Lelaki Hebat II

Untuk part I, (https://iiumc.com/lelaki-hebat/).

Assalamualaikum. Terima kasih admin sebab menyiarkan confession lepas. Kali ini aku sambung apa yang terjadi dalam rumahtangga kami. Disebabkan suami aku dah janji lepas ada anak nak pindah keluar dari rumah mertua, aku pun semangat mencari rumah sewa.

Lagi pulak memang aku rasa aku dah tak boleh tahan tinggal disitu sejak ada anak. Aku inginkan masa yang panjang melayan anak, berehat, mengembalikan semula tenaga selepas aku beranak.

Jadi, tanpa membuang masa aku bertanyakan kawan-kawan aku jika ada rumah untuk disewa. Alhamdulillah ada. Aku seronok bukan main lagi. Excited.

Selepas aku deal dengan tuan rumah, aku ajak suami pergi tengok. Selepas tengok dia cakap rumah ok. Tapi dia tak confirm dengan tuan rumah. Then, aku bincang-bincang dengan dia. Tiada kata putus.

Selepas berhari-hari aku fikir, dia dengan sikap acuh tak acuh, aku buat keputusan nak sewa juga rumah tu dengan dia atau tanpa dia.

Bila aku hubungi semula tuan rumah sewa, rumah tu dah disewakan pada orang lain. Kecewa jangan cakap la. Aku usaha pujuk tuan rumah. Tak berjaya. Dia suggest rumah sewa yang lain.

Jadi, sebagai isteri yang tak ingin membelakangkan suami, aku beritahu suami dan ajak dia pergi tengok rumah lain yang dicadangkan tuan rumah tu. Kami kurang berpuas hati berikutan rumah agak ke dalam. Tapi sebab nak juga rumah aku terima saja.

Aku pujuk suami bersungguh-sungguh. Akhirnya dia setuju dan bayar deposit. Aku bahagia jangan cakap lah. Memang dah plan nak cari barang. Dah atur bilik mana nak buat bilik solat. Nak buat bilik nanti anak nak main. Nak tanam pokok-pokok bunga yang dah lama aku teringin.

Malangnya suami terus cancel nak keluar bila mertua tak bagi kebenaran. Apa pun aku kata tak ada guna. Dia dah tak peduli. Katanya cuba la belajar sesuaikan diri.

Aku kecewa. Aku dah mintak tolong kawan-kawan nanti nak cuci rumah. Aku excited sebab akhirnya kami boleh hidup macam suami isteri yang lain. Dia cakap rugi sewa rumah.

Selama ini dia cari duit sampai tiada masa untuk aku tu nak bagi siapa? Rugi sewa rumah untuk keselesaan isteri sendiri? Aku merajuk dan minta balik ke rumah orang tua sendiri. Dia izinkan dan hantar aku balik.

Malam tu aku tengok dia tertidur. Telefon tidak dim4tikan. Aku tergerak hati nak cek telefon dia. Semua berkunci kecuali galeri.

Aku tak percaya apa yang aku nampak. Masih tersimpan rapi gambar bekas kekasih, gambar bakal anak-anak tiri dia. Gambar mereka berpegangan tangan dengan caption “semoga genggaman ini akan kekal selamanya”. Hancur hati aku.

Selama ni aku bersusah payah sebab sayang. Rupanya bukan aku yang dia sayang. Dia masih follow semua media sos**l perempuan tu. Masih like gambar-gambar dia even masa aku sarat mengandung. Aku tak tahu nak gambarkan sakit ini.

Aku tanya, jika awak kahwin dengan dia dulu, adakah dia juga akan tinggal dengan mak ayah? Dia jawab kalau kahwin dengan perempuan tu dulu dia dah plan nak tinggal di luar. Sebab dia tahu perempuan tu nanti tak selesa. Habis aku? Banyak kali aku sebut tak selesa.

Aku menangis sampai sakit kepala dah berapa kali sebab stress dengan rumah dia. Kenapa dengan perempuan tu dia pentingkan keselesaan. Kenapa tidak aku? Sebabnya mudah. Dia tak SAYANG aku.

Sekarang terjawab persoalan aku. Kenapa dia tak peduli bila aku tak selesa, aku tak seronok dirumah dia. Kenapa dia tinggalkan aku dan melepak sampai 3-4 pagi. Kenapa berat sangat nak balik rumah aku. Layan keluarga aku nak tak nak.

Kalau aku balik sendiri dan tinggal dengan keluarga aku seminggu pun dia tak peduli. Tak pujuk pun bila aku merajuk. Tak peduli pun bila aku tak chat. Tak ingat pun hari jadi aku. Apa pun dia tak bagi.

Tapi hari jadi perempuan tu dia hantar surprise dulu. Dekat anak perempuan tu dia belikan kek hari jadi. Tak pernah sekali pun dia ambil masa nak bahagiakan aku melainkan aku yang ajak. Padahal kalau perempuan tu dulu dia tertunggu-tunggu bila nak balik. Nak bawa ke sana sini.

Media sos**l perempuan tu penuh dengan pujian “cantiknya”, “lawaaaaaa”. Sekali pun dia tak pernah puji aku macam tu. Anniversary pun langsung tak disambut. Aku beranak pun tak dihargai.

Semuanya sebab dia tak sayang pun aku. Hati dia masih dengan kekasih lama. Ya. Genggaman tu kekal sampai sekarang.

Entah. Aku rasa jijik dengan diri sendiri. Senangnya aku serahkan hati, diri, tubuh badan aku pada lelaki yang langsung tak ada hati pada aku. B****h. Tu yang aku rasakan sekarang. Aku ingat dia sayang aku macam mana aku sayang dia.

Buat masa sekarang aku tak tahu apa nak buat. Betul lah kot ada yang komen sebelum ni aku cuma kuli dan pemuas nafsu. Berat untuk aku terima dia tak sayang aku. Padahal dia lah keutamaan aku. Aku sayang dia sangat-sangat. Sakit untuk aku kikis perasaan sayang ni.

Macam mana dengan anak? Minta maaf lah anak. Ayah tak sayang kita. Baju raya pun ayah tak ingat nak beli. Tak apalah. Mak belikan untuk tahun ini dan tahun seterusnya selagi nyawa mak masih ada.

Pesanan untuk lelaki-lelaki di luar sana. Jika masih belum move on, tolonglah jangan pikat perempuan lain. Jadikan dia isteri hanya untuk tutup perasaan pada bekas kekasih. Kenapa perlu sakitkan orang lain. Carilah isteri untuk disayangi, diberi perhatian, diberikan masa dan dibahagiakan.

Doakan semoga aku kuat tempuhi semua ini. Semoga aku diberikan kemudahan dalam membesarkan anak.

– S (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *