LGBT dan Usaha Ke Syurga

Hari tu aku ada post berkenaan ‘Aku & Gender Dysphoria’. Ada macam-macam maklum balas. Cuma ada beberapa yang aku ingin balas kembali. Ada yang kata post aku lebih menjurus pada seksis, bukan gender dysphoria. Aku risau nak cerita terlalu mendalam kerana ianya terlalu peribadi pada aku. Aku akan cuba tambah lagi di post ni.

Berkenaan cita-cita pula, ada yang suruh aku jadi askar. Aku memang pegawai kadet tentera darat masa di IPT. Aku terlalu ghairah mengejar kerjaya sebagai pelaut. Nak faham perasaan aku macam mana, tonton filem ‘Pulang’. Macam tu la aku rasa. Aku dan laut ada persamaan. Ada masanya tenang, ada masa boleh jadi pemusnah alam.

Sebelum tu istilah gender dysphoria bermaksud seseorang yang merasakan dia berada pada jasad yang jantinanya bertentangan dengan nalurinya. Pendek cerita, berada pada badan yang salah. Jangan samakan dengan ‘tomboy’ atau ‘penkid’. Ada ciri yang sama dan ada yang berbeza.

Walaupun sekolah aku semua perempuan, tapi aku bukanlah jenis yang feminin. Seni bela diri menjadi mainan dari sekolah rendah sampai ke IPT. Bila mencapai akil baligh, dah mula ada payudara, aku dah mula rasa resah. Aku nak ikat dada tapi sebab aku selalu fikirkan apa yang orang akan kata, aku tak buat.

Gender dysphoria ni buat aku berperang antara naluri, adat dan agama. Aku tak suka fizikal aku sebagai perempuan, tapi dalam masa yang sama aku juga sebahagian dari keluarga yang konservatif.

Melangkah ke IPT, aku rasa aku lebih bebas dari segi berpakaian dan tingkah laku. Aku dah berani keluar tak bertudung sebab aku merokok. Aku takkan sesekali mencalar imej wanita bertudung. Dan di IPT juga kali pertama aku duduk diasrama. Mungkin kerana perawakan aku seakan-akan lelaki, ada kawan perempuan yang tertarik pada aku. Maka bermulalah fasa dalam hidup aku, aku terjebak dalam ‘Same Sex Attraction (SSA)’.

Aku tak nak bercerita lebih lanjut tentang dunia SSA aku. Isu LGBT ni pun isu yang tengah diperdebatkan sekarang. Aku nak kongsi untuk sahabat aku kat luar sana yang cuba mencari jalan keluar dari dunia LGBT.

Perjalanan hijrah aku bermula apabila aku diperkenalkan dengan sebuah kumpulan usrah. Bila sebut pasal usrah, ramai yang akan fikir tentang ahli agama yang judgemental, sesi ‘brainwash’. Silap. Usrah yang dikenali dengan Usrah Iqra’ ini telah bertapak hampir 5 tahun, membantu golongan LGBT mendekati agama dan Al-Quran secara khususnya. Disini juga kami berkumpul untuk saling memberi sokongan moral.

Aku rasa sangat bersyukur ditemukan dengan usrah ni dan orang-orang didalamnya. Masing-masing sentiasa saling mengingati agar sentiasa berada dijalan diredhaiNya. Hanya yang pernah mengalami yang mampu memahami. Sebab itulah segala kecaman berkenaan golongan LGBT aku diamkan. Diam bukan bermaksud redha tapi demi menjaga hati sendiri.

Sekarang, sudah ada NGO yang membantu golongan LGBT untuk berhijrah seperti Islah Movement dan Hijrah Republique atau boleh singgah ke page Jalan Pulang – LGBT.

Satu lagi medium adalah melalui aplikasi ‘Hijrah Diri Homoseksualiti’ yang boleh dimuat turun di Google Playstore. Terdapat tazkirah, eBook, artikel dan himpunan doa yang boleh dijadikan rujukan.

Aku tahu perjalanan ni masih panjang. Aku juga sedang melawan penyakit mental dan dalam masa yang sama berperang dengan naluri.

Seperti juga pesakit mental, golongan LGBT juga terdedah pada stigma. Ramai yang takut untuk mendapatkan bantuan sebab lebih ramai yang menjatuhkan dari membantu. Jadi sekiranya tidak dapat membantu dengan cara nasihat dan dakwah, bantulah dengan doa. Doakan aku dan sahabat yang lain terus istiqamah. Yang aku harapkan kami semua melangkah ke syurga bersama-sama.

Kita jumpa di jannah ye sahabat..

– D’satirah

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *