Love Yourself II

Sebelum ni saya ada post juga, kalau ada yang perasan. Boleh baca confession berkenaan di sini, (https://iiumc.com/love-yourself/). Dan saya dah baca semua komen, ada yang positif and ada yang negatif. Yang negatif, terima kasih juga. Yang positif, saya sangat-sangat berterima kasih.

Ramai yang kata, saya ada kelebihan yang semua orang tak ada. Saya ada masih ada family dan kawan-kawan. Ya, betullah tu. Ada orang yang lagi malang dari saya, tiada family, hidup sebatang kara dan lain-lain, saya doakan awak dipermudahkan urusan untuk terus hidup.

Ya, saya tak nafikannya. Kalau tak, macam mana saya boleh dapatkan semangat. Kan? Huhuhu. (bukan riak, saja nak sedapkan hati )

Sebab saya pegang kata-kata “lihatlah orang yang di bawah kamu, jangan lihat yang di atas”. Ya, itulah yang saya pegang. Bila saya lupakan ayat tu, saya akan rasa down.

Masa saya kecil, ibu dan ayah saya selalu bergaduh. Setiap malam mesti bertengkar. Barang-barang dalam rumah dirosakkan, ibu memegang pisau untuk mengugut, ibu ditampar dan macam-macam.

Saya sangat takut bila nampak ibu memegang pisau sambil menjerit-jerit, “Kau bunuhlah aku. Kau nak aku mati kan?”. Saya menangis. Saya peluk ibu dan menyuruh mereka berhenti bergaduh. Itulah yang saya akan lakukan setiap kali mereka bertengkar.

Rumah akan jadi aman kalau ayah tak pulang ke rumah. Dan saya berharap sangat ayah tak balik rumah sebab saya takut mereka bertengkar lagi.

Ada satu masa tu, saya ikut ibu ke satu tempat pada waktu malam. Ibu mengajak saya masuk ke dalam rumah yang saya tak tahu pun rumah siapa.

Bila kami masuk, saya melihat ayah bersama wanita lain. Bermulalah perang besar. Saya hanya melihat dari jauh dalam keadaan menangis. Saya takut sangat masa itu. Barulah saya tahu, mereka bertengkar kerana ayah ada wanita lain. Itu yang ibu saya beritahu.

Boleh dikatakan, hidup kami agak susah sebab ayah. Ayah tak beri nafkah. Duit yang dia ada digunakan untuk wanita lain. Sampaikan duit tabung saya pun dia ambil. Rantai emas, gelang dan barang berharga ibu pun dia ambil.

Waktu malam pun bergelap dengan cahaya lilin sebab elektrik kene potong. Ayah tak bayar bil, tak bayar sewa rumah dan macam-macam lagi. Dan setiap bulan, mesti ada sahaja orang yang datang tuntut hutang dari ayah.

Sampailah saya berumur 7 tahun, ibu ambil keputusan untuk pulang ke kampung bersama saya. Tinggalkan ayah. Tapi, ayah tidak mahu jatuhkan talak. Dia biarkan ibu bergantung tak bertali.

Sehari sebelum kami pergi, saya ternampak ayah menangis di tangga. Saya pelik. Saya tanya ayah kenapa menangis, dia hanya diam. Saya tanya ibu pula, ibu pun tak tahu. Sampailah sekarang saya tertanya-tanya

Sejak itu, ayah tak pernah cari kami lagi. Tanya khabar pun tidak. Saya pun tak tahu mana dia pergi. Ibu pun malas nak tahu. Tapi kadang-kadang ada juga dia mengamuk sebab ayah tak pernah bagi nafkah.

Di sekolah, ada juga kawan-kawan yang cakap kat saya “bapak kau suka main perempuan. Sebab tu mak bapak kau bercerai”, “mana bapak kau? Dah mati ke”. Dengar je kawan-kawan cakap macam tu, saya mesti berkurung dalam tandas sekolah sampai cikgu cari dalam tandas.

Dan benda yang paling saya takut bila cikgu tanya, “ayah awak kerja apa? Ayah awak ada lagi atau sudah meninggal ?” saya tak tahu nak jawab apa.

Nak kata dah mati, hidup lagi. Kalau hidup, manalah saya tahu dia kerja apa. Dah terputus hubungan. Sampai sekarang saya takut kalau ada orang tanya macam tu. Terpaksalah berbohong yang ayah saya sudah meninggal.

Waktu saya sudah habis spm, terdetik hati ini nak cari ayah. Saya cari senyap-senyap tanpa pengetahuan ibu. Saya cari nama ayah di facebook. Alhamdulillah, jumpa. Ayah minta nombor telefon dan terus call saya.

Dari suara dia, ayah agak teruja. Tanya macam-macam. Minta gamba. Kata rindu apa semua. Tapi saya, saya nak panggil dia ayah pun rasa janggal. Rasa marah sahaja yang ada dalam hati ni. Benda pertama yang saya nak tahu, ayah pergi mana selama ni menghilang? Tak ingat anak ke?

Dan dia jawab, “ayah tak hilang. Ayah ada sebab ayah sendiri. Kamu tak akan faham. Kamu kene datang sendiri jumpa ayah, baru kamu faham”.

Dah nak kena datang sana pulak dah. Then saya tanya, ayah dah kahwin belum dengan perempuan lain? Dia jawab dah, ada anak perempuan dua orang. Ya, anak perempuan. Saya kata pada ayah, saya harap dua anak perempuan ayah akan dapat balasan macam ayah buat kat saya dengan ibu. Biar dia rasa.

Ayah kata, “tak patut buat macam tu. Itu darah daging kamu, adik kamu. Kalau ayah mati, kamu yang akan jaga dia nanti”.

Saya pun macam…… What??? Tak sangka dia kata macam tu, sedangkan dia tak pernah fikir pun pasal saya masa dia pergi menghilang macam itu, ni tiba-tiba suruh jaga anak dia pulak. Ni dah melampau. Amboi amboi..

Bila ibu tahu yang saya sudah dapat contact ayah, dia minta ayah datang untuk uruskan hal penceraian. Tetapi, ayah tetap tidak datang walaupun surat dah sampai kepada dia. Walau bagaimanapun, urusan penceraian dapat diselesaikan tanpa kehadiran ayah.

Selama sebulan saya contact ayah, saya minta duit dari ayah untuk sambung belajar. Saja cuba nasib. Ayah kata, “nanti ayah bagi”. Tiba-tiba dia block saya, call tak dapat, di facebook pun dia block. Berapi jugaklah hati aku masa tu. Sebab minta duit je, terus block. Memang betul-betul buat lawak orang tua ni.

Lepas setahun, saya cuba nasib call nombor dia, dapat. Dia bagi alasan telefon rosak, contact semua hilang. Hmmm pembohong. Then, saya minta duit belanja dari dia, dia block lagi.

Aduhai…….. Tak betul agaknya orang tua ni. Masa tu saya rasa marah sangat, saya rasa sedih sangat. Saya menangis depan ibu, kenapa ayah buat saya macam ni. Dia tak mengaku saya anak dia ke? Jujur saya cakap, saya rindu ayah sebenarnya walaupun dia buat saya dan ibu macam ni.

And now, dia menghilang lagi sampai sekarang. Saya tanya sedara mara belah ayah, dia kata ayah dah lama tak balik kampung. Saya bakal berkahwin tahun hadapan, dan saya perlukan wali. Terpaksalah cari dia semula.

So saya nak tanya, kalau ada di antara awak semua yang ada masalah seperti saya untuk mencari wali, tapi tak jumpa, perlu buat apa ek? (maaf bertanya, sebab nak tahu).

Sampai sekarang bila orang tanya, ayah awak mana? Jantung saya rasa nak tercabut, berdegup laju, berpeluh-peluh, nafas tersekat-sekat. Boleh dikatakan itu soalan maut bagi saya.

Bila ayah saya seperti itu, saya takut nak berkahwin sebenarnya. Tambah-tambah saya baca banyak cerita kes suami curang. Seram.

Banyak kali saya cakap dengan tunang saya untuk tangguhkan perkahwinan sebab saya takut. Dan banyak kali jugak dia cuba positifkan saya dan jangan dengar benda negatif. Saya nak kahwin, tapi bila overthinking tu datang, saya terus jadi takut, ragu-ragu. Dugaan.

Saya tak tahu apa motif apa saya cerita pasal ayah saya. Doakan saya dipermudahkan urusan untuk berjumpa dengan ayah saya. InshaAllah.

Ya, saya beruntung sebab saya masih ada ibu. Itu kelebihan saya yang awak semua kata.

Saya bersyukur masih ada ibu. Walaupun kadang-kadang saya cemburu tengok orang lain ada ayah yang baik, tapi saya perlu sedar yang saya masih ada ibu yang bersusah-payah bagi kesenangan kepada saya. Terima kasih sangat ibu.

Itu sahaja dari saya.

– Pencinta Coklat (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *