Assalamualaikum. T.kasih buat admin jika approve tulisan ni. Saya bukan nak cerita benda penting pun, cuma sekadar mahu meluahkan rasa hati.
Saya seorang perempuan, berumur 25 tahun. Anak kedua, dari 7 beradik (5 adik tu sebapa, lain mak).
Mak ayah saya bercerai ketika saya berumur 10 tahun. Dan bermula saat itu, saya dan abang dijaga oleh pengasuh yang diupah oleh bapa. Bapa tinggal di daerah lain bersama isteri barunya (makan masa lebih kurang 7jam untuk jarak tempat tinggal kami). Mak pula, selepas bercerai membawa diri dan saya tidak pernah mendengar khabar tentang beliau sehingga saya berumur 15 tahun.
Saya seorang yang agak manja memandangkan ketika itu saya masih bongsu (beza dengan adik 10 tahun). Sudah tentu kehidupan selepas mak ayah saya bercerai, berubah 100%.
Saya meneruskan hidup seperti biasa. Bersama rakan sekolah, saya gembira. Bila balik rumah dan keseorangan, saya akan menangis tanpa sebab. Rasa rindu kepada mak dan bapa saya sudah saya kubur ketika saya berumur 11 tahun, sebab merasakan sia-sia untuk merindukan seseorang yang tidak akan kembali walaupun masih bernyawa. Bapa? Dalam masa tiga bulan, kalau dapat jumpa dengan beliau pun Alhamdulillah. Saya cuba untuk faham, beliau sibuk dengan kerja dan memang kerap outstation. Dan kami (ketika itu abang ada telefon bimbit) hanya saling berhubung berkaitan duit. Tiada kata rindu, tiada pertanyaan khabar, yang ada cuma, “duit ada?” “Kami perlukan duit, untuk beli barang sekolah” “duit belanja sekolah sudah habis” dan bla bla bla. Semua duit. Jika bukan disebabkan duit, masing-masing sepi.
Ketika saua ditingkatan tiga, mak saya balik ke rumah hanya sebulan. Setelah hampir lima tahun tidak berjumpa, saya sering tersasul memanggil dia makcik. (Sebab pengasuh kami panggil makcik).
Untuk setiap tindakan mereka, saya tidak persoalkan, sebab saya faham, mereka sudah cukup dewasa untuk menentukan hidup mereka.
Ketika berumur 16 tahun, saya mula tinggal bersama bapa saya. Ketika ini, berjumpa pun seminggu sekali. Saya banyak menghabiskan masa dengan mak tiri yang tak pernah sukakan saya. Tiap hari disajikan dengan sindiran dan perlian. Perkara biasa, dan sekali lagi, hidup saya berubah termasuk sikap. Saya mula jadi pemendam rasa dan lebih diam. Jika di sekolah sebelum ini saya masih boleh gembira sehingga digelarkan happy go lucky, tidak di sekolah baharu saya. Saya banyak diam, tidak pandai bergaul, dan menyendiri. Apatah lagi ketika itu, saya dibuli secara mental di rumah dan di sekolah.
Saya pernah menelan ubat batuk sebotol ketika, berumur 17 tahun. Tapi tiada siapa yang tahu. Bukan mahu membunuh diri, saya cuma mahukan ketenangan. Ketenangan dari terus disiksa mental. Ketika itu saya cuma fikir, pasti mereka yang tidak suka kan saya akan bahagia jika saya tiada lagi di dunia ini.
Agama? Saya muslim yang tidak kenal agama sendiri. Sentiasa berjumpa dengan manusia yang menghukum. Sedangkan hati saya meronta, mengharap akan ada insan datang menepuk bahu saya dan berkata, “saya sentiasa ada bersama awak” atau “semuanya akan baik-baik saja”
Syukur, Tuhan masih sayang saya. Saya masih meneruskan hidup untuk perjuangan hari ini, tanpa ada harapan untuk hari esok dan seterusnya. Struggle melalui hari yang panjang, dan pencarian yang masih samar-samar. Saya tidak tahu apa tujuan saya hidup, apa yang harus saya lakukan untuk hari-hari yang mendatang. Tiap hari yang saya lalui sambil cuba melupakan jejak hari yang telah saya lalui.
Saya dicop menyusahkan, pemalas, terlalu manja, cemburu pada adik sendiri (walhal mendapat adik merupakan perkara yang paling menggembirakan saya). Saya tiada kuasa melawan. Hanya perlu mendengar dan sabar.
Saya pernah berkahwin dan kecundang. Kahwin atas pilihan mak. Bagi nya lelaki itu yang terbaik. Saya mahu menolak tidak mampu. Saya terima, tetapi akhirnya kecundang. Ketika putus hubungan, baru mak dan bapa mula mahu mengambil berat tentang saya, ketika saya berumur 25 tahun.
Saya tinggal sementara bersama mak selepas berpisah. Mak banyak mengimbau memori ketika saya masih kecil. Tapi sungguh, memori itu tiada dalam ingatan. Mak melayan saya seperti budak-budak. Cuba melayan, memasak makanan yang saya suka ketika saya masih kecil. Mak taktahu, semua sudah berubah, termasuk selera.
Bapa. Juga melayan saya seperti budak-budak. Kadang terasa seperti dia lupa saya sudah dewasa. Masih mengenangkan sikap dan menceritakan sikap saya ketika saya masih kecil. Mereka tidak sedar, anak dia mereka ini sudah dewasa. Sehingga apabila saya meminta izin untuk hidup sendiri dan berdikari, tidak dibagi.
Saya hormat keputusan mereka. Saya tidak mahu melawan setiap perkara yang mereka rasa adalah terbaik buat saya. Cuma, apabila perkara tidak menjadi seperti yang diharapkan, segala beban diletakkan pada bahu saya, seorang.
Dan sekarang, saya masih berusaha untuk keluar. Otak saya sangat-sangat berkecamuk.
Mohon maaf jika tulisan ini menbuang masa kalian. Saya cuma mahu meluahkan rasa hati, tapi tidak tahu caranya.
Terima kasih.
– Anak yang keliru
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit