Lepas Tangan

Memang tidak dapat dinafikan, sesetengah pesakit lebih rapat daripada golongan kami, iaitu pelajar kolej kejururawatan berbanding dengan doktor perubatan di sesebuah wad. Sejak naik ke semester lima ini, pip di bahu aku yang sebelum ini biru kini bertukar ke warna merah.

Memang di tahun akhir pelajar jururawat, pip kami bewarna merah, kedua-duanya, semester lima dan enam. Jururawat secara asasnya memerlukan pekerjaan yang lebih praktikal, atau hands-on berbanding teori. Bukan aku nak kata teori itu tidak penting mahupun tidak banyak, tetapi praktikal melebihi theoretical.

Mengemas dan menukar cadar pesakit, memberi ubat-ubatan, menolong doktor membuat prosedur di dalam wad serta membuat laporan perawatan pesakit merupakan antara tugas-tugas asas seorang jururawat. Sebagai pelajar, tugas-tugas ini memang dilatih sejak daripada semester 1 pengajian lagi, jadi saat dapat memakai tudung putih bergaris biru nanti tidaklah kekok.

Memang kadangkala orang luar tak memahami tugas-tugas jururawat kadangkala. Ada yang menyangka, memandikan pesakit, menukar lampin mahupun menyuap pesakit makanan adalah sebahagian daripada tugas kami, tetapi sebenarnya tidak.

Segalanya dilakukan atas dasar perikemanusiaan, tambahan kepada waris-waris pesakit yang kadangkala mengabaikan terus pesakit yang uzur. Jadi, mahu tak mahu, perlulah membuat perkara demikian.

Kisah aku bermula apabila Pakcik Said dimasukkan ke wad atas sebab jangkitan kuman di salur kencingnya (urinary tract infection). Sewaktu itu aku bertugas di wad perubatan lelaki, yang mana kebanyakkan pesakit adalah pesakit yang terkena jangkitan kuman, angin ahmar mahupun komplikasi-komplikasi penyakit yang lain.

Pak Said berumur 64 tahun. Selepas diserang angin ahmar yang menyebabkan bahagian kanan badannya lumpuh, dia tinggal di rumah bersama anaknya, pasangan suami isteri yang berumur dalam lingkungan 40-an.

Apa yang menyebabkan aku pelik adalah kekerapan pesakit ini masuk wad. Baru seminggu lepas dia dimasukkan ke wad yang sama atas ssebab jangkitan kuman di paru-paru. Dan mengikut kepada jururawat yang memang bertugas di wad itu, pesakit itu adalah pesakit regular.

Kalau nak tahu, bukan setakat warung dan restoran sahaja yang ada regular customer, wad-wad di hospital juga ada. Pesakit yang sama, penyakit yang lebih kurang sama.

Muka-muka familiar ini bukanlah aku tuduh warisnya tidak menjaga pesakit dengan baik, tetapi aku hanya hairan sahaja ketika itu. Lagipun kebanyakkan sebab dia dimasukkan ke wad adalah kesan daripada dia yang tidak dijaga dengan elok.

Awal jam 8.30 pagi, aku mengikuti doktor-doktor pakar membuat rondaan, atau apa yang kita panggil morning round. Sewaktu itu, aku memang perasan, anak Pak Said, Rizal ada duduk di sebelahnya.

Selepas kubikel demi kubikel, katil demi katil, kami akhirnya tiba di katil Pak Said. Memang sebagai pelajar, aku duduk di belakang sahaja, maklumlah di depan aku ada jururawat, house officer, kemudian medical officer dan juga doktor pakar.

Kadangkala, doktor pakar menanyakan soalan secara terus kepada waris pesakit, memandangkan pesakit ini khasnya, tidak boleh bercakap dengan kuat dan betul, akibat angin ahmar yang aku ceritakan tadi.

“Di rumah siapa yang jaga Pak Said?”, kata Dr Chee, seorang pakar perubatan yang membuat round itu.

Dr Chee memang aku kenal perwatakannya. Dia salah seorang doktor pakar yang paling muda. Saat orang lain baru sahaja melangkah menjadi medical officer selepas house officer, Dr Chee sudahpun bergelar pakar.

“Oh, ayah duduk bersama kami. Saya dan isteri yang jaga. Kami pun ada anak seorang, berumur 19 tahun yang tolong jaga sekali ayah”, kata anaknya Rizal memandangkan Pak Said terketar-ketar dan terpinga-pinga, baru nak memikirkan jawapan daripada soalan yang ditanyakan oleh doktor pakar.

“Jadi saya harap Encik Rizal dah sedia maklum tentang penyakit ayah encik ya? Kami mulakan antibiotik dan akan melihat kesannya berdasarkan ujian darah. Jadi ada apa-apa soalan?”, kata Dr Chee.

“Agak-agak bila boleh balik doktor?”, kata Rizal pula.

Memang tak dinafikan, soalan “bila boleh balik” tu merupakan soalan yang sangat kerap ditanyakan oleh waris pesakit. Dah jadi macam Frequently Asked Question (FAQ) di hospital ini.

Kadangkala mereka tidak ingin tahu sangat mengenai penyakit dan rawatan yang diberikan, namun lebih kepada nak tahu, bila pesakit boleh discharge.

“Nanti kita lihat perkembangannya berdasarkan ujian darah. Kalau semakin elok dan dah sihat nanti boleh balik ya”, sampuk salah seorang medical officer di situ.

Anaknya mengangguk sahaja. Aku lihat, salah seorang house officer, Dr Azam di cardiac table pesakit pantas mencatatkan apa yang ditanyakan serta apakah pelan seterusnya yang keluar daripada mulut pakar.

Mereka pun menulis bukan sekadar macam tukang tulis atau wartawan, tetapi mereka juga harus tahu yang mana satu pelan pesakit yang harus diutamakan dan yang mana satu tidak. Morning round diteruskan.

Saat ke pesakit sebelah, aku perasan Rizal mengangkat telefon seraya berjalan keluar meninggalkan wad. Mungkin dia ingin menyampaikan pelan dan maklumat yang baru sahaja diketahuinya itu kepada isterinya.

Selesai morning round, banyak juga pekara perlu aku buat. Lebih kepada menolong mengurangkan tugas staf di wad. Aku buat kerja seperti biasa. 2 tahun lebih dah aku duduk di wad sana dan sini, aku kira sudah cukup untuk aku tahu dan hafal perkara apa yang harus aku buat.

Kebetulan Pak Said duduk di kubikel yang aku harus jaga hari itu, bersama dengan 8 orang pesakit lain. Jam menunjukkan pukul 11.00 pagi. Aku harus mula mengambil dan mencatat tekanan darah setiap pesakit di bawah jagaanku.

Sampai di katil Pak Said, segera dia cakap dengan aku. “Adik misi, pakcik rasa pakcik dah terbuang air besarlah”, katanya.

Walaupun pergerakkan mulutnya agak abnormal, dan kata-katanya kurang jelas, aku masih dapat memahami lagi apa yang dikatakan setelah aku menghampirinya.

“Oh, tak mengapa pakcik, pakcik pun dah pakai lampin kan?”, kataku.

Pesakit sebegini mana mampu berjalan, jadi memang dah siap pakai lampin siap-siap. Sememangnya, setelah pesakit membuang air besar, lampin harus ditukarkan. Biasanya, waris pesakit yang menjaga perlu berbuat sedemikian.

Bukan aku mahu berkira, tetapi aku hanya mahu menerangkan itulah yang sepatutnya. Bukan mengharap misi menukar lampin atau apa-apa. Aku pandang sekeliling. Di manakah gerangannya Rizal? Memang semenjak pagi semasa round tadi dia dah pun meninggalkan wad dan tak datang-datang semula.

Tapi aku terfikir juga, kalau Pak Said itu ayahku, aku tak mahu dia tak selesa seperti itu. Kau bayangkan sahajalah, kalau ada najis di dalam lampin, pastinya tak selesa dan menggelikan juga. Dengan baunya, dan rasanya. Segera aku dapatkan kawanku, Liyana.

Masakan tidak, aku seorang mana mampu nak mengalih pesakit sedemikian. Lagipun kalau buat kerja bersama, lebih memudahkan tugas dan tak menyakitkan pesakit.

“Hang ni Shira, ada-ada saja. Aku baru je naik ni daripada hantar pesakit katil 23 tu ke X-ray”, kata Liyana.

Dia juga berasal daripada utara. Namun hanya menetap dengan keluarganya di Melaka. Aku tersenyum sahaja. Segera aku menyediakan tisu basah, baju dan kain salin pesakit yang baru.

Aku tercari-cari lampin di sisi katil Pak Said, tapi tak jumpa. Sebetulnya, lampin dewasa sememangnya tidak disediakan oleh hospital kerajaan. Biasanya kalau ada lebihan, ataupun pesakit lain yang bersedekah, itu tiada masalah, tetapi hari itu tiada.

“Pakcik, anak pakcik ada tinggalkan lampin untuk pakcik tukar tak?”, tanyaku dengan suara yang sedikit kuat.

“Maaf adik misi, pakcik tak tahu”, kata Pak Said seraya menggelengkan kepalanya.

Agaknya, pertanyaan aku itu didengari oleh waris pesakit di sebelah katil Pak Said, segera anak perempuannya yang berumur lingkungan 30 tahun itu memberi aku satu plastik beg mengandungi beberapa helai lampin dewasa.

“Nah, gunalah ni dulu. Ayah akak ni pun dah boleh balik hari ni, kat rumah kami ada lampin untuk dia. Yang ni adik pakailah untuk patient tu”, katanya.

Aku mengucapkan terima kasih, mewakili Pak Said. Segera aku dapatkan Liyana, yang sememangnya daripada tadi dah bersiap sedia, dengan apron plastik, topeng muka dan sarung tangan getah ditangan. Aku menolak troli yang mengandungi kesemua peralatan untuk menukar lampin pesakit.

Aku menutup rapat langsir pesakit. Aku sarungkan glove, mask dan apron plastik. Aku alihkan badan pesakit perlahan-lahan. Ringan sahaja badannya. Maklumlah badannya amat kurus kering. Lagipun itu bukan kali pertama aku menukar lampin pesakit. Dah agak mahir.

Sambil menukar lampin pesakit aku mula berbual bersama Pak Said. Sememangnya prosedur itu agak memalukan pesakit, jadi untuk mengurangkan rasa tidak selesa yang memenuhi ruang atmosfera itu, aku biasanya akan berbual bersama pesakit. Bau najisnya yang menusuk itupun aku dah lali. Tiada apa yang berbeza.

Aku dapati bahagian belakang pesakit itu sedikit melepuh. Ulser tekanan. Bed sore dalam bahasa inggerisnya, bermaksud luka yang terbentuk kesan daripada pesakit yang baring pada posisi yang sama sahaja sepanjang hari. Kawasan itu tidak akan mendapat bekalan darah yang mencukupi akibat berat badan yang menghimpit salur darah di situ, jadinya kulit di situ akan mula melepuh.

Sambil aku menukar, tiba-tiba sahaja langsir dibuka sedikit. Dr Azam, house officer di wad itu memang aku dah kenal agak lama daripada sebelum ini menjengah. Segera aku tunjukkan kepadanya.

“Nampak macam grade I bed sore je tu, nanti waris patient balik, saya akan cakap kat dia, dan penjagaan dia sekali”, katanya sambil mencatat di dalam fail pesakit.

Selepas itu, dia terus ke katil sebelah. Aku rasa dia memerlukan bantuan untuk membuat prosedur, tetapi memandangkan tangan aku dan Liyana terikat, dia tunggu sahaja di situ sebentar.

“Pakcik, kat rumah pakcik duduk dengan anak pakcik kan?”, aku pura-pura bertanya untuk memulakan perbualan.

“Mana ada. Aku tinggal dengan anak jiran aku ni je. Budak Sufiah tu. Dia pun jaga macam nak tak nak je kat aku. Anak pakcik, Rizal tu upah dia untuk jaga. Rizal tu, dia duduk rumah lain dengan bini dia, bukan sama dengan aku pun”, kata Pak Said.

Kata-katanya menimbulkan sedikit kehairanan dalam diriku. Tadi terang-terangan anaknya, Rizal berkata kepada doktor bahawa merekalah yang menjaga dan duduk serumah dengan ayahnya. Tak kan mereka menipu.

“Eh, ingatkan anak pakcik yang pagi tadi tu jaga?”, kataku, mula menyiasat.

“Bertuahlah. Tu, dia dengan bini dia asyik berkelahi je, sebab masing-masing tak nak jaga aku. Dah susah-susah, akhirnya dia campak aku ke rumah jiran dia pula. Dulu aku ada isteri, tapi sejak dia dah meninggal, memang aku kebanyakkan masanya duduk seorang diri. Si Sufiah tu pula, kejap ada kejap takde. Alah, budak umur 17 tahun, apalah yang boleh diharapkan”, kata Pak Said, membongkar segalanya.

Sesudah aku selesai menukar lampin, aku membuka fail pesakit. Aku ingin melihat, apakah yang tertulis di situ. Memang aku dapat baca tulisan Dr Azam yang cakar ayam itu, bahawa pesakit tinggal bersama anak dan menantunya. Dijaga sepenuhnya elok-elok di rumah.

Keadaan mentalnya juga normal, dan oriented, bermaksud dia tidak merapu atau bercakap yang tidak-tidak. Aku bingung. Aku merapati Dr Azam yang sedang sibuk memeriksa keputusan ujian makmal di skrin komputer di meja wad.

“Doktor, patient ni beritahu saya kat rumah dia, dia tinggal dengan pengasuh tak bertauliah kat rumah jiran anaknya, bukan rumahnya”, kataku, melaporkan informasi yang baru aku tahu.

“Alah dik, memang kita semua tahu dah cerita dia ni. Dulu saya pernah bertanya betul-betul anaknya Rizal tu, hujungnya, diadunya saya kepada pengarah hospital. Last last, saya yang kena tindakan tatatertib sebab kononnya saya berkasar dengan anak dia tu. Sembang je lebih. Kononnya dialah jaga patient tu kat rumah”, kata Dr Azam, sedikit marah juga nada suaranya.

“Dahtu, takkan kita nak biarkan macam ni je doktor?”, kataku. Aku tak puas hati mendengar penjelasan Dr Azam itu. Ibarat macam lepas tangan sahaja.

“Yalah dik, saya ada beritahu bos lama juga hari tu, lepas bos (doktor pakar) dah sound-sound anak dia, diorang cuma angguk-angguk, kononnya faham, lepastu sama je kesudahannya. Ni Dr Chee pun tak tahu lagi cerita betul. Saya rasa kalau dia tahu pun, nanti dia marah-marah waris patient tu, tapi last-last takde apa pun yang berubah”, katanya.

Kemudian dia menyambung, “Anak dia Rizal tu kerja kerajaan pula. Bila dah asyik masuk wad je, saya ada nasihat dia, hujungnya dia ugut nak lapor kat SISPA pula. Alah, awak tahu je lah dik, sekali nama dah naik kat SISPA, susah nanti. Silap-silap saya kena buang kerja pulak. Sanggup menipu nak tutup malu dia, nak tutup dia anak yang tak guna sampai abaikan ayahnya macam tu.”, katanya sambil meneruskan penulisannya di fail pesakit.

Kadangkala kita rasakan perbuatan berlaku jujur, berlaku adil dan menceritakan segalanya atas sebab menegakkan hak pesakit itu memang betul, tetapi hakikatnya, tak semua yang berada di “atas” itu setuju akan perbuatan kita. Tambahan pula kadangkala mereka yang berada di “atas” itu tidak pernah berdepan dengan pesakit sebegini, atau pun mereka pernah tetapi terpaksa menutup sebelah mata untuk menjaga nama baik kementerian.

Selagi berada di bawah, kita ini ibarat mentimun dengan durian. Menggolek rosak, kena golek binasa. Hujungnya, sistem ini yang sudah berpuluh tahun kekal sebegini, tidak akan berubah selagi mentaliti mengugut dengan tindakan tatatertib apabila aduan diterima tanpa memeriksa siapa betul siapa salah terlebih dahulu. Kesannya pula, mereka malas untuk nak ambil tahu dan bersikap lebih kepada ‘kalau tahu pun senyap-senyap sahajalah’.

Aku juga baru tahu wujudnya golongan-golongan sebegini yang mengabaikan orang tua mereka, dan kemudiannya bersikap defensif saat ditegur mereka yang merawat. Baru aku tahu wujud juga waris sebegini rupa. Waris pesakit penipu. Lepas tangan begitu sahaja.

TAMAT…

Kisah ini dikongsikan oleh rakan karib saya, yang kini sudahpun bergelar jururawat terlatih. Pengalaman yang dia hadapi sewaktu bergelar jururawat pelatih (JP) dikongsikan kepada saya. Namanya, lokasi dan nama pesakit saya tukar sepenuhnya. Beberapa perincian dan dialog saya tambahkan untuk menjadikan kisah ini lebih menarik. Namanya terpaksa saya rahsiakan, maklumlah, karang tiba-tiba dia pula yang dituduh macam-macam.

Sesungguhnya pengalaman jururawat dan doktor, walaupun bekerja di tempat yang sama, tetapi pengalamannya berbeza. Semoga rakan-rakan pembaca boleh mendapat iktibar daripada perkongsian saya kali ini.

– Ilzanno Sharky

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *