Lelaki Tak Bertuah

Salam dan selamat berpuasa di era covid 19 yang berleluasa. Saya berumur lewat 20. Bekerja dalam bidang farmasi sebagai pegawai farmasi komuniti di sebuah farmasi kecil di perak.

Apa yang saya nak ceritakan ini barangkali banyak pun terjadi kepada orang lain. Mengenai hidup, cinta dan depresi/ kemurungan.

Sepanjang hidup saya dari kecil sejak zaman sekolah rendah lagi saya sudah tidak dapat merasakan kasih dan sayang pada orang lain.

Bila melihat anak2 atau kawan beramah mesra dengan keluarga sendiri saya tidak dapat ‘relate’. Janggal rasanya. Keluarga saya normal tidak ada apa2 yang tragis pun terjadi.

Cuma adalah beberapa babak pergaduhan antara menantu dan ibu mertua, ipar dan adik beradik, anak dan ibu yang terjadi. Rasa percaya sesama sendiri itu mungkin telah menipis.

Jadinya saya lebih senang apabila jauh dari keluarga. Bukan bererti benci tetapi janggal. Nak bercakap dengan ibu bapa pun payah apatah lagi bergurau senda.

Apa yang memegang saya pada keluarga adalah tanggungjawab. Saya tinggal bersama ibu bapa memandangkan tempat kerja dekat dengan rumah.

Saya seorang yang janggal bersosial juga. Kawan2 rapat saya yang selalunya memulakan perbualan. Kalau ada yang ‘introvert’ mungkin boleh faham.

Sukar bertentang mata, malu2, tidak sukakan kenduri-kendara, keluarga yang ramai, janggal dengan kumpulan rakan yang ramai, banyak memerhati, terlalu banyak berfikir cara untuk bersosial dalam kepala etc.

Kerana itu seringkali dikatakan sombong. Padahal dalam hati tengah berlagu “pokemon dan pikachu” (saja berjenaka ringan).

Pada 2018 saya bekerja kontrak sebagai pegawai farmasi kerajaan di utara semenanjung. Tiada apa yang menarik berlaku. Cuma pada tahun itu saya pertama kali bertemu seseorang yang saya fikir boleh dijadikan peneman sehidup semati saya.

Walaupun saya ini seseorang yang tak pernah jatuh cinta. Tapi keinginan untuk beristeri, berkeluarga dan capai bahagia dunia dan akhirat itu sentiasa ada.

Jadi pada 2019 saya memberanikan diri meluahkan keinginan saya dengan menulis pada sekeping kad dan mengutuskan kepada penerimanya.

Alhamdulillah jawapannya baik saja. Dan kami mengenali satu sama lain dengan lebih rapat lagi. Mulanya baik2 saja. Sehinggalah tahun 2020.

Saya bekerja di semenanjung dan dia sebagai pegawai kerajaan/kkm di negeri di bawah bayu. Kami banyak berhubungan melalui mesej saja. Masing2 tahu susah untuk menjawab panggilan. Membalas mesej juga ambil masa. Sibuk. Dia seorang yang sukakan aktiviti luar.

Saya suka berada dalam rumah, jika keluar lebih suka bersendiri di tempat yang tidak sesak. Dia mempunyai ramai kawan. Jauh berbeza dengan saya. Jika saya boleh ibaratkan dia seperti hari yang cerah dan saya mendung.

Ada satu masa apabila dia beriya-iya mesej saya jadi agak ‘annoyed’. Padahal dia tidak salah apa. Masa itu saya mahu sendiri, menyepi tanpa ada orang lain. Mungkin kerana terlalu serabut. Sebabnya saya tidak tahu.

Kalau nak ikutkan memang dari zaman belajar universiti lagi saya sudah mengalami sesuatu seperti itu. Datang dan pergi. Ianya jadi lebih kerap sesudah pulang ke Malaysia dan bekerja. Ada hal keluarga, ada hal kerja ada hal peribadi lagi.

Banyak untuk saya ambil perhatian buatkan saya lebih gemar bersendiri bila ada masa. Saya membalas mesejnya dengan cara yang mungkin menyakiti hatinya. Dan benar itu terjadi.

Kemudian saya jadi marah pada diri sendiri dan rasa bersalah yang amat sangat. Saya pilih untuk menjauh.

Banyak kali berfikir tentang kesalahan saya. Saya korek kisah2 sedih dan pedih yang pernah saya rasa sebelum ni dan ‘indulge’ dalam pemikiran negatif sebegitu. Seolah mahu lari dari membetulkan keadaan dengan teman wanita saya.

Ambil masa beberapa hari juga dengan bantuan kawan rapat yang memberi nasihat akhirnya saya memperbaiki hubungan kami. Syukur baik2 saja. Setelah itu saya lebih menghargai dia.

Apabila berjumpa kami baik2 saja. Boleh dikatakan mesra walaupun saya seorang yang janggal bersosial. Mungkin kerana bagi saya dia adalah sesuatu yang membuatkan saya lupa akan sedih saya.

Saya senyum ceria bila bersama dia. Bila jauh saya kirimkan bunga dan hadiah pada dia. Kerana kesian dia jauh dari keluarga cuma punya rakan2 sekerja di sana.

Saya mungkin tidak mengerti erti susah berjauhan dengan keluarga tapi saya lakukan kerana memang itu yang patut.

Cuma kerana tak pernah mengucapkan cinta secara jelas perasaan saya diragui. Ada dua tiga kali dia katakan tidak yakin dengan niat saya yang ingin menjadikan dia teman hidup.

Masalahnya mungkin saya sendiri. Kerana tak pernah jatuh cinta. Saya fikir dengan cara mengenali lama2 cinta itu datang.

Saya tidak tahu bagaimana cinta itu cuma yang saya tahu jika dia sedih saya akan turut bersedih, saya mahu dia bahagia dan saya menjadi antara penyebab kebahagiaan itu.

Kerana takut terus diragui saya ucapkan sayang dan cinta akhirnya kepada dia. Sekali lagi dikirimkan bunga dari jauh. Dia gembira saya juga gembira. Kami juga sudah berniat ingin melangsungkan pertunangan.

Cincin sudah saya beli. Barang2 hantaran yang lain juga. Saya fikir bahagia yang saya idamkan akan tiba.

Episod merasa ‘down dan kosong’ saya datang dan pergi namun lebih kerap bila menjalinkan hubungan dengan dia.

Mungkin sebab saya banyak menyalahkan diri jika ada tersalah kata atau terguris hati. Banyak kali juga meminta maaf. Dua minggu lepas dalam masa seminggu ada isu kerja, keluar terjadi.

Saya berasa agak marah dan sedih bercampur-baur dan kemudian balik menyalahkan diri kerana melepaskan marah.

Tambahan pula dengan menguruskan hal hantaran saya jadi agak serabut. Mesej yang saya tuju kepada dia tidak berjawab selama hampir seminggu. Dia mungkin sibuk, dia dan rakan sekerja bercuti setelah sekian lama bekerja di hospital.

Jadi saya tidak mahu mengganggu, saya memberi ‘hint’ saja agar soalan saya mengenai hantaran dijawab.

Pada minggu itu saya bekerja 8 hari berturut-turut. Didatangi dengan masalah kerja dan keluarga pada akhirnya membuatkan saya meletup. Dan pada masa itu saya perlukan dia tapi saya tak berani memberitahu secara terus.

Takut menganggu masa dia gembira dengan mendatangkan masalah saya. Soalan saya dijawab setelah dia melihat saya meluah di media sosial. Saya seringkali begitu. Kerana tiada siapa saya luahkan saja di media sosial. Biarlah kelihatan kelakar pun tapi biar dapat meluah.

Saya tahu mengadu itu pada tuhan cuma saya juga masih mahukan ada rakan2 atau dia cuba untuk mendekati walau sibuk macam manapun mereka. Namun tidak terjadi. Saya masih rasa sendiri.

Dia menjawab soalan saya yang telah dibiar seminggu tapi tidak sentuh pun hal saya yang tengah tidak ‘ok’ walaupun dia sendiri melihat di media sosial. Saya katakan saya tengah ‘kosong’. Dia mendoakan kebaikan untuk saya.

Kami melalui beberapa hari lagi tanpa bertegur sapa. Namun, setelah hampir seminggu dia bom saya dengan soalan hantaran.

Bertanya itu ini. Dengan hati yang agak kecewa dan ‘irritated’ saya jawabkan saja. Entah kenapa saya menegur agar sebelum dia mengajukan bermacam-macam soalan lebih baik dia bertanyakan dulu khabar saya memandangkan apa yang terjadi minggu sebelumnya.

Kemudian kesalahan saya sebelum ini diungkit. Dia sekali lagi tidak menyentuh berkenaan episod murung saya. Melihatkan itu saya jadi marah segala apa yang saya rasa dan pendam terus saya keluarkan di mesej. Saya ‘block’ dia di hampir semua platform.

Rasa sedih teramat sangat menghantui saya. Saya jadi lebih murung. Degupan jantung laju, bernafas laju, tangan saya menggelatar, terasa mahu menjerit,

Kepala saya terlalu banyak berfikir tentang tindakan saya yang dungu itu menyalahkan diri terus-terusan seperti mahu pecah dan akhirnya kosong. Cuba menangis tidak boleh, kosong.

Sehari selepas itu saya mendapat emel darinya. Dia katakan tindakan saya (blok dia) bermaksud saya tidak perlukan dia, saya tidak percayakan dia, saya tidak cuba memahami dia. Katanya dia jadi takut untuk menegur saya semasa saya ‘down’ melihatkan saya marah2.

Padahal luahan saya di media sosial sangatlah singkat. 90% merasa murung dan marah saya lebih kepada keadaan dan situasi yang terjadi juga diri saya sendiri, dan dia tidak melihat semua ‘posting’ saya pun dia hanya lihat sebahagian saja.

Membaca emel itu saya jadi lagi geram saya minta untuk jauhkan diri dari dia termasuk tidak berhubung lagi.

Niatnya baik cuma setiap mesejnya membuat saya lagi sakit. Saya jadi susah bertenang, nafas saya laju, tangan saya menggeletar. Tapi masih boleh bekerja. Kemudian saya ambil masa rehat untuk berjumpa doktor.

Setelah diceritakan semua doktor mengatakan saya mengalami anxiety dan depression (kemurungan).

Mungkin sudah lama tapi menjadi lebih teruk setelah beberap kali berlaku hal2 peribadi dan keluarga dalam setahun ini. Cumanya saya masih boleh bekerja walaupun dalam keadaan seperti itu.

Mungkin kerana kerja itu sebagai salah satu cara saya lari dari masalah saya dan saya pandai ‘mask’ kan keadaan sebenar saya masa bekerja.

Saya dipreskrib alprazolam sebagai ubat penenang. Juga disarankan berjumpa dengan pakar swasta (ikut pilihan).

Berbalik pada teman wanita saya. Bukan saya tidak perlukan dia. Tapi di saat saya memerlukan dia tiada. Rakan saya yang lain yang menegur saya. Tetapi dia takut untuk menegur saya.

Sebelum itu juga bila terjadi hal sebegini dia juga tak pernah ‘address’ masalah saya. Balik2 saya meminta maaf. Salahkan diri sendiri. Mungkin kerana dia seorang yang optimistik.

Saya fikir mungkin saya ini terlalu rumit. Kalau ikutkan banyak hal lagi yang terjadi yang buatkan saya rasa susah untuk bertenang, menyalahkan diri sendiri ditambah pula dengan dia yang mengalami kesukaran memahami keadaan saya.

Saya bukanlah orang yang tepat untuknya. Keinginan syurga saja tak cukup.

Keadaan yang berjauhan, masa (di era covid 19) bukan berpihak pada kami. Memikirkan masa depan saya jadi takut. Takut akan menyakiti dia dan diri saya juga.

Saya buat keputusan untuk putus. Tapi jika dia mahu berjumpa sesudah MCO berakhir saya relakan saja. Agar kami putus secara baik. Dan tidak berdendam.

Saya mahu fokus untuk mengembalikan normal pada hidup saya. Saya sangkakan mental saya kuat akhirnya kecundang juga. Mungkin saya susah untuk mendapatkan bahagia.

Saya tahu perpisahan akan menyakitkan dia namun saya takut jika bersama dia akan lebih disakiti. Memikirkan itu saya akan menjadi lebih murung, menyalahkan diri lagi.

Saya percaya jodoh ketentuan dari tuhan. Saya percaya masalah yang datang juga boleh ditangani cuma perlu masa. Saya serah pada tuhan. Saya percaya.

*Sepanjang bersama kami baik2 saja. Bertukar hadiah walaupun dari jauh, bila berjumpa keluarga dia senang saja di hati. Dia dari orang yang baik2. Sopan, menjaga batas. Dia juga pernah katakan saya ini ‘crush’ dia. Malangnya crush ini adalah lelaki yang rumit.

Sekian. Doakan kami…

– Nzrn (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *