Salam sejahtera dan selamat malam semua pembaca.
Selamat malam aku ucapkan sebab ketika aku mengetik papan kekunci aku ni suasana sudah lewat malam, tapi aku masih belum dapat melelapkan mata aku lagi walaupun dan telan Quetiapine 300mg.
Ya, hidup aku sekarang bergantung dengan sebiji ubat bewarna putih tu. Sadis kan?
Aku tahu ianya sangat sadis. Hidup ku sekarang dengan hidup ku 5 tahun lalu sangat berbeza. Ibarat 180 darjah berpusing.
Aku kenalkan diriku secara ringkas dahulu ya. Aku H, bekerjaya, lahir dalam tahun 90-an, sudah berkahwin hampir 3 tahun dengan suami yang ku kenal selama hampir 7 tahun.
Aku cerita sedikit sejarah diri aku. Dulu aku seorang yang sangat ceria, periang, mesra, suka bergurau senda, aktif dan banyak idea.
Orang yang mengenaliku dulu sangat mengagumi aku sebab aku terlalu positif dan sentiasa bersangka baik dengan kehidupan ku.
Orang selalu mencari aku untuk menerima pandangan dan nasihat daripada kewarasan akalku berfikir ketika itu.
Sehingga guru2 ku pernah menjadikanku contoh model ikutan dek kerana terlalu optimistiknya aku dalam kehidupan ku.
Aku seorang lepasan sekolah agama. Pelajar cemerlang. Solat basic tak tinggal ditambah lagi tahajjud dan dhuha. Baca Quran sehari semuka ditambah lagi dengan hafazanku secara sendiri hampir 10 juzuk.
Sering mengunjungi kuliah/kelas2 agama untuk tambahkan ilmu agama dalam diriku. Penampilan ku terjaga dan muslimah.
Tapi itu cerita dulu… cerita saat mental ku belum terobek dan sakit. Aku rindu aku yang dulu. Kini, duniaku seperti terbalik.
Aku sedikit lega sebenarnya dengan dunia sekarang, isu kesihatan mental bukanlah lagi sesuatu yang taboo dan aneh dalam masyarakat kita.
Kalau dulu, aku diamkan sakitku kerana takut akan stigma dan pandangan masyarakat terhadap diriku. “Gila.” Bukan. Aku tidak gila lagi.
Aku sedang sakit… aku sakit. Mental ku sakit.
Selepas banyak episod sakitkan diri, cederakan diri, aku berjaya dapatkan rawatan daripada pakar dengan bantuan tunangku (sekarang suamiku)
Berapa banyak kali aku cuba meragut nyawa ku sendiri tapi Tuhan masih sayangkan aku, imanku yang senipis kulit bawang mengetuk pintu hati dan akal supaya segera hentikan perbuatanku.
Aku ulang sekali lagi, aku belum gila. Aku cuma sakit. Ada trauma yang menghantui aku tanpa sedar menyakiti mental dan jiwa aku.
Hari berganti minggu, minggu berganti bulan, bulan berganti tahun. Mana2 penyakit pun sekiranya dibiar dan tidak dirawat pasti lah semakin parah dan susah dirawat. Begitu juga aku.
Aku semakin parah tanpa ku sedar. Aku fikir aku normal, tapi tidak.
Penyakit ni sudah memamah kekentalan jiwa dan kewarasan akalku dalam diam. Aku fikir aku kuat, macam dulu.
Tapi aku silap, aku rapuh serapuh rapuhnya. Agama dalam diriku pun semakin rapuh seperti mana rapuhnya diriku dimamah sakit ini bertahun lamanya.
Dengan bantuan doktor pakar, aku kini di diagnos menghidap Bipolar Type II.
Dan hidup ku bergantung kepada sebiji ubat kecil bulat yang bernama “Quetiapine”/300mg setiap malam. Ubat yang begitu kuat boleh merebahkan seekor kuda. Dan aku la si kuda tu.
Kesan daripada rawatan, aku dapat mengamalkan semula agama dalam hidupku. Kalau dulu ketika aku mengalami krisis jiwa, solat wajib pun aku lompong, bukan kerana aku begitu seronok dengan dunia.
Tapi kerana jiwaku penat dengan dunia. Tapi sekarang aku sudah boleh dirikan solat cukup 5 waktu.
Kalau dulu, hidupku hanya bergelumang atas katil dengan kegelapan yang tiada penghujung, tapi sekarang aku boleh kuatkan diriku untuk keluar ke taman setiap hujung minggu.
Aku sudah boleh nampak cahaya dalam hidupku, dalam jiwaku dalam fikiranku.
Kadang sambil aku brisk walk, aku ternangis sendiri sebab 3 tahun yang lalu, hidupku hanya dalam terowong yang gelap dan tidak ada penghujung.
Allah jua la yang membantu aku, mengeluarkan aku daripada kegelapan yang ku sangka tiada penamat.
Kalau dulu, jiwaku nazak sarat dengan benda2 negatif. Seakan disekat daripada merasai perkara2 positif, tapi kini aku bersyukur, jiwaku sudah dapat mula berfikir ke arah positif dan ke arah yang lebih baik. Tidak sepenuhnya tapi semakin membaik.
Aku tidak tahu sampai bila hidupku terpaksa bergantung dengan ubat, kerana mengikut doktor yang merawatku, penyakitku ini merupakan lifetime illness. Penyakit seumur hidup.
Akan ku bawa sakit ni sampai bila2 cuma sama ada sakit itu yang menguasaiku atau aku yang menguasai akan dia.
Aku tidak salahkan Tuhan dalam memilih aku menjadi salah seorang pejuang penyakit ini, walhal aku pelajar agama kot dulu.
Kira utuh dan kuatlah pegangan agamaku dahulu, tapi bila Tuhan dah uji, siapalah aku untuk menyoal kehendakNya.
Kan? aku anggap Tuhan sedang siapkan aku pada sesuatu yang lagi besar akan datang. (Macam tak percaya aku boleh berfikir sebagus ini, kalau dulu tak sanggup aku nak ingat semula apa yang aku akan buat.)
Dan kini, aku sedang berusaha bangkit semula. Perit untuk akui, selain Tuhan hidupku juga perlu bergantung dengan ubat sebagai ikhtiar dan musabab untuk sembuh.
Pernah je aku sengaja putuskan ubatku sendiri dengan self-diagnose konon aku dah sihat. (Perasan kan?) tak lama lepas aku stop ubat, aku relapse malah jauh lebih teruk daripada awal aku sakit.
Semenjak itu, serik untuk aku memandai2 stop ubat sendiri. Huhu.
Dan aku juga dalam usaha untuk jadi ibu. Suami aku belum izinkan lagi untuk aku mengandung kerana aku masih bergantung dengan ubat dan dos yang tinggi.
Sekurang2nya aku perlukan turunkan dos untuk meraih kepercayaan suami yang aku waras dari segi akal dan jiwa untuk menjadi seorang ibu.
Dulu aku menangis bila suami buat keputusan untuk tak nak mengandungkan aku, tapi sekarang aku faham tindakannya. Anak ini berat.
Anak ini amanah. Kalau aku belum boleh jaga diri aku sebaiknya macam mana aku nak jaga anak kan? Selepas apa yang berlaku dalam hidup, aku nekad nak jadi ibu yang terbaik buat anakku.
Oleh itu, dalam kesempatan ni, doakan aku supaya aku makin sembuh dan boleh ada baby secepatnya.
Dan aku doakan juga buat sesiapa yang sedang berada dalam situasi ku 3 tahun lalu, kuat dan sabar dalam perjalanan untuk sembuhkan diri kita. Dan jangan takut untuk dapatkan rawatan!
Macam panjang sangat penulisan aku. Semoga ada sedikit ibrah yang dapat dikutip oleh pembaca daripada kisah aku. Terima kasih semua.
– H (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit