Hai semua. Aku nak share sikit pendapat aku tentang alam pertunanganku. Ini berdasarkan pengalamanku sendiri.
Nama panggilan ku Mia. Aku wanita berumur 26 tahun. Boleh dikatakan aku memiliki pakej lengkap yang diidam-idamkan semua golongan wanita. Aku juga menjadi rebutan beberapa orang yang lain sebelum bertunang sehingga kini.
Aku dah bertunang, hampir 6 bulan pertunangan aku dengan Z. Z yang aku kenali seorang lelaki yang baik, mempunyai latar didikan agama yang baik serta mempunyai kerja yang stabil. Kami dikenalkan melalui sistem orang tengah atau baitul muslim. Z dan aku bekerja di negeri yang sama tetapi berlainan daerah.
Z seorang lelaki yang kukira bertanggungjawab dan mampu membimbingku kearah yang baik apabila kami bergelar suami isteri insyaAllah. Namun, aku sedikit terkilan dengan sikap Z yang seolah-olah tidak mempedulikan kehadiranku sebagai tunangnya.
Sebagai seorang wanita, pastinya aku ingin mempunyai teman untuk meluah segala isi hatiku, tambahan pula aku sedang bekerja pastinya pelbagai perkara yang terjadi ingin aku ceritakan. Tambahan dengan suasana persekitaranku kerjaku yang tidak baik.
Namun setiap kali aku menghantar WhatsApp kepada Z dia seolah-olah tidak berminat untuk berWhatsApp denganku.
Jika aku tanya sepatah, sepatah sahajalah yang akan dijawab. Jika aku tidak memulakan perbualan dia juga tidak akan memulakan perbualan. Jika aku ingin bercerita dia seolah-olah tidak berminat. Aku tidak pasti adakah dia mahu menjaga batas atau dia sudah tawar hati terhadapku.
Akhir-akhir ini pelbagai masalah menimpaku baik dalam keluarga ku serta di tempat kerja ku. Aku perlukan dia tempat untukku mengadu. Namun aku batalkan hasrat kerana sikap tidak acuhnya kepadaku.
Semakin hari, aku semakin tawar hati. Aku sedar kerana kurangnya komunikasi antara kami. Aku lihat rakan-rakanku gembira dengan pasangann mereka yang saling memahami. Sedangkan aku menahan perasaan seorang diri.
Aku faham dalam agama ada batas komunikasinya sebelum berkahwin. Namun aku tidak boleh terima cara layanan Z terhadapku.
Kini, aku bertekad untuk membatalkan pertunangan aku dan Z. Aku takut jika berkahwin layanan Z tetap sama terhadapku dan aku akan diabaikan. Tambahan Z seorang yang sangat sibuk dengan kehidupannya kini.
..
Nasihat aku buat mereka yang bertunang, hargailah pasangan kalian baik-baik. Dengar dan bertanya khabar mereka. Jangan biar mereka menanggung kesedihan seorang diri.
Jagalah komunikasi dengan baik. Sentiasa buatkan mereka rasa anda ada apabila mereka memerlukan.
Makhluk yang bernama wanita hanya perlukan perhatian yang baik Dan pendengar yang sudi menadahkan tellinga.
Mungkin anda boleh berasa selamat kerana sudah bertunang dan dia akan menjadi milik anda. Namun tidak semudah itu. Tempoh pertunangan akan paling banyak menguji kalian jika kalian berjaya tempuhinya kalian selamat. Dan begitu sebaliknya.
Terakhir dariku ‘don’t take things for granted’.
Untuk Z, sekali aku pergi. Aku tidakkan berpaling lagi.
Semoga kau mendapat wanita yang benar-benar memahami dan kena dengan jiwamu..
– Mia (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit