Aku sekeras kerasnya menentang sebabnya ayah tidak bekerja. Makan minum ayah ditanggung oleh anak anak.
Aku fikir ayah sudah mengkhianati kepercayaan kami adik beradik bahawa ayah akan dapat duit KWSP arwah ibu dan akan gunakan duit itu untuk berkahwin. Untuk pengetahuan ibu meninggal selepas 6 bulan mendapat duit KWSP.
Plot rentetan cerita sedih bermula selepas ayah bertanya kepada aku samada bersetuju atau tidak untuk dia berkahwin. Dengan lantas aku berkata tidak setuju. Aku yang menanggung keluarga aku. Sebulan aku bagi RM 600 untuk duit makan utiliti dan sebagainya. Ayah marah bila aku kata tak setuju.
Esoknya aku pergi mencari agen agen rumah untuk membeli rumah. Keputusan aku agak drastik tapi aku sudah boleh agak apa yang akan terjadi. Akhirnya aku jumpa satu rumah lokasi strategik. Rumah itu tak jauh dengan ‘rumah abadi’ mak aku. Aku terus setuju untuk membeli rumah itu.
Dipendekkan cerita selesai tandatangan offer letter. Pemaju terus bagi aku kunci rumah. Aku tandatangan offer letter 11. 7. 2018. Ibu meninggal 30. 3. 2018. Dalam masa 3 bulan 11 hari aku dapat beli rumah. Syukur ya Allah. Bila dapat sahaja kunci aku terus pasang gril dan utiliti.
Disebabkan bayaran bulanan mahal aku decide untuk cari penyewa bilik. Aku dapat penyewa bilik pada 15. 8. 2018. Alhamdulillah. Allah betul betul tolong aku.
Pada 25. 8. 2018 aku dihalau oleh ayah aku sendiri sebab ayah telah mengambil tanpa izin motosikal aku dan memberi motosikal aku kepada kekasihnya. Aku marah ayah supaya motosikal aku dikembalikan.
Ayah bengang selepas sejam motosikal aku dikembalikan. Lepas ayah balik ayah baling kunci motosikal aku dan mengahalau aku dari rumahnya memaki hamun aku yang aku sendiri pun tak sanggup nak tulis.
Aku keluar dari rumah itu. Sedih memang sedih. Tapi aku percaya tuhan tak kan membebani hambanya. Sedih tetapi hidup perlu diteruskan. Aku semakin hari semakin tenang di rumah aku sendiri. Ketenangan yang aku sudah lama tidak merasa selepas kematian mak aku.
Tiba masa 6 bulan duit mak aku pun dapat. Sudah tentu orang yang paling bahagia adalah ayah aku sebabnya 100 % adalah milik dia. Lelaki diuji bila dia berharta. Dia berkahwin lain. Hari pertama dia kahwin dia halau adik aku yang tinggal dengan dia.
Adik lelaki bujang dan adik perempuan yang dah berkahwin. Dia maki adik adik yang menumpang rumahnya macam macam supaya adik adik aku keluar dari rumah itu. Adik adik aku hari hari menangis. Hari yang betul betul aku rasa dia tak layak di panggil ayah bila dia buat laporan polis mengatakan adik aku yang lelaki pukul dia .
Laporan palsu. Aku di tempat kerja. Tengahari aku emergency balik dan aku dapatkan lori untuk keluarkan semua barang barang arwah mak aku adik adik aku. Aku pujuk adik adik aku cari rumah sewa dan barang barang letak di rumah aku dulu.
Untuk pengetahuan adik adik aku orang susah. Kenapa tak bagi duduk sekali dengan aku. Sebab pertama rumah aku dah di sewakan per bilik. Sebab kedua aku nak adik adil aku belajar erti berdikari. Sesusah mana pun kalau usaha pasti ada jalan nya. Usaha keras tidak membohongi hasil.
Untuk ayah aku yang baru jadi pengantin baru sudah tentu seronok dengan duit yang banyak. Ayah beli 2 biji kereta. Hasil duit mak aku. Berjalan jalan bawa isteri baru. Macam dunia ini milik mereka berdua.
Lama kelamaan rasa seronok kian pudar. Isterinya yang sudah 3 kali menjanda mula rasa tidak seronok kehidupan terikat dengan perkahwinan.
Dengar kata sudah tidak tinggal sebumbung. Aku tak pernah ambil tahu dan peduli. Yang aku tahu aku kena kerja kuat. Kerja keras.
Setelah 2 tahun mak meninggal aku bahagia dengan kehidupan aku. Ada rezeki lebih aku kongsi dengan adik adik aku yang susah. Untuk ayah kehidupan dia makin kelam. Duit makin menipis. Isteri lari. Itu pun ada hati nak kahwin lagi.
Aku masih seperti dulu. Di rumah aku sendiri. Rumah gelap itu. Rumah tanpa kekasih. Rumah tanpa ibu. Rumah itu dunia aku. Untuk adik adik aku aku dah wasiatkan harta harta aku untuk dia orang. Jangan risau selagi aku hidup aku akan pastikan kehidupan adik adik aku yang susah terbela.
Rumah itu dunia aku…
– Fifi (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc. com/submit