Nama aku Zaki, dilahirkan dalam keluarga yang sederhana, namun penuh dengan kasih sayang.
Mak ayah aku kedua-duanya bekerja keras. Ayah aku dulu seorang petugas swasta yang dah bersara, sementara mak aku seorang guru yang sangat dedikasi dalam mendidik kami adik-beradik.
Walaupun hidup kami tak mewah, kami sentiasa diberi pendidikan yang baik, dan yang paling penting, nilai-nilai berjimat-cermat, menabung, serta bersyukur dengan apa yang ada.
Rumah kami tak besar, tak juga mewah. Kalau makan di luar, jarang sekali, apatah lagi kalau nak pergi ke restoran mahal. Kalau ada pun, biasanya kami makan di kedai makan yang sederhana.
Aku masih ingat betapa ayah aku menjaga setiap perbelanjaan dengan teliti. Semua urusan kewangan rumah diurus dengan penuh cermat, tanpa pembaziran, dan sentiasa ada simpanan untuk masa depan. Adik-beradik aku semua diajar untuk menghargai setiap sen yang ada.
Namun, bila ayah aku bersara, ada perubahan. Mereka mulai berbelanja, buat rumah yang lebih besar, beli kereta baru yang lebih mewah. Adik-adik aku gembira dengan perubahan ini, mereka dapat merasa hidup yang lebih senang. Aku ok je, sebab aku fikir, bila lagi mereka nak merasa hasil dari simpanan yang mereka ada.
Tapi cerita ni sebenarnya bukan tentang keluarga aku, tetapi tentang aku dan Mei Lien, atau Mei seperti yang aku selalu panggil. Kami berkenalan semasa ambil degree. Mei berasal daripada keluarga mualaf, yang mana kedua-dua ibu bapanya masuk Islam lama dulu.
Walaupun mereka telah memeluk Islam, mereka masih kekalkan nama Cina, dan bagi aku itu sesuatu yang indah. Nama mereka bukan sahaja mempunyai makna yang baik, tetapi juga menunjukkan betapa kuatnya pegangan budaya mereka.
Aku sangat kagum dengan cara keluarga Mei mengintegrasikan Islam dalam hidup mereka, walaupun latar belakang mereka sangat berbeza.
Mei ni seorang yang sangat pendiam, rendah diri, dan memang nampak sangat modest di mata aku. Aku senior beberapa tahun dari dia, tetapi kami cepat mesra walaupun berlatar belakang agak berbeza.
Aku sering ajak dia keluar makan walaupun kami sebagai student, hidup serba sederhana, tetapi aku tetap ingin memberikan yang terbaik untuknya. Kami makan di restoran-restoran fancy—western, sushi, dan kadang-kadang, kalau ada hari istimewa seperti anniversary kami, aku bawa dia ke Seoul Garden.
Mei selera ‘Tekak Melayu’, jadi aku yang ajar dia menikmati makanan-makanan lain. Pada mulanya, Mei agak kekok. Namun, asalkan aku dapat lihat dia gembira dan mencuba benda baru. Kami berdua menikmati setiap detik itu. Dari hubungan yang baru bermula, ia semakin erat dan matang.
Setelah aku tamat pengajian dan Mei masih belajar, aku mula bekerja. Pada hujung minggu, aku ajak Mei keluar makan atau jalan-jalan. Aku tahu hidup kami masih sederhana, tapi aku mahu memberikan dia pengalaman indah yang dia tak dapat semasa zaman belajar dulu.
Kami mula menikmati kehidupan dewasa bersama, dan aku rasa masa itu tepat untuk bawa Mei ke rumah aku. Kami nak celebrate birthday adik aku, dan itu adalah hari yang aku tak akan lupa.
Hari tu, Mei pertama kali datang ke rumah aku. Seperti biasa, aku berharap semuanya berjalan lancar dan Mei selesa. Tapi, ada satu soalan dari Mei yang aku tak dapat lupakan.
“U ni anak orang kaya ke?” tanya Mei, terkejut melihat rumah aku besar.
Aku tergelak. “Eh, kenapa tanya macam tu? Rumah biasa je ni,” jawab aku sambil tersenyum.
Namun, dalam hati aku, aku rasa pelik. Kenapa Mei tanya macam tu? Rumah kami pada aku biasa je. Aku tak pernah rasa kami kaya. Tapi bila dia tengok rumah kami, dia nampak terkejut, dan itu buat aku mula terfikir—mungkin hidup Mei lebih sederhana dari apa yang aku fikirkan.
Bila kami bertunang, barulah aku tahu susahnya kehidupan keluarga Mei. Mereka tinggal di rumah sewa di atas kedai kopi ayah dia. Rumah tu hanya ada dua bilik, dan tak besar. Selama ni, aku tak pernah bertanya tentang keadaan keluarganya. Rupa-rupanya keadaan mereka jauh lebih sederhana daripada apa yang aku bayangkan.
Bila kami berkahwin, Aku tak nak terlalu masuk campur dalam urusan keluarga Mei, tetapi hati aku rasa, Kenapa kehidupan mereka masih tak banyak berubah walaupun ayah Mei sudah berniaga lebih dari 30 tahun? Kenapa mereka masih menyewa rumah dan masih tidak ada kemajuan dalam hidup mereka? Itu yang buat aku tertanya-tanya.
Aku mula perhatikan beberapa tabiat yang aku rasa tidak sihat dalam pengurusan kewangan keluarga Mei. Misalnya, setiap kali makan, mereka selalu masak lebih daripada yang diperlukan. Kadang-kadang, nasi dan lauknya berlebihan, dan akhirnya terpaksa dibuang.
Bagi aku, itu satu pembaziran. Kami di rumah selalu masak cukup-cukup, kalau ada lebihan, sedikit sangat, dan kalau penat, kami goreng telur je. Tak pernah buang makanan, sebab kami tahu betapa pentingnya untuk menghargai setiap rezeki.
Selain itu, mereka juga suka makan di luar—10 orang, setiap minggu. Kadang-kadang harga makanannya mencecah RM800, atau lebih. Aku faham mereka nak reward diri mereka, atau mungkin rasa ini cara mereka memberi ‘cuti’ kepada mama, tapi bagi aku, makan di luar boleh dijimatkan. Tak perlu ambil semua seafood yang ada, kan?
“Sayang, jom makan di restoran ni minggu ni!” Mei ajak aku, seperti biasa.
Aku terdiam seketika. “Kenapa? Kita boleh makan kat kedai biasa je, jimat sikit.” Aku cuba nasihatkan.
Mei tersenyum. “Tapi sayang, sekali sekala kita raikan diri kita, kan? Lupakan sekejap masalah.”
Aku faham niat Mei, dan aku tak mahu mematahkan semangat dia. Tapi kadang-kadang aku rasa bimbang kalau cara hidup yang seperti ini tidak memberi keberkatan pada kehidupan kami.
Ada juga masalah lain yang aku rasa agak mengganggu. Mereka suka membeli barang tanpa merancang, menggunakan ‘pay later’ untuk segala benda. Mei pun kadang-kadang ikut perangai yang sama.
Aku cuba control, tapi bila melibatkan ibu bapa Mei, aku rasa sukar. Kadang-kadang mereka membeli barangan yang tak perlu dan buat keputusan membeli secara impulsif.
Pernah sekali, kami merancang percutian ke luar negara, tapi keluarga Mei buat keputusan last minute. Harganya melambung tinggi. Aku selalu cuba untuk plan lebih awal, supaya dapat harga murah. Tetapi, bila mereka berbuat demikian, aku jadi risau.
“U, apa salahnya kalau kita buat keputusan spontan? Lagipun, life’s too short!” kata Mei, sambil tersenyum.
Aku hanya tersenyum, walaupun dalam hati aku rasa agak bimbang.
Rumah keluarga Mei juga agak bersepah. Bukan kotor, tapi memang bersepah. Aku faham mereka sibuk berniaga, tapi aku rasa kebersihan sangat penting. Kalau rumah bersepah, ia memberi kesan kepada segala-galanya. Rezeki pun boleh jadi sempit. Aku selalu terfikir, adakah mereka tak perasan akan hal ini?
Selepas Mei bersalin, mereka lebih banyak datang ke rumah aku. Kadang-kadang, mereka tinggal di sini selama dua ke tiga minggu. Aku tak kisah, sebab mereka keluarga aku juga. Tapi tabiat mereka yang membawa kebiasaan buruk tu ke rumah aku mula mengganggu.
Bilik yang aku sediakan untuk mereka, selalu bersepah. Aku kemaskan, tapi apabila aku buat, aku rasa bersalah pula. Aku buat kenduri kesyukuran kecil-kecilan, tetapi akhirnya jadi besar. Satu kampung diajaknya. Kos meningkat, makanan berlebihan, peti ais penuh dengan makanan tak habis.
Aku tak mahu Mei tahu tentang semua ini. Aku takut dia terasa. Tapi kalau keadaan ini berterusan, ia akan memberi kesan kepada kami juga. Setiap kali aku cuba untuk bawa isu ini dengan lembut, aku selalu terhenti. Aku tak nak Mei rasa aku mempersoalkan keluarganya. Jadi, aku pendamkan perasaan itu.
Kadang-kadang aku rasa mungkin aku kena lebih bersabar dan redha. Rezeki itu datang dengan cara yang berbeza. Tetapi dalam hati aku, aku tetap risau. Aku fikir, adakah aku terlalu memikirkan perkara yang tak sepatutnya? Tetapi rezeki bukan sekadar kebahagiaan, ia juga tentang keberkatan.
Satu perkara yang aku pasti—aku sayang Mei. Dan aku takkan biarkan apa-apa merosakkan hidup kami. Walaupun aku risau, aku berharap satu hari nanti, aku dapat berbincang dengan Mei tentang semua ini tanpa dia rasa terbeban. Mungkin itu langkah pertama untuk perubahan.
Untuk sekarang, aku hanya boleh terus pendamkan perasaan aku. Demi dia, demi keluarga, dan demi masa depan kami.
– Zaki (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit