Orang tua berbadan gempal itu berjalan terhenjut-henjut nun dari seberang jalan kemudian angkat tangan ke arah saya di dalam mini market.
Saya senyum, angkat tangan sikit. Orang tua itu saya kenal sangat. Pak Mud namanya. Memang Pak Mud biasa datang ke mini maket tempat saya bekerja. Kadang-kadang Pak Mud datang membeli barang keperluan harian. Kadangkala, sekadar singgah untuk berbual kosong sebelum ke kedai mamak yang terletak di sebelah mini market.
“Eh, sorang aje Li? Si Rosman mana?” Orang tua itu bertanya.
“Cuti. Dia ada emergency. Baru kejap tadi hantar dia ke Puduraya,” jawab saya sambil tangan ligat menyusun paket-paket serbuk pencuci.
Macam biasa, Pak Mud minta saya ambilkan tepung gandum Cap Sauh sepeket, susu cap Junjung dua tin dan tak lupa telur ayam sepuluh biji. Sebenarnya Pak Mud tak perlu cakap pun. Semuanya sudah saya hafal sebijik-sebijik dalam kepala. Sambil mengigau pun saya boleh capai barang-barang yang dikehendakinya itu.
“Telur ni bagus untuk kita orang lelaki Li. Barulah tak semput masa ‘berperang’…keh keh leh,” katanya lalu ketawa berkehkehkeh. Bab ni saya tersengih saja lah. Maklumlah saya masih bujang.
Sementara menunggu saya membungkus, lelaki beruban yang umurnya pertengahan 60-an itu mengeluarkan telefon bimbit Nokia dari kocek kemeja yang dipakainya. Butang-butang getah di dada telefon berdecit-decit dipicitnya. Kemudian Pak Mud tersengih-sengih sambil menggaru-garu pipinya. Janggutnya yang tinggal sehelai dua itu dilurut-lurut.
“Apa yang senyum sorang-sorang tu Pak Mud?”
“Eh, topap Maxis ada Li?”
Soalan saya tidak di jawab Pak Mud sebaliknya dibalas dengan pertanyaan pula.
“Berapa ringgit, Pak Mud?”
“ Kau masukkan RM30 kat nombor ni . Kejap aku tulis dalam buku topap kau.”
Pelik juga saya, kalau tak salah saya baru kelmarin Pak Mud topap telefon bimbitnya. Takkan dah habis. Ni topap untuk siapa pula? Rosman juga ada beritahu saya Pak Mud sudah beberapa kali me’nopap’kan nombor seseorang.
“Topap kat siapa pulak ni Pak Mud?”
“Alah, aku topapkan Liza.”
Liza mana pulak ni. Setahu saya anak Pak Mud tak ada yang bernama Liza sementelah semua anaknya jantan belaka. Malas hendak bertanya lanjut, saya terus memulangkan baki wang kepada Pak Mud.
Pak Mud keluar dari mini market menjinjing beg plastik hitam sambil menyanyi-nyanyi kecil menuju ke kereta buruknya.
Dua hari kemudian Pak Mud datang lagi ke mini market. Wajahnya berseri-seri. Matanya bersinar-sinar. Dia meminta saya memasukkan topap sebanyak RM30 ke nombor “Liza” lagi.
Sambil berbual-bual kosong, saya lihat Pak Mud terkial-kial menaip sms. Bunyi sms masuk tak henti-henti.
“Ni ha ada sorang perempuan. Entah macam mana tersalah call nombor aku bulan lepas. Liza namanya. Sejak hari tu dia sms aku. Mula-mula sehari dua tiga kali je. Lepas tu tak berhenti. Hehehe,” tanpa dipinta Pak Mud menjawab soalan yang berlegar-legar dalam kepala saya.
Saya geleng kepala saja dengar cerita Pak Mud itu. Sah, Pak Mud dah termakan umpan. Sejak dari itu memang kerap Pak Mud topapkan “Liza”. Kadang-kadang bukan nombor “Liza” sahaja tetapi satu nombor lain lagi. Saya mengesyaki itu nombor kekasih “Liza”.
Mereka hanya mempergunakan Pak Mud untuk mendapatkan topap dengan mudah.
“ Nanti Liza cakap nak datang sini jumpa dengan aku. Tak sabar aku. Aku ingat nak ambil gambar dengan Liza nanti dekat studio,”
Saya menggaru-garu kepala. Pak Mud ni sudah jauh benar dibuai mimpi. Hendak ke studio bergambar. Tak ubah macam pasangan bercinta zaman P.Ramlee. Aduhai….anak dara manalah yang tersangkut dengan Pak Mud ni.
Bagi saya, kalau dengan usianya sebegitu Pak Mud sepatutnya berada di rumah di samping isteri dan anak cucu. Bukannya bermain cinta.
Bukan saya tidak cuba menasihati Pak Mud. Tetapi penangan cinta di usia emas ternyata tidak mampu dikikis oleh Pak Mud. Walaupun jika difikir logik akal, manalah ada anak dara hendakkan orang tua macam Pak Mud. Tapi kata-kata disanggah Pak Mud.
“Love is blind,” katanya.
Perasaan indah yang yang pernah dikecapi sewaktu ketika dahulu membara kembali.
Sebulan berlalu. Dua bulan, tiga bulan…akhirnya Liza hilang begitu sahaja. Bila telefon tidak dijawab. Yang tinggal hanyalah suara operator. Lebur duit Pak Mud menopapkan si “Liza” keparat.
“Kau jangan beritahu Mak Cik Som, lumat aku dia bedal nanti,” kata Pak Mud berbisik perlahan.
Beberapa hari sebelum berpindah (12 tahun lalu), saya nampak Pak Mud dengan kereta buruknya terparkir di tepi kedai mamak. Dalam hati, saya mendoakan kesihatan dan keselamatannya.
– Abg Jem
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit