Lelaki Hebat

Terima kasih admin jika confession ini disiarkan. Sudah banyak kali aku ingin menulis confession di sini. Namun tidak pernah berkesempatan.

Untuk pengenalan, nama aku S (bukan nama sebenar), sudah berkahwin dan bekerja. Sebelum kahwin aku seorang yang aktif. Boleh dikatakan setiap hari aku bersukan. Aku jugak aktif menyertai perlawanan-perlawanan yang dianjurkan tak kira di negeri aku sendiri atau di negeri jiran.

Bukan kemenangan semata yang aku inginkan. Tetapi aku suka berada dalam komuniti sukan tersebut yang ramah dan sentiasa mengalu-alukan aku di dalam komuniti mereka.

Ini menjadikan aku jarang berada di rumah. Jika ada masa terluang atau cuti, aku akan keluar bersiar-siar, makan-makan, cuci mata dll. Aku sedaya upaya melayan diri aku sendiri sebaik mungkin.

Namun, aku tidak lupa tanggungjawab terhadap keluarga. Urusan hospital, barang-barang rumah, bil, menjadi driver buat ibu bapa aku, semua aku lakukan. Setiap masalah yang dihadapi keluarga akan dihadapkan kepada aku.

Akhirnya tiba masa aku sendiri berkeluarga. Kami tidak berkenalan lama kerana masing-masing merasakan umur sudah lanjut. Bagi aku, berkenalan lama pun tidak akan mampu menyelak apa yang sebenarnya di dalam selagi belum tinggal sebumbung.

Penat diajukan soalan perkahwinan, diganggu suami-suami orang, aku akhirnya bersetuju untuk berkahwin tanpa berfikir panjang. Jika tidak berkahwin, kita tidak tahu apa ujian dan kemanisan perkahwinan itu fikirku ketika itu. Suami minta tinggal bersama ibu bapanya.

Walaupun berat bagi aku yang introvert ini, aku iyakan juga sambil beberapa kali berpesan aku akan memerlukan dia sebab aku langsung tidak pernah berkenalan dengan ahli keluarganya. Aku ambil cuti perkahwinan selama seminggu untuk meluangkan masa berbulan madu.

Mengikut perancangan, kami akan pergi dalam hujung minggu tersebut. Rutin bangun pagi lepas subuh dan terus ke dapur pun bermula. Walaupun dari malam pertama aku diperli mertua berikutan tidak cekap melakukan kerja rumah, tapi aku tegar setiap pagi berada di dapur cuba menolong semampu yang boleh.

Bulan madu yang aku harapkan tidak menjadi kenyataan. Mertua ada rancangan lain. Suami bersetuju tanpa berbincang dahulu. Selama bertahun-tahun bekerja aku tidak pernah mengambil cuti. Jadi cuti ini digunakan untuk aku melakukan kerja rumah selain melayan keluarga serta saudara mara suami. Sudahlah sakit hati, perlu pula bermanis muka.

Sabar sajalah. Apabila aku mula bekerja, rutin setiap pagi aku tinggalkan sebab aku perlu sampai awal ke tempat kerja. Aku diperli oleh mertua selepas itu. Dah ada menantu tapi masih perlu buat kerja rumah. Masih ada adik beradik suami yang lain tinggal di rumah.

Selepas itu suami pula asyik pulang lewat ke rumah kerana melepak dengan kawan. Balik sekejap ketika maghrib. Kemudian terus pergi melepak sampai jam 3-4 pagi. Bayangkan aku sendirian perlu struggle masuk ke dalam keluarganya.

Semuanya berubah 360˚. Aku tidak lagi dapat bersukan. Balik dari tempat kerja terus ke rumah dan terus berada di rumah sehingga aku ke tempat kerja semula esok hari. Tiada lagi kebebasan. Tiada lagi bersiar-siar ketika ada masa terluang. Semuanya tertakluk kepada suami.

Semasa awal-awal perkahwinan ada juga keluar hari cuti. Tengok wayang, makan-makan. Tapi sekarang, untuk keluar dengan aku seperti satu beban buat dia. Kereta baru sahaja keluar perkarangan rumah, dah ada yang menanti dia keluar melepak.

Banyak kali aku katakan. Berikan masa untuk aku juga. Tambahan ketika berbadan dua. Cuma sekali dua dia temankan aku di rumah. Selebihnya masih bersama kawan-kawan. Sampai aku tertanya-tanya. Sayangkah dia pada aku? Adakah aku hanya layak diberikan masa yang bersisa?

Untuk meredakan tekanan dan berehat, aku akan pulang ke rumah keluarga. Suami? Melainkan dipaksa, barulah nampak muka di rumah keluarga aku. Keluarga dan saudara mara aku juga terasa. Ya. Berat sebelah.

Aku berhempas pulas melayan keluarga dia. Sedangkan dia menjejakkan kaki ke rumah keluarga aku masih boleh dibilang dengan jari. Aku tahu dia tidak selesa. Aku juga sama. Tidak selesa berada di rumah mertua. Tidur dalam keadaan tidak sedap hati. Makan minum juga tidak bebas bimbang dikritik mertua.

Buat lelaki-lelaki di luar sana yang mengagungkan konon lelaki hebat tidak takut isteri. Hebatkah lelaki jika isteri di rumah berendam air mata, tertekan, sentiasa menantikan anda memberikan sisa-sisa waktu yang ada dan masih keluar bersendirian dalam keadaan sarat membawa zuriat anda ke hulu ke hilir?

Terima kasih..

– S (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *