Lidah Itu Bersuara Lagi

Sengketa itu berulang lagi. Kami bergaduh lagi. Ya, kami. Anak-anak dengan ayah kandung sendiri. Entah kali yang ke berapa. Penat tau.

Dan setiap kali pergaduhan tu berlaku, kami adik-beradik sakit dada. Sebab sengsara kami terbenam begitu lama dalam diri. Tak terluah. Jadi bila bertengkar, dada jadi sesak sangat. Penuh. Tuhan saja yang tahu.

Dah lama teringin bercerita di sini. Semoga menjadi iktibar kepada semua. Sekurang-kurangnya kalau ada anak-anak yang rasa dipersia, dipersalahkan, you are not alone. Kalau ada yang baru mendirikan rumahtangga, tolonglah kenal tanggungjawab.

Kami enam beradik, semua perempuan. Jadi, dengan minda orang dulu-dulu, ibu selalu dipersalahkan oleh bapak sebab tak lahirkan anak lelaki. Macam tu lah… Tapi pergaduhan kali ini dan sebelum-sebelumnya bukanlah itu menjadi agenda utama. Tapi sebab duit.

Kami adik-beradik paling rendah tahap pengajian diploma. Tapi ada yang suri rumah juga ambil tanggungjawab menjaga keluarga sendiri. Aku salute je suri rumah ni. Aku sendiri letih waktu sekali-sekala jadi suri rumah… waktu cuti… hehe

Bapak bekas manager. Dah 60-an, dahulu pernah bekerja buruh dalam sektor kerajaan sebelum ke sektor swasta. Jadi adalah pencen ratusan ringgit bulanan.

Masa kerja sebagai manager dulu, memang dia tak pernah beringat pasal duit. Sembunyi daripada pengetahuan anak isteri. Gaji 4-5k monthly, hujung tahun including bonus dan lain-lain cecah 5 angka juga. Sembunyi ya! Vacation? Tak pernah langsung.

Kami sentiasa terjumpa payslip bapak yang tak pandai simpan tu. Pada ibu RM600-700 je bulanan untuk sara anak-anak yang ramai.

20 tahun lepas, 4-5k monthly tu boleh consider banyak lah kan? Hutang rumah takde, hutang belajar takde, so almost 4k tu memang untuk bapak sorang, shopping barang-barang dia seorang, belanja kawan-kawan.

Kalau kami balik dari jauh sebulan sekali waktu belajar dulu, memang makan seranah sebab menyusahkan bapak nanti nak kena bagi duit poket pada kami. “Balik lagi?” “Kenapa balik?” “Menyusahkan aku”…

Ntah la kalau difikir balik, nasib la Allah pelihara kami adik-beradik tak jadi jahat cari jantan ke apa yang tak elok dalam keadaan bapak yang tak senang bila anak perempuan ada depan mata. Berkat doa ibu barangkali Allah jaga.

Bergaduh tadi tu sebab bapak nak duit, sebab penat ‘bela’ anak sampai besar belajar tinggi, hasilnya tak dapat. Korang kena faham ye, nak duit untuk diri dia seorang. Bukan untuk dia dengan ibu.

Dia bengang sangat-sangat sebab di usia senja ni ibu banyak jalan-jalan vacation merata. Sebab dia memang hina ibu daripada kami kecil lagi. Ibu takde apa-apa, lemah, bergantung hidup cuma pada dia kononnya.

Dia tak pernah tahu pendapatan ibu menjahit bulan Ramadan saja cecah RM4k. Kami adik-beradik je yang tahu sebab kamilah yang tolong kirakan duit-duit ibu, yang akhirnya ibu buka akaun simpanan untuk anak-anak, belikan barang persiapan raya, dan lain-lain.

Kami pandai menjahit sebab rajin bantu ibu Sabtu dan Ahad waktu sekolah menengah dulu. Bagi bapak itu semua hasil titik peluh dia. Pendapatan ibu kena sembunyi, kalau bapak tahu ibu banyak duit nanti nafkah boleh ke laut dalam.

Rahsia ni terbongkar bila kami dah besar ni je. Itu pun bapak masih ‘in denial stage’. Bagi dia ibu memang bebanan. Terbongkar pendapatan ibu dulu-dulu sebab kami dah tak tahan. “Kau bantu apa untuk keluarga?” “Bila kau ambil upah menjahit?” “Kau satu sen pun tak bantu sara keluarga!”

Itulah antara zikir bapak pada ibu setiap kali mereka bertengkar. Ibu tidur dicelahan timbunan kain pun dia masih nafikan semua tu.

Mata kami semua saksi ibu kami kuat. Kami ke universiti pun ibu yang uruskan cari kereta ayah saudara, gadai barang kemas ibu hasil ambil upah menjahit, macam-macam lah lagi. Banyak sangat. Bapak cuma naik kereta jadi co-driver yang tak berfungsi. Tanyakan arah pun tak nak.

Pernah kami tidur di kem tentera sebab ayah saudara ada kenalan di sana waktu nak hantar ayong ke universiti dulu. Harap bapak? Kami dapat sakit je daripada dia. Ya dapat sakit. Anxiety!

Mana taknye, tunjuk surat tawaran ke universiti, maki hamun kami dapat. Sial, haram jadah, barua, sebut je apa lagi sumpah seranah. Kami telan. Bagi bapak kami menyusahkan dia. Nak kena habiskan duit, hantar belajar jauh-jauh,

Padahal kami panjat tangga bas sendiri ke bandar untuk uruskan akaun bank PTPTN, buat medical check up di hospital, semua kami gerak sendiri. Ibu doa di rumah. Zaman tu kan mana ada telefon 3310 lagi. Kalau barang keperluan lain, naik motosikal bawak ibu ke kedai.

Oh hampir terlupa. Kami adik-beradik habis SPM je memang tak rehat. Terus panjat tangga bas, cari kerja sambilan bagi menampung perbelanjaan sambung belajar.

Sebab makian dan cacian bapak akan stop bila kami persembahkan semua urusan sambung belajar dia tak perlu fikir even duit untuk beli keperluan. Nak kahwin pun sama je. Menyusahkan dia.

Kami adik-beradik ni kalut nak kahwin lepas 2-3 tahun grad sebab kami takde tempat nak bergantung harap. Pernah accident, bapak maki je buat lauk tambah. Selesai masalahnye tak. So kami pilih untuk berkawan dengan serius, dan kahwin.

Tapi nak kahwin tu makan seranah lagi sebab susahkan dia. Padahal peruntukan kenduri semua guna wang hantaran daripada pihak lelaki.

Kami kerja kumpul duit baiki rumah, beli barang keperluan untuk kahwin pun sikit-sikit je ikut kemampuan gaji fresh graduate 20 tahun yang lalu.

Baru nak inform je bapak ada orang nak datang merisik, kami dah tak senang duduk. Jalan mundar-mandir takde arah tuju dalam rumah, pusing keliling katil, duduk balik, sakit perut, nak cirit-birit, nak muntah semua tu kami rasa dan alami. Bapak hadiahkan kami anxiety.

Tadi masa bergaduh, bapak ada cakap kami anak-anak tak kenang budi. Aku dengan ayong cakap je kami kenang semua.

Kami kenang bapak kami caci maki bila dengar kami dapat tawaran universiti negeri lain sebab dia tak suka nak mengaku dia tak tahu arah mana nak dituju, mintak bantuan orang, semua tu menjatuhkan maruah dia aku rasa. Jadi kami cakap kami kenang je semua.

Kami kenang ayah saudara yang sanggup ambil cuti uruskan kami ke universiti, tinggal anak isteri demi kami, bapak yang jadi co-driver tak berfungsi,

Kolej kediaman berkilometer dengan fakulti mintak tolong bapak dahulukan deposit motosikal pun hari-hari dia bergaduh dengan ibu mintak balik duit tu keesokan harinya, lepas booking motosikal untuk ayong. Telinga aku pun bernanah jugak masa tu.

Akulah yang bawak ibu ke pajak gadai, gadaikan barang kemas ibu untuk bayar balik deposit motosikal ayong tu. Baru senyap. Mana ntah dia belajar tanggungjawab ke laut dalam ni sampai sekarang kami tak faham. Bapak as always… mana mengaku dia pernah buat tu semua.

Banyak lagi sejarahnya yang buatkan kami adik-beradik memang bagi duit kat ibu je every month without fail. Ribuan jugak untuk ibu, sebab aku sorang je peruntukkan insurans perubatan hampir RM1k monthly untuk ibu yang dah menjangkau usia 70 tahun tak lama lagi.

Belum lagi kredit ke akaun, dan adik-beradik aku yang lain pun sama memang ada portion untuk ibu setiap bulan. Jadi bapak tak puas hati.

Dia nak duit untuk dia sorang, seratus dua daripada sorang anak dia tak nak. Sebab kami kerja besar katanya, dia nak monthly income yang besar.

Tapi hutang belajar kami dulu, hutang kediaman kami dengan suami, peruntukan anak-anak lagi dia tak nak fikir dan tak pernah peduli. Mungkin paling sesuai ayatnya tak mahu peduli kot.

Aku ambil insurans perubatan untuk ibu pun sebab kalau ibu sakit sebelum-sebelum ni bapak cuma tanya “Kau dah nak mampos ke?” Sakit sampai tak masak, tak bangun. Itu je kalam bapak aku. Isteri mana tak merana?

Jadi untuk seorang isteri yang berjuang demi kehidupan anak, aku tak sanggup nak sia-siakan kesihatannya di usia senja begini. Aku nak yang terbaik buat ibu.

Makanan? Kami balik kerja belikan lauk hantar untuk ibu dengan bapak, dia tak nak. Kalau bagi pada dia, maksudnya untuk dia. Baru bawa makna kami menjaga dia. Untuk ibu? Pandai-pandailah nak hidup.

Dan pergaduhan tadi kami cakap pada bapak, kami tak pernah berkira untuk bagi duit pada orang tua, asalkan bapak jaga ibu elok-elok. Nak melancong overseas tiap-tiap tahun pun dapat. Ini tak, makanan bapak hanya untuk bapak, sembunyi daripada ibu dalam baldi atau raga motosikal dia.

Kalau sorang anak bagi seratus dua, bapak tak nak. Bapak cakap kerja besar takkan banyak tu je? Dulu kami pernah bagi mentah-mentah, bapak tolak dengan ayat “Ini je? Baik tak payah!”

Kami balik kampung, masak hidangan penuh meja, bukan 2-3 jenis lauk ye… berjenis, pelbagai menu. Tapi itu semua tak cukup untuk bapak selagi anak-anak tak bagi ribuan ringgit untuk dia.

Dan tadi punca pergaduhan tu asalnya bila bapak ambil semula rantai leher tinggalan arwah nenek untuk aku dan ayong. Dia cakap arwah nenek bagi bersyarat. Kalau dia susah anak-anak perlu pulangkan.

Jadi memandangkan dia jual tanah kena tipu, akhirnya tanah tergadai, duit dapat 50% pun tak sampai, kami dengan ibu jadi punching bag bapak untuk sekian kalinya.

Tapi kami tak kisah pun. Memang harta berkoyan yang ada pun kami tak warisi apa-apa selain daripada rantai yang dikerat dua tu je satu-satunya. Dia risau nanti menantu-menantunya tumpang senang. Jadi, ambillah balik. Memang dah takdir kami dapat bapak macam ni. Kami redha.

Masa pencen 7-8 tahun yang lepas, bapak dapat duit almost RM200k. Masa tu dia happy labur ke semua projek yang tergendala. Buat rumah di tanah pusaka milik dia cuma satu bilik, itupun orang kampung yang bagitahu ibu.

Tadi aku dengan ayong ada ungkit juga, masa senang dulu tinggalkan anak isteri, kenduri kesyukuran pun tak merasa. Buat rumah akhirnya jadi tongkang pecah, nak sewakan pun malu kat orang sebab rumah tak semenggah. Tapi duit habis. Jual pulak tanah, kena tipu.

Kalaulah dulu bincang dengan anak isteri, mungkin dah dapat monthly income hasil sewa rumah. Sebab masa tu kalau dikira, duit bapak masih berbaki kalau buat dua biji rumah sewa pun, sebab kawasan tu memang hot spot. Ade je orang cari rumah kampung untuk disewa di kawasan tu.

Iklan biasanya 2-3 jam lepas tu dah tutup sebab dah dapat penyewa. Tapi waktu kaya bapak selalu zikir “Duit aku, aku punya suka. Korang tak payah ambil tahu.”

Aku tak tahu bila sengketa ini bakal berakhir. Sebab fitnah bapak pada kami pun menjadi-jadi sekarang, hinggakan kalau orang terserempak je kami anak-anak “bapak” ni, muka diorang terus berubah, jeling seolah-olah kami ada masalah dengan diorang.

Dan mereka-mereka tu orang kampung bapak jugak, yang segala fitnah tersampai tu dari mulut ke telinga-telinga yang akhirnya sampai kepada kami, mahupun terserempak dengan kami sendiri bapak tengah asyik bercerita dengan si polan yang akan sampaikan balik fitnah-fitnah bapak tu ke telinga ibu.

Kami? Cuma mampu telan, bangun tidur dengan Alhamdulillah, buka mata, masih atas dunia, yang dijanjikan tempat diuji sebelum kembali kepada-Nya yang satu.

Doakan sengketa ini berakhir ya. Doakan ujian kami berakhir dengan mudah dan kebaikan. Ambillah pengajaran daripada kisah hidup kami, ujian kami adik-beradik dan ibu atas dunia sementara ni.

– ketam (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *