Lelaki Baik Untuk Perempuan Baik

Assalamualaikum semua. Terima kasih admin andai kisah ini disiarkan. Mesti anda semua sudah biasa dengan ayat lelaki baik untuk perempuan baik dan begitulah sebaliknya. Lama dah aku simpan apa yang aku fikir ni. Cuma tak berkesempatan untuk berkongsi.

Aku Damia, seorang isteri dan juga seorang ibu. Aku mulakan kisahku lebih kurang 10 tahun lepas semasa aku masih mencari halatuju hidup. Aku berkenalan dengan seorang lelaki. Pada mulanya kami hanya kawan biasa. Selepas beberapa bulan, hubungan kami menjadi lebih dari itu. Dia cinta pertama aku. Aku berasal dari kampung. Dia dari kota. Perlahan lahan dia ubah aku dari seorang ‘anak ayah’ kepada ‘pemuas’ dia. Dari yang berpakaian longgar, bertudung menutupi dada kepada yang berpakaian ketat tetapi masih bertudung tetapi singkat.

Aku tak salahkannya 100%. Itu juga pilihanku cuma didorong olehnya. Aku hanyut dengan cinta pura pura yang dia cipta. Solat juga sudah mula alakadar. Dalam sehari, mesti tertinggal solat. Tidak perlu aku cerita apa yang kami pernah buat. Tetapi, seperti yang aku sudah bagitahu tadi, ini hanya cinta pura pura ciptaannya. Selepas dia pergi, aku mengambil masa lebih kurang setahun untuk bangkit disebabkan keterlanjuran kami. Aku masih bersyukur kerana aku masih dara. Itu sahaja yang aku ada untuk suami ku.

Disaat aku mencari semula diri aku yang dulu, tanpa sedar, ada seseorang yang setia dengan aku, yang bagi semangat untuk aku bangkit. Yang aku bebas berkongsi segala cerita dan beban yang aku tanggung. Untuk kali ini, aku tidak terburu buru. Selepas 2 tahun berkawan, baru hati aku terbuka untuk dia. Pakaian aku masih sama. Aku masih lagi bukan anak ayah. Cuma aku sudah tidak melakukan perkara perkara terkutuk yang aku pernah lalui dulu. Dia pun pernah melalui perkara yang lebih kurang sama seperti aku.

Dipendekkan cerita, selepas 2 tahun bercinta, kami bernikah. Alhamdulillah. Masa ni aku cuma fikir dia yang selayaknya untuk aku sebab kami sama. Kalau orang anggap dia jahat disebabkan kisah silam dia, jahat jugalah aku. Perkahwinan kami tiada masalah. Pakaian aku juga kembali seperti semasa aku ‘anak ayah’ cuma masalah kami adalah solat.

Kami solat cuma kadang kadang terbabas. Quran memang sangat jarang dibaca. Sebenarnya kami masing masing mendamba pasangan yang baik untuk kami. Dia yang tegur pemakaianku, minta aku labuhkan tudung menutupi dada dan baju melepasi punggung. Aku ikut yang itu. Cuma aku tidak memakai sarung kaki walaupun berkali kali dia pinta. Dia tidak memaksa. Teguran dia sangat berhemah.

Secara ringkasnya, dia mahukan seorang isteri solehah walaupun dia juga bukan seperti yang aku harapkan. Aku pula mahukan suami yang ringan kaki melangkah ke masjid, jika di rumah, dia yang mengimamiku solat, yang rajin baca quran. Ciri tersebut tiada padanya. Kalian faham tak maksud aku? Kami sama sama mendambakan yang terbaik tetapi diri kami sendiri masih alpa. Jika dia tegur aku, aku selalu balas – kalau nak aku macam tu, dia kena macam tu. Maksud aku, aku mahu kami sama sama berubah. Selepas 3 tahun berkahwin, kami masih begitu. Tiada perubahan.

Kemudian, suatu hari, aku kembali terfikir ayat tersebut. Yang baik akan berpasangan dengan yang baik dan sebaliknya. Aku nak berubah. Jika aku jadi baik, bagaimana dengan suamiku yang masih leka? Aku sayang dia. Kalau aku berubah, adakah jodoh kami tak panjang? Kemudian Allah menjawab pertanyaan aku. Jika dia tidak mulakan, aku yang kena mula. Aku kena jadi baik untuk dapat yang baik. Bukan orang lain yang baik, tetapi suamiku yang baik.

Jadi, aku cuba berubah sedikit demi sedikit. Cuba lengkapkan solat dan istiqamah membaca quran setiap hari. Alu tambah lagi dengan solat sunat walaupun bukan tiap hari. Paling baru, aku sudah memakai stokin. Aku nampak dia terkejut. Tapi dia diamkan sahaja. Selepas 3 hari aku pakai, baru dia bertanya. Aku jawab simple, – sebab dia minta. Terus dia diam. Aku tahu dia gembira sebab layanan dia padaku lagi baik dari dahulu. Dia pun makin senang bangun solat subuh. Jika dahulu pernah aku menangis sebab kecewa dia tidak bangkit walau sudah berkali aku kejut. Sekarang cukup sekali sahaja.

Sesungguhnya, ini baru permulaan bagi kami. Banyak lagi yang perlu kami perbaiki. Para pembaca sekalian, doakan kami terus istiqamah untuk jadi lebih baik. Harapan aku, permulaan ini hanya akan berakhir bersama hayat kami nanti. Aku mahu kami sama sama berpimpin tangan ke syurgaNya kelak dan hanya aku sahaja bidadarinya. Wasalam…

– Damia

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *