Assalamualaikum / good day admin dan para pembaca. Terima kasih kalau confession aku ni dapat disiarkan. Nama aku Ija. Aku tak berapa pandai mengarang, so aku akan cuba bercerita seringkas yang boleh. Aku karang confession ini sedikit-sedikit, mungkin agak caca merba. Berdasarkan tajuk, ya aku nak cerita tentang seorang lelaki yang berjaya mengubah tanggapan buruk aku terhadap lelaki.
Dibesarkan dalam keluarga yang agak susah, aku sudah terbiasa untuk ada jangkaan yang rendah untuk semua perkara dalam hidup. Dari kecil, aku jangkakan zaman persekolahan, pekerjaan, perkahwinan yang sederhana. Aku dan adik beradik perempuan aku (6 orang) dari kecil dah membanting tulang membantu ibu. Ibu kerja kilang, manakala kakak sulung, kedua dan ketiga berniaga dan membuat kuih. Kami bertiga (no 4-6) lebih kepada menyiapkan kerja-kerja rumah. Ayah dan 2 orang adik lelaki kurang membantu. Dari tengah hari mereka bangun, kami perempuanlah yang akan menyediakan makanan, kemas tempat tidur, basuh baju, hatta mencari rezeki.
Jangan tanya kenapa ibu masih bertahan dan melayan ayah dengan baik sbb aku sendiri tak punya jawapan. Aku menyaksikan rata-rata lelaki dalam family (kedua dua belah ibu dan ayah) tidak bertanggungjawab dan banyak menumpang kesenangan isteri masing masing. Bukan itu sahaja, hampir semua lelaki dalam family kami ada cerita perselingkuhan. Aku sendiri pernah kena gangguan seksual daripada family sendiri. Perempuan dalam keluarga kami lebih bertanggungjawab daripada lelaki. Pandai berniaga, pandai berbisnes, pandai menjahit, pandai memasak, pandai cari duit. (Boleh teka tak aku dari negeri mana? Ooooppss!)
Aku tak berkawan rapat dengan lelaki dari kecil sehinggalah aku menjejakkan kaki ke university (Aku dan adik (anak no 5) sahaja yang menyambung pelajaran ke peringkat ijazah). Yang lain ada yang berhenti di peringkat PMR dan SPM, dan terus berkahwin sebaik dipinang. Aku tak menafikan, kakak kakak aku (pada masa ini) mempunyai pemikiran bahawa marriage is a sweet escape.
Sehinggalah aku bertemu dengan Amirul. Dia merupakan senior aku di university. Kami berkenalan ketika aku di tahun 3 dan dia di tahun akhir. Awal perkenalan, ibu dan ayah tidak menyukai kerana dia orang jauh (berlainan negeri tapi tidaklah jauh mana, jarak dalam 3-4 jam perjalanan). Disebabkan kesungguhannya memenangi hati ibu ayah, kami akhirnya mendapat restu. Dia bekerja setahun awal dari aku, dan mempunyai wang yang cukup untuk merisik dan meminang aku.
Genap 6 bulan aku bekerja, kami bertunang. Semua belanja datang daripada pihak Amirul. Semasa hari pertunangan lah, aku dapat tahu bahawa keluarganya orang senang. Datang ke negeri aku dengan 7 buah kereta mewah. Tahap mewah tu, sampai 1 kampung berkumpul rumah aku tengok kereta. (Bukan tengok aku pun, penat je aku mekap. Hahaha) Kami tidak meletakkan sebarang tempoh untuk pertunangan , cuma akan confirmkan tarikh bila kami betul betul sudah bersedia. (Lupa nak bagitahu kami kurang bab rupa, so memang tiada masalah orang ketiga sepanjang perkenalan. Hahaha).
Amirul menyedari bahawa aku mempunyai tanggapan yang buruk terhadap lelaki. Namun, dia mencuba sebaik mungkin untuk memenangi hati aku. Dia tak pernah tinggi suara, bertolak ansur, boleh dibawa berbincang, matang, menjaga batas dan beramal agama yang baik. Sebaik sahaja bertunang, kami berdua membuat akaun bersama untuk kumpul duit kahwin. Tiap2 bulan kami berdua wajib masukkan 1k. Masa itu, 1k tu sudah kira banyak tau. Bulan ke 6 kami bertunang, Amirul buat keputusan untuk keluarkan kesemua duit tersebut, ada dalam 10k. Katanya, ada hal kecemasan dan ini saja caranya.
Sebab sayang, aku benarkanlah. Seminggu kemudian, dia buat surprise bagitahu aku, dia dah sampai kampung aku. Kami berjumpa di bandar, ditemani adik aku. Aku terkejut bila dia serahkan kunci kereta, dan bagitahu duit simpanan 10k tu dia gunakan untuk beli second hand Kenari untuk aku sebab kasihankan aku menaiki bas ke tempat kerja hari2. (Aku tiada lesen pada masa itu dan Amirul tak tahu. Diam-diam, aku ambil kelas memandu dan aku aku mula memandu Kenari 4 bulan selepas itu.)
Kami meneruskan simpanan dalam akaun Bersama tesebut hampir 2 tahun. Diam tak diam , duit simpanan kami sudah mencecah 50k, sebab Amirul sering masukkan 1.5k-2k sebulan jika dia mempunyai gaji lebih atau dapat bonus. Aku? Tetaplah 1k saja, kadang2 500 sahaja kalau Kenari tu kena servis. Sepanjang bertunang dengan Amirul juga, aku mula berkenalan rapat dengan keluarga Amirul. Ternyata lelaki dalam keluarga Amirul mempunyai rasa bertanggungjawab yang tinggi kerana itu merupakan ajaran dalam keluarganya. Pernah diundang untuk kenduri kesyukuran, aku menyaksikan sendiri betapa berkualitinya lelaki dalam family Amirul.
Cukup 2 tahun 6 bulan kami bertunang, Amirul memberitahu ayahnya mencadangkan kenduri kecil kecilan untuk belah lelaki dan kenduri proper untuk belah aku. Siap berunding dgn family aku, keluarga Amirul akhirnya bersetuju untuk memberi 25k untuk wang hantaran. Atas cadangan aku, 15k diambil daripada simpanan Bersama kami. 25k itu digunakan untuk hantaran, kenduri nikah pelamin, catering dan homestay. Majlis aku sangat meriah. Ibu dan ayah tidak mengeluarkan belanja apa pun untuk majlis kami.
2 bulan kami berkahwin dan PJJ, aku dapat kerja di daerah sama dengan Amirul. Kami tinggal di rumah dibeli Amirul sebaik dia mula bekerja dahulu. Kecil, 2 bilik, kosong tanpa perabot tapi selesa. Sebaik berkahwin, semua komitmen dan belanja (kereta, miyak, rumah, barang dapur, bil, insurans, sedekah Jumaat) dibahagi 2 sama rata. Kerja rumah pun bahagi 2, memasak mengemas bahagian aku. Amirul pula menguruskan baju dan berkebun kecil kecilan.
Amirul mencadangkan untuk membeli rumah atas nama aku, memandangkan duit simpanan kami masih ada dan cukup kalau digunakan untuk deposit. Aku bersetuju, dan kami membeli rumah teres 2 tingkat. 8 bulan selepas itu, proses jual beli selesai. Kami berpindah dan rumah lama Amirul disewakan kepada pasangan baru berkahwin dengan harga RM500. Sebaik berpindah ke rumah baru, Amirul dinaikkan pangkat dan aku disahkan mengandung.
Rezeki Amirul makin murah, dan dia ambil keputusan untuk mengambil alih 2/3 daripada komitmen dan belanja bulanan kami. Nafkah bulanan pula dia naikkan. Katanya, aku dah mengandung and deserve more. Jadi, baki gaji aku, aku gunakan untuk simpanan dan membeli barangan rumah. Rumah yang kosong aku penuhi dengan perabot. Bermula dengan hanya peti ais, mesin basuh, dan katil, kini rumah kami mula ceria dengan sofa, meja makan, kitchen cabinet, TV dan anak.
Fast forward, 6 tahun kemudian. Kami sekarang bahagia dengan 2 anak. Pangkat Amirul kini Pengurus Kanan, dan aku pula Assistant Manager, tapi company aku kerja ni kecil sahaja. Gaji pun tak banyak beza daripada dulu. Yang banyak beza, saiz badan je. Haha. Ada pasang surut dalam hidup kami, tapi alhamdulillah Allah mudahkan urusan kami. Aku rasa Amirul adalah lelaki berkualiti bukan lah sebab wang dia, tapi lebih kepada wawasan dia, gentleman dia, agama dia, perancangan kewangan dia dan prinsip dia. Tak pernah dia tinggalkan aku susah sorang2, saat aku jatuh dia tolong aku bangun dan pimpin aku.
Rasa macam dah panjang dah ni. Pintaku, doakan kami terus berbahagia ya. Lelaki berkualiti itu masih ada. Kadang, tak usah dicari, dia yang datang sendiri.
– Ija Hairi
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit