Luahan Anak Kedua Keluarga Sederhana

Dulu aku seperti remaja lain yang selalu berangan..

“Habis SPM ni nanti aku nak sambung belajar, nak kejar cita cita aku, nak buat ibu ayah bangga dengan aku, nak tunaikan apa sahaja permintaan mereka”.

Masa tu berangan setinggi langit, lupa aku ni manusia biasa. Manusia yang hanya mampu merancang. Allah dah aturkan jalan lain untuk hidup aku rupanya..

Aku lahir dari keluarga yang sangat biasa. Anak kedua dari 3 adik beradik. Ayah aku sakit jadi dia duduk di rumah sahaja.

Aku membesar dari titik peluh ibu aku bekerja seorang diri demi kami. Segala penat lelah dia, akulah saksi. Tak pernah nampak ibu mengeluh walau sedikit.

Bagi aku, ibu bukan sekadar ibu. Ibu juga ayah buat kami.

Masih segar dalam ingatan, ayah dijemput Ilahi semasa aku ‘trial’ SPM. Anak mana yang tak terkilan.. Aku belum sempat menabur bakti.

Dan kerana itulah, aku tak nak menyesal lagi. Aku nak jaga ibu. Aku nak tengok dia depan mata.

Tak dapat sambung belajar pun tak apa. Aku tak nak rasa terkilan sebagaimana aku terkilan dengan pemergian arwah ayah. Jadi aku nekad lepas SPM, aku cari kerja.

Aku juga ada adik yang masih bersekolah ketika itu. Aku dah kuburkan segala angan angan dan impian aku dulu. Aku suruh ibu berhenti kerja. Aku taknak menyusahkan ibu lagi. Cukup dia tanggung terlalu banyak selama ini.

Aku banyak ‘try error’ kerja juga ketika itu. Almaklum, untuk seorang yang tidak ada apa apa kelayakan, faham faham sahaja lah kerja yang aku boleh buat pun.

Tapi tetap bersyukur aku banyak dapat pengalaman kerja juga. Dan yang paling aku bangga dengan diri sendiri, aku mampu tanggung adik sampai dia habis sekolah.

Dan walaupun tak mampu bahagiakan dengan wang ringgit, makan pakai mereka cukup pun aku dah bersyukur.

Terlalu besar nikmat Allah bagi kat diri ni sebab dapat peluang berbakti untuk ibu dan adik. Dapat tengok mereka gembira depan mata satu rahmat buat aku. Aku bahagia.

Sehinggalah sekarang aku masih bekerja. Adik juga dah bekerja. Adik memilih untuk tidak sambung belajar, katanya tak nak menambah beban buat aku lagi. Aku ikutkan sahaja tak mahu memaksa.

Adik sangat membantu. Aku bersyukur Allah hadirkan seorang adik yang bertimbang rasa, sentiasa dahulukan aku dan ibu dalam apa jua keadaan. Tak pernah pentingkan diri sendiri, dia sangat menghormati aku dan ibu.

Aku menyangka kebahagian dan ketenangan yang aku dapat rasa sekarang ini kekal untuk jangka masa panjang. Tapi aku silap.

Baru baru ni, kami diminta untuk berpindah dari rumah yang sekarang. Sebab rumah ini sebenarnya dari awal terbina atas tanah keluarga arwah ayah. Jadi mereka meminta untuk kami keluar.

Aku faham hak mereka. Cuma waktu sekarang yang tak berapa tepat.

Dengan gaji aku yang cukup cukup makan ini jika dicampur dengan gaji adik yang biasa juga, aku tak rasa kami mampu untuk sewa rumah. Dengan kos barang rumah lagi..

Aku juga masih ada pinjaman kereta yang aku guna untuk pergi dan balik ke tempat kerja. Yang aku fikirkan hanya keadaan ibu yang lutut dah tak kuat mana.

Boleh sahaja aku cari rumah flat yang bertingkat-tingkat itu, cuma aku tak rasa ibu mampu untuk melangkah.

Aku kasihankan ibu. Jadi kami perlu cari rumah sewa ‘landed’ biasa. Mungkin perlu masa untuk mencari dan juga mengumpul duit untuk deposit.

Aku harap Allah akan hadirkan tuan rumah yang baik yang tak mengenakan caj deposit yang tinggi seperti orang lain.

Doakan urusan kami dipermudahkan..

Aku tak minta lebih. Aku hanya ingin bahagia dalam besederhana disamping ibu dan adik sahaja. Mereka nyawa aku dunia akhirat.

Aku percaya setiap orang juga pasti ada ujian masing masing. Aku doakan urusan semua orang juga dipermudahkan Allah. Aaminn..

P/s: untuk yang ‘curious’.. Ya, aku cakap aku anak kedua dari 3 adik beradik. Aku akui aku ada seorang abang. Cuma dalam kamus hidup aku, dia tiada.

– Arra (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

One comment

  1. Jap dik, kalau tanah rumah tu hak milik arwah ayah, sepatutnya korg la anak beranak yg mewarisi kalau ikut proper faraidnya. Papepun, sy doakan Allah permudahkan urusan awak, adik dan ibu. Semoga dimurahkan rezeki dan sentiasa dibawah lindungan Allah Taala.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *