Layang-Layang Terputus Talinya

Assalamualaikum. Aku Na. Berusia 20an dan merupakan anak kedua dari tiga beradik. Sedikit coretan ingin aku kongsikan kerana terlalu penat memendam & berendam air mata.

Dalam dunia ni tidak pelik ya jika ada ibu yang tidak menyukai anak yang lain, dan ada ibu yang mempunyai anak kesayangannya sendiri.

Aku tengok ceramah Ustaz Wadi, isi ceramahnya disebut “jangan terasa hati dengan ibu bapa kita” yaa, saya tidak menentang perkara tersebut ustaz, tetapi alangkah baiknya jika saya mempunyai ibu yang sayangkan saya.

Dalam adik beradik, aku antara yang kurang bijak sekali dalam bidang pelajaran masa sekolah dulu. Namun aku cuba untuk menjadi anak yang terbaik untuk seorang ibu.

Alhamdulillah sekarang dah bijak banyak selepas mempelajari banyak perihal soal kehidupan yang perit ini hihi.

Tetapi mengapa aku tidak menjadi anak yang disayangi seperti adik beradik lain? Adakah kerana wajah yang tidak cantik? Kerana aku tidak pandai itu sudah terang lagi bersuluh.

Ketika adik beradik lain mendapat A didalam peperiksaan masing2, ibu memeluk, mencium dahi, belanjakan mereka sesuatu.

Aku lihat dengan mata kepalaku. Namun bila tiba waktu aku, hanya ibu tunjukkan riak wajah yang tidak gembira. Tanpa pelukan, tanpa ciuman seorang ibu. Tidak mengapa la ya ibu.

Aku pernah dicaci, dimaki & ibu pernah katakan pada adik beradik lain yang dia tiada anak seperti aku. “Dah la tak pandai, buat masalah lagi”.

Biasa lah nakal sedikit pada usia remaja, namun kenakalan ku bukan pada perkara tidak baik seperti terlanjur atau etc.

Perkara yang paling jahat pun ponteng sekolah ja itu pun sekali sebab malas masuk korikulum. Kantoi dengan ustazah haha. Tetapi sehingga begitu sekali ibu katakan pada adik beradik lain tentangku. Terima kasih ibu.

Macam mana aku tau semua ni? Adakah adik beradikku mengadu domba padaku? Tidak. Rahsia ni dibuka selepas berlaku pergaduhan besar pada malam hari yang tidak mahu aku ingat semula. Kerana sakitnya terlalu pedih!

Aku disepak, di tendang, dipukul, di hentak di dada oleh anak “kesayangan” ibu. Hanya kerana ku tidak meminjamkan sesuatu sahaja.

“Hang tu tak layak duduk dalam rumah ni”

“Hang tau dak ibu pon benci hang”

“Betina! Pi mati”

“Mati nanti kena laknat ja”

“Aku tak teringin ada adik mcm hang”

“Bab*”

Dalam kesakitan aku tersentak, perit, pedih mengetahui kebenaran bahawa aku selama ini rupanya dibenci. Sepanjangan malam berendam air mata.

Pada malam kejadian, tahun tu aku merupakan seorang pelajar di sebuah IPTA. Jadi pagi tu aku pergi kelas dengan muka & mata yang bengkak, dada yang sakit akibat dihentak.

Hairannya, pensyarah2 ku lebih mengambil berat soalku berbanding ahli keluargaku. Indahnya pada hari itu kerana kawan-kawan turut serta mengambil berat. Terima kasih kalian semua. Hanya Allah mampu membalasnya.

Dipendekkan cerita, pada ketika ini, sudah sebulan lebih berkurung di rumah akibat pandemik covid, kerana aku bekerja disebuah butik,

Jadi sebulan lebih juga lah aku sudah tidak bercakap dengan ibuku. Kerana apa? Kerana ibu yang mula untuk tidak bercakap dengan aku. Tidak ada angin atau ribut.

Sebenarnya dari dulu lagi. Kalau dia rasa dia nak cakap dia cakap, kalau tak suka, dia buat tak tau ja. Sakit emosi, letih fikiran bukan kepalang bila dilayan sebegitu.

Dulu, aku masih boleh lagi bertahan, masih lagi ingin rasa mengambil hati ibu, namun sekarang tidak lagi.

Terus rasa tawar hati. Aku ambil pendekatan lebih menjaga hati sendiri waima masih menangis setiap hari. Sekarang aku lebih mendekatkan diri dengan Tuhan & lebih suka bersendirian saja dirumah.

Soal ayah, mengapa tidak diceritakan? Ayah aku dah meninggal pada umur aku belasan tahun. Sedih rakan rakan. Kerana itu lah satu satunya tempat aku bergantung.

Masa ayah ada, aku adalah anak manja ayah. Pergi mana ayah bawa. Mungkin dari situ ibu tak suka pada aku sebab terlalu rapat dengan ayah.

Tetapi ayah layan semua anak sama rata. Bagi aku biasa la anak perempuan rapat dengan ayah ni.

Kecil2 dulu, bila ibu pukul aku, ibu suka kurungkan aku dalam bilik. Bila ayah balik kerja ayah la yang suapkan aku makan, teman aku tidur, solat di tepi aku. Bila teringat balik sedih sangat.

Ayah yang memeluk & memberi semangat ketika UPSR aku 1B 4C. Dan aku yakin jika ayah ada ketika PMR & SPM aku, mesti ayah akan tetap beri semangat.

Namun takdir Allah tidak diduga, ayah pergi dahulu. Terima kasih ayah, anak manja ayah tak pernah lupakan jasa2 ayah. Semoga ayah tenang disana bersama orang2 yang beriman. Kita jumpa nanti ya ayah.

Dan dari satu sudut aku melihat, ibu sangat baik dengan saudara mara, anak2 pakcik makcik aku sedangkan aku dilayan seperti bukan darah daging.

Hmmm tidak mampu aku ungkapkan betapa aku sedih. Terlalu banyak perkara sedih yang terjadi dalam hidup aku kalau nak dicoretkan.

20 tahun lebih aku hidup banyak perkara sedih dari bahagia. Namun aku kuatkan semangat. Aku ambil semangat ayah. Aku nak kuat seperti ayah. Sampai satu masa aku akan pergi jua.

Ibu, ketahuilah aku bersyukur mempunyai seorang ibu walaupun aku tidak disayangi.

Terima kasih kerana melahirkanku ke dunia ini, terima kasih memberi makan & minum. Moga engkau halalkan susumu buat anak yang tidak disayangi ini.

Sesungguhnya aku sentiasa titipkan doa buatmu ibu & adik beradikku walaupun aku dibenci sehingga hari ini. Terima kasih.

– Na (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *