Assalamualaikum semua readers. Sebagai intro, nama aku Liya. Umur 27. Dah berkahwin dan dikurniakan seorang anak yang comel dan bijak. Maaf kalau ayat tak sedap dibaca. Maklumlah dah lama tak mengarang.
Entry aku agak panjang. Terima kasih andai kalian boleh baca sampai habis. Aku seorang surirumah sejak mendirikan rumah tangga. Pengalaman bekerja aku bermula sejak dari tingkatan 6 lagi. Dari kerja kilang, taska, kedai henfon dan jual Tupperware dari rumah ke rumah pun ada.
Dipendekkan cerita, aku berjaya merangkul segulung ijazah disebuah IPTA dan CGPA aku dalam ranking second class upper. Lepas sahaja aku tamat pengajian, aku terus isi masa dengan cari kerja. Kerja pertama aku waktu tu kerja kedai dalam kampung sahaja dengan gaji hanya RM500 sebulan.
Aku diberi tanggungjawab untuk uruskan cybercafe dan butik pakaian. Sementara nak cari kerja betul-betul boleh kumpul duit poket sikit. Hampir setahun jugak aku tunggu nak dapat offer kerja yang bersesuaian dengan kelayakan. Walaupun gaji kecil tapi aku seronok dengan suasana kerja situ.
Aku mula panjangkan langkah bila aku dapat tawaran kerja dibandar. Company agensi pekerjaan. Staff cuma ada 4 orang sahaja termasuk aku. Gaji yang ditawarkan untuk seorang fresh graduate waktu itu agak lumayan juga. Iyelah nak dibandingkan dengan gaji RM500 dulu. Hihi..
Waktu ini memang tak sabar sangat nak ubah hidup jadi orang yang lebih berjaya. Tapi langit tak selalunya cerah. Rupanya suasana kerja di ofis ini sangat berbeza dari sangkaan aku. Tenaga pekerja kurang dan bebanan kerja yang tinggi. Ditambah dengan majikan yang suka memaki pekerja. Aku jadi culture shock.
Aku cuba belajar sebanyak yang boleh since pengalaman aku masih zero. Tapi tak semudah itu. Hari-hari aku dilalui penuh dengan kata makian dari majikan. F*ck you, bo*oh, takde o*tak, bull*hit dan macam-macam lagi. Dah jadi macam makanan telinga.
Bila aku risik-risik rupanya memang dari dulu majikan tu jenis suka maki pekerja. Walaupun kadang-kadang kesilapan dalam handling tasks bukan dari pihak aku, tapi semua tetap kena pukul rata. Officemates pula jenis lepaskan diri. Tunding jari sana sini. Iyelah masing-masing taknak jadi bahan sumpah seranah.
Aku jadi tertekan dgn suasana kerja. Berat aku sampai turun drastically 10 kilo dalam masa sebulan. Ditambah aku tinggal jauh dari keluarga. Air mata dah jadi sahabat baik. Paling aku tak boleh lupa, waktu tu aku nak pergi kerja. Otak aku rasa kosong.
Aku tahu haritu mesti akan kena maki lagi. Start moto macam biasa pergi ke ofis. Dah sampai parking moto ofis, nak bukak helmet baru perasan pergi kerja tak pakai helmet! Ya rabbi. Allah sahaja yang selamatkan perjalanan aku. Patutlah rasa pelik sepanjang perjalanan orang dok pandang-pandang.
Waktu itu aku rasa macam dah cukuplah aku dah tak boleh tanggung lagi. Bukan soal bebanan kerja tapi caci maki dan hubungan sesama pekerja yang buat aku tarik diri. Aku pilih untuk berhenti.
Sepanjang bekerja, aku sentiasa berusaha untuk perbaiki skill dan knowledge. Aku kerap kerja lebih masa untuk fahamkan cara kerja dan sistem. Tapi aku tak claim OT sebab aku tahu aku tak sepatutnya. Buku nota berkaitan kerja sentiasa ada dekat tangan sebab aku jenis baca, fahamkan dan hafal. Itu cara aku belajar.
Dalam terdesak, aku cepat-cepat cari kerja baru sebelum aku sangkut nak bayar duit bilik sewa disini. Aku fikir, tak kan aku nak balik kampung kosong-kosong. Biarlah kerja apa sekalipun asal halal. Aku nampak iklan pembantu am. Aku terus mohon. Alhamdulillah diterima.
Jangkaan aku kerja ini seperti berkhidmat untuk menjaga warga emas di rumah jagaan orang tua. Tapi aku silap. Menjadi orang gaji rupanya. Gaya pengiklanan kerja yang agak mengelirukan padaku.
Tak mengapalah, aku pujuk hati. Asalkan ada tempat berteduh dan pendapatan halal. Tapi rahsia aku bekerja sebagai orang gaji aku simpan rapi sampai sekarang. Tak ada siapa yang tahu. Banyak hati aku nak jaga.
Alhamdulillah majikan aku sangat baik. Sangat banyak yang aku belajar darinya. Baik dari segi sahsiah diri, cara kerja dan macam-macam lagi. Majikan aku suka cara aku kerja sebab dia cakap aku jujur dan amanah. Aku dilayan macam saudara sendiri. Keluarga majikan pun terima aku dengan baik.
Aku tak pernah panjang tangan walaupun duit berkepuk-kepuk depan mata. Majikan aku suka hadiahkan benda yang mahal-mahal dari alat solek, pakaian hingga handbag harga ratusan ringgit, dan macam-macam lagi.
Malahan lepas aku berhenti jadi orang gaji pun majikan masih percayakan aku untuk menjaga kediaman nya sepanjang pemergian nya ke Tanah suci.
Alhamdulillah Allah temukan aku dengan majikan yang cukup baik walaupun kami tiada hubungan persaudaraan. Hanya hubungan berlandaskan kejujuran dan kepercayaan.
Pengalaman kerja aku berterusan selepas itu. Aku fikir aku ada ijazah. Sampai bila aku nak kerja jadi orang gaji. Aku kena kejar cita-cita aku.
Lepas banyak memohon, akhirnya aku diterima masuk dalam sebuah syarikat kecil. Skop tugas memerlukan aku untuk travel ke negeri-negeri lain selama berminggu-minggu. Aku diminta untuk conduct talk berkaitan kesihatan. Aku akui, aku berusaha keras untuk menguasai kemahiran public speaking. Ini semua untuk aku dapatkan sales.
Team leader (TL) puji usaha dan cara aku kerja. TL aku seorang lelaki umur 30an. Pada waktu itu, kami masing-masing dah jadi tunangan orang. Ada beberapa orang dalam group kami. Semasa outstation, kami akan menyewa satu rumah sahaja. Itu rules nya since budget yang company peruntukan agak nipis dan tuntutan kerja yang memerlukan untuk kami sentiasa bersama.
Aku makin tak selesa dengan kerja since TL aku kerap pujuk untuk aku terima dia sebagai ‘kekasih gelap’. (Tolong baca dengan nada loya). Memang sangat tak selesa sebab kebanyakkan masa bekerja dan dirumah sewa kami akan bersemuka selama berminggu-minggu.
Pujukan itu berterusan dari hari ke minggu, dari minggu ke bulan. Naik rimas aku. Ahli kumpulan yang lain pun mula pandang lain pada aku. Isu-isu kerja mula jadi seperti berat sebelah. Untuk kebaikan diriku, aku pilih untuk berhenti sekali lagi.
Dan bagi aku, menyewa serumah bercampur lelaki perempuan yang bukan mahram sangat tak patut. Apatah lagi bila aku sudah berkahwin kelak, aku takut banyak fitnah dunia akan datang.
Aku tinggalkan company tu dengan seribu harapan aku dapat environment kerja yang lebih baik.
Company terakhir yang aku kerja ialah company logistic. Berbeza dari bidang tapi tak apalah asal rezeki halal. Alhamdulillah walaupun company milik bukan islam namun aku mudah nak solat tak seperti di company sebelum-sebelum ni. Officemates juga banyak membantuku untuk memahami aliran tugas dan tanggungjawab.
Namun, aku rasa seperti nasib dalam pekerjaan tak menyebelahiku. Majikan memintaku untuk pelajari proses menerima tender ‘bawah meja’. Hasilnya elaun aku juga akan bertambah. Aku tersepit. Walaupun ilmu agamaku tak sebanyak mana tapi aku masih tahu bezakan halal haram.
Aku tolak secara baik. Aku terangkan pada majikan yang aku tak boleh menerima etika kerja sebegitu. Sekali dua mungkin majikan boleh terima tapi lama-kelamaan aku tetap didesak untuk melakukanya juga. Aku fikir tak kan aku nk bagi anak aku susu dan makan dari hasil yang terang-terang rasuah. Atas nasihat suami aku berhenti sekali lagi.
Itulah pekerjaan terakhirku sebelum aku bergelar suri rumah sepenuh masa. Setelah dari apa yang kalian baca mengenai pengalaman aku, apa pandangan kalian, adakah aku yang terlalu sensitif dengan suasana kerja aku.
Aku rasa macam diri aku ni lembik. Banyak lompat kerja. Tak kuat untuk lawan dugaan dalam dunia pekerjaan sebenar. Resume aku pun jadi tak cantik. Andai ada pandangan mengenai apa yang perlu aku ubah mengenai diriku harap kalian boleh kongsikan. Aku akan terima dengan hati terbuka.
Aku masih lagi dalam proses mencari pekerjaan. Aku pun ada cita-cita dan harapan untuk dicapai. Ada banyak budi orang tua yang perlu ku balas. AlWaqiah dan AlMulk sentiasa aku jadikan amalan harian.
Semoga dipermudahkan urusanku mencari pekerjaan yang terbaik buat diriku dan agamaku. Doakan aku. Mungkin doa diantara kalian Allah makbulkan.
– Anonymous (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit