“Lelaki Pelangi”

Dua tiga hari kebelakangan ini, ruangan IIUM Confession di muka buku aku tersiar beberapa confessions dari wanita wanita yang menjadi mangsa “terbersuamikan” lelaki dari golongan homos3ksual atau dalam bahasa tapisan aku namakan golongan lelaki pelangi.

Buat aku juga terpanggil untuk meluah perasaan dari kaca mata lelaki pelangi tapi bukan dari golongan suami. Bukan untuk membangga, bukan juga untuk meraih kecaman netizen, hanya doa kalian yang aku harapkan semoga satu hari nanti, Allah hilangkan beban ini dari pundak kehidupan aku.

Cukup korang kenali lelaki hina ini sebagai Si Kuntum. Dari aspek kehidupan, aku boleh dikira berjaya. Berpendidikan tinggi, berumur awal tiga puluhan, bekerjaya professional stabil dan berwajah sederhana manisnya ada.dari segi itu pakejnya lengkap.

Tapi ujian Allah itu takkan sama dari satu hamba ke hamba yang lain. Biarlah aku buka pekung di dada kalau itulah yang mampu netizen jadikan pengajaran. Insyallah aku redha dengan ujian hidup yang maha berat ini.

Sejarahnya, kancah bermula seusia 14 tahun. Seawal dari zaman aku di sekolah menengah agama tersohor di hampir selatan tanah air.

Bukanlah tidak dididik dengan agama, tapi apakan daya. Iklim dini itu tak mampu merubah nafsu. Macam aku sebutkan tadi, ini takdir aku dan aku terima dengan redha.

Jadi kalau dikatakan golongan ini terjebak kerana kurangnya Pendidikan agama, aku bangkang sekeras kerasnya. Kerana aku adalah contoh hidup yang bersuara. Ambillah pedoman dari kisah ini dan jadikanlah sembadan. Kerana nafsu ini tiada batasnya.

Dalam circle ini, aku sudah lihat berpuluh keruntuhan rumahtangga berpunca dari asbab ini. Tapi mungkin tak ramai mangsa yang mampu tampil berani menceritakan pekung yang dialami.

Tapi aku yakin, sudah banyak wanita yang melalui fasa ini, terbersuamikan lelaki pelangi. Demi Allah, kelmarin pun (4/8/2021) ada seorang suami baru melafazkan talaq pada usia perkahwinan yang tersangat muda. Kenalan rapat aku juga.

Cuma beza dengan lelaki lelaki atau suami pelangi yang lain, aku memilih untuk membujang biarlah sehingga nafas ditarik. Alasannya mudah, aku tidak mahu memangsakan wanita semata mata mahu menutup kelemahan diri.

Ya benar, banyak dari lelaki pelangi yang memilih untuk berkahwin semata mata mahu menutup mulut orang tua, ada juga kerana mahu bertaubat namun hanya separuh jalan, kembali ke kancah maksiat.

Senang untuk netizen cakap, ingatlah Allah, kembalilah ke fitrah namun ianya tak semudah lembut lidah. Sudah berjuta kali doa dipanjat seusai solat, entah berapa titis air mata yang tumpah kerana sesal, namun sehingga kini, nafsu ingin dipeluk lelaki masih ada dalam diri.

Ya, sungguh hina dan jijik perasaan itu, tapi itulah konflik dalam diri aku. Seorang lelaki pelangi. Analoginya mudah. Kalau tak percaya tanyalah perokok, walau sudah berpuluh tahun rokok ditinggalkan, keinginan itu tetap ada.

Hanya iman didada yang mampu menepis tapi semuanya tak pernah mudah. Jalan hijrah tak pernah mudah namun takkan pada aku insyallah, tak mustahil.

Oleh itu duhai wanita yang aku kasihi seperti kakak dan adikku, sebelum berkahwin, semaklah, selidikilah dan nilailah latar belakang bakal suami anda.

Cuba lihat siapa kawan kawannya di media sosial, semaklah siapa yang dia follow di Instagram dan berdoalah sungguh sungguh kepada Allah agar bakal suami (atau suami yang anda kahwini) bukan dari golongan lelaki pelangi.

Untuk Puan yang masih merancang-rancang untuk mempertahankan perkahwinan dengan mengharapkan sang suami berubah, nasihat saya, keluarlah. Angkatlah kaki dan tinggalkanlah dia. Kerana pada hemat saya, suami anda takkan berubah.

Sifirnya mudah, kalaulah dia tekad untuk berubah, seusai akad nikah, semestinya dia mendekatkan diri kepada Allah dan takkan lagi dia kembali ke kancah hina ini. Kalau hubungannya dengan pencipta pun tidak dijaga, inikan pula hubungan sesama manusia.

Pada netizen yang ingin mengecam, teruskanlah tapi ingat kecaman anda tidak sedikitpun membantu. Ayat “kau g4y, nanti kau masuk neraka” takkan sedikitpun membuat golongan ini kembali ke fitrah. Namun, mungkin membuat golongan ini lebih jauh pergi.

Buat golongan pelangi, kalau anda terbaca coretan ini dan teringin untuk mendirikan rumah tangga, fikirlah sedalam dalamnya. Jangan disebabkan ego, ada anak dara menjadi janda. Jangan disebabkan nafsu songsang anda, ada wanita yang menjeruk rasa.

Andai anda telah melangkah ke gerbang perkahwinan, tinggalkanlah kisah silam anda dan mulakan hidup baru anda, jagalah Allah dalam hati hati anda dan semoga dengan rahmat yang esa, anda menjadi suami yang sejati.

Buat golongan makcik bawang, kalau ada ternampak lelaki lelaki berumur lebih tiga puluhan yang masih belum berkahwin (walau bukannya semua disebabkan nafsu songsang),

Elakkanlah ditanya soalan taboo “bila nak kahwin” kerana mak cik juga mungkin menjadi peratusan punca kenapa golongan ini terdesak berkahwin untuk menutup aib diri.

Fikirlah sebelum berkata kerana apa yang keluar dari mulut kita mungkin hanya jenaka, tapi bagi yang menerima, satu bebanan yang menghempap rasa.

Kalau anda dikalangan netizen yang mengenali sahabat-sahabat yang diketahui dari golongan pelangi, sokonglah mereka untuk berubah.

Bersyukurlah, anda menjadi golongan yang mereka percaya untuk membongkar orientasi diri. Bahasa mudah, anda lah kawan sejati. Sokonglah sahabat anda untuk berubah.

Akhir kata, aku mohon doa kalian semua supaya satu hari Allah angkat ujian besar dari hidup aku ini dan semoga aku menjadi lelaki sejati walaupun bukan seorang suami.

– Si Kuntum (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *