Lel4ki Hitam Bermata Merah

Assalamualaikum semua, kisah ini saja aku nak ceritakan atas niat sebagai perkongsian bersama yang lain.

Kisah ini terjadi sewaktu aku sekolah menengah sekitar tahun 2010 di sebuah sekolah asrama harian yang terletak di negeri Perak.

Aku merupakan seorang murid yang biasa-biasa sahaja, tidak menyandang apa-apa jawatan dan tidak mempunyai apa-apa kelebihan pun.

Tetapi pada tahun ketiga aku di asrama, macam-macam hal atau perkara ghaib yang aku lalui,

Di mana aku pun tak pasti sama ada kejadian itu memang terjadi secara realitinya atau aku ni yang terlalu banyak fikir sampai nampak yang bukan-bukan.

Kisahnya bermula pada suatu malam ni, aku ada kelas bagi menggantikan kelas yang sebelum ini guru tersebut tidak dapat hadirkan diri.

Boleh dikatakan pada malam tersebut hanya ada kelas aku sahaja yang bercahaya selain ditemani lampu dari koridor dan lampu jalan.

Memandangkan budak kelas aku tak seramai dari biasa dan majoritinya hanya pelajar asrama jadi malam itu aku dengan bersahaja memilih untuk duduk di bahagian paling hujung bersebelahan dengan tingkap.

Dari kedudukan aku tu, boleh lah sekali sekala aku jenguk ke luar tingkap di mana akan terlihat bangunan sebelah yang ada tandas guru, makmal dan bengkel.

Sambil guru bahasa inggeris aku menulis di papan putih aku pun dengan sekilas memandang ke arah bangunan sebelah,

Dan mataku meliar melihat seluruh bangunan tersebut dari atas ke bawah dari kanan ke kiri namun pandanganku terhenti di tandas guru wanita.

Dengan berbekalkan lampu koridor dan lampu oren dari dalam bahagian tandas aku melihat seakan sosok tubuh lelaki dari bahagian kepala hingga ke dada dengan warna kulitnya yang sangat hitam berserta kepala botak,

Dan yang paling jelas hanyalah matanya yang merah sedang bergayut memegang dawai besi dari dalam bahagian atas tandas tersebut.

Aku dengan penuh tanda tanya dan rasa ingin tahu terus memerhatikan lelaki tersebut yang sedang liar melihat kawasan luar tandas.

Entah apa yang dicarinya dengan kedudukan seperti itu aku pun tidak tahu.

Dalam tengah memerhatikan lelaki tersebut dengan serta merta pandangannya singgah tepat pada mata aku.

Terkejut dan kelam kabut aku dibuatnya lantas aku toleh semula kepada guru ku di depan kelas.

Selang beberapa minit, dengan keberaniaan yang sedikit dan rasa ingin tahu yang menjadi-jadi aku toleh semula ke arah tandas guru wanita tersebut namun kelibat lelaki misteri itu sudah tiada lagi.

Malam itu memang tidurku tak lena gara-gara memikirkan kelibat lelaki misteri tu dan syukur alhamdulillah tiada apa-apa yang terjadi padaku malam itu.

Namun sejak kejadian tersebut, kerap kali berlakunya kejadian misteri pada diri aku dari kehidupan ketika di asrama sehingga aku melanjutkan pelajaran ke universiti.

Sekian untuk perkongsian hari ini. Jika berkesempatan akan aku ceritakan lagi kisah selanjutnya.

Maaf salah silap, terima kasih..

– Haliza (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *