Luahan Hati Along II

Untuk part I, (https://iiumc.com/luahan-hati-along/).

Assalamualaikum. Terima kasih pada yang memberi komen pada entry yang lalu. Terima kasih. Kalian sangat baik.

Bila baca komen, ada yang cakap, minta aku keluar rumah. Perkara keluar rumah ni, aku dah buat sejak aku belajar. Dan sekarang, memang aku dah rentas negeri.

Masa luahan tu ditulis, aku belum rentas negeri sebab aku rasa, aku perlu minta maaf dulu dengan mama, dengan abah. Tapinya… Hahaha, biar je laaaa aku malas nak cerita banyak-banyak.

Ada yang tanya, mama abah aku bercerai ke? Tak, mereka tidak bercerai. Mama abah aku masih setia bersama-sama. Yang jadi pedih dan perit, bila semua ni jadi, aku tiada siapa nak bela.

Adik-adik? Hmmmmm

Dalam rumah tu, ada mama, abah, aku dan adik bongsu aku sepanjang PKP tu. Adik aku yang kedua dan ketiga, masing-masing dah berkahwin. Adik aku yang bongsu, kalau mama buat silent treatment dekat aku, dia pon sekali join dengan pakej tengking herdik. Best kan?

Adik-adik aku yang lain, tak masuk campur. Diorang dah ada famlili sendiri buat apa nak kisah bebenar pasal hal aku. Paling tidak pon ayat diorang, ‘kau beralah je laaa kak dengan mama tu. Kau belajar agama tinggi.’

Aku faham je kenapa ramai yang macam tak faham, kenapa aku tak cuba slow talk, berbincang dengan mama aku, cari root cause masalah ni.

Sepanjang aku hidup, tak de istilah heart to heart session dengan mama aku. Tiada! Yang ada hanya ‘i talk, you listen and follow! That’s a command bukan permintaan’. Titik.

So, macam manalah aku nak beramah mesra ajak mama aku berbincang elok-elok?

Lepas tu, suruh tulis surat?

Kalau surat-surat yang aku bagi pada mama aku selama ni mampu meredakan kebencian, aku rasa tiada istilah Surat Buat Mama dan Luahan Along aku tulis dekat sini.

Surat-surat yang aku tulis bakal jadi bahan ejekan dan perlian.

Ada yang kata aku melebihkan orang luar. Untuk pengetahuan, aku ni keluar rumah pon jarang. Aku tak ramai kawan, walaupun dari umur 13 tahun aku dah tinggal di asrama. Aku tak marah, cuma aku nak betulkan sedikit anggapan korang tu.

Aku wanita yang berdikari. Susah senang aku, memang aku sendirian je. Aku tak de laaa nak canang satu dunia yang aku susah. Aku tampal senyum sungguh-sungguh sampai orang hadap aku dengan soalan ‘kau happy je, tak nampak macam ada masalah’.

Aku meluahkan di sini bukan untuk cari simpati pun. Aku nak meluahkan apa yang terbungkam. Menangis, meraung, meratap, tu semua aku dah buat dari umur aku 9 tahun. Sudahnya, hati aku kebas sendiri. Aku terkapai-kapai mencari makna aku sebagai anak dalam hidup mama.

Aku hargai nasihat kalian. Tapi, apa yang kalian baca tu, bukanlah mencerminkan 100% apa yang jadi. Tu baru secebis dari sekian banyaknya luka dalam hati aku.

After all, Allah tak kejam. Manusia yang sebenarnya kejam.

Luahan hanya sekadar luahan. Aku hanya meminta secebis doa dari kalian. Sedikit nasihat dan dukungan. Aku tak dapat nasihat dan dukungan yang ku mahu.

Aku tahu aku kuat. Tapi, sekuat mana pun manusia, kadang kala, dia perlukan a shoulder to cry on, bahu untuk bersandar. Aku juga manusia yang ingin dipeluk saat esak tangis meraung dan air mata tak tertampung.

Cadangan untuk mencari keluarga angkat…. Hmmm… Aku pernah ada keluarga angkat dulu. Mak angkat aku pernah call mama aku. Dan, mama melancarkan perang psychology dengan aku. Macam-macam diperli dan disiniskan aku.

Akhirnya, dipendekkan cerita, hubungan aku dengan keluarga angkat tu terputus begitu sahaja.

Aku ni dah diajar dari kecil, dah disogok, dah dibrainwash bahawa tiada sesiapa di dunia ni untuk aku rely on melainkan keluarga aku. So, perkara tu aku bawa sampai sekarang.

Sekompleks mana pun masalah aku dengan mama aku, sebesar mana pon pergaduhan kami, malah, ser4b4k mana pun hati aku ni, aku tetap akan balik rumah mama. Aku tetap akan rasa bersalah kalau terus-terusan dingin dengan dia.

Entahlah…

Aku baca komen kalian satu-satu. Aku yakin, kebanyakan dari kalian datang dari famili bahagia yang sering aku tengok di insta, mahupun depan mata. Yang boleh bergurau senda, bertepuk tampar, mengadu nasib dan berkongsi keluhan.

Tahniah aku ucapkan. Sebab, aku tak dapat nak rasa semua tu. Aku masih struggle to fit in diri aku dalam famili sendiri.

Untuk yang menasihatkan aku untuk berkahwin…. Kalaulah aku ada calon yang sesuai… Masalahnya, aku tak punya. Kawan lelaki pon aku tak ada melainkan teman sepejabat yang merupakan suami orang, atau tunangan orang atau teman lelaki orang.

Dan, mungkin kesan dari upbringing yang begini, aku yang dah disogok kata aku perempuan jahat, gedik, mengada-ngada, aku memang payah nak berkenalan dengan lelaki, sebab aku rasa orang akan memandang aku dengan sebegitu.

Berkata baiklah, ataupun diam. Aku meluahkan, supaya, mana-mana yang sudah bergelar ibu, mahupun bapa, janganlah menyeksa anak dengan ayat dan kata-kata yang bukan-bukan.

Bukan semua orang boleh terus positif dan berjalan ampuh pekakkan telinga kebalkan hati. Every people have different adaptation level. Aku tak terlepas dari itu.

Dan adaptation level aku untuk kata-kata kejam dan hinaan yang keji memang di fasa paling bawah. Sebab tu aku mudah terhujam dengan perasaan dan meremuk redam dalam diam.

Dan aku yakin, ramai macam aku.

Ramai orang yang potray diri dia kuat, berbakat dan sangat berpengetahuan, tapi, dalam diam, dia merana. Kita tak tahu. Kita jangan generalised kan adaptation level kita sama dengan orang lain.

Aku harap kalian faham dan teruslah jadi netizen yang baik. Aku meluahkan di sini pun, sebab sikap para komentar di sini sangat baik dan sangat menyokong dan mendukung. Terima kasih. Kalian memang netizen berhemah.

Ini luahan aku yang terakhir. Aku tak berniat nak memanjangkan isu ini. Aku sekadar meluahkan, kerana aku dah hilang punca mencari kekuatan.

33 tahun aku kuat, takkanlah kerana sehari aku menulis yang aku rebah, aku ditempel dengan kata bahawa aku lemah. Kan?

Terima kasih sekali lagi atas komen yang membina. Nasihat kalian aku amat hargai. Kalian tidak kenal aku, tapi, kasih sayang kalian aku rasa sampai dalam hati.

Komen kalian aku baca dengan air mata bertubir dan mengalir di pipi sambil tak sudah mendoakan agar kalian dilimpahi rahmah dan kasih sayang Allah sentiasa.

Untuk yang menghulurkan salam perkenalan, terima kasih. Aku belum kuat nak kenalkan diri aku pada sesiapa. Cukuplah, kalian kenal aku sebagai Along.

Aku doakan kalian terus berbahagia di samping keluarga dan insan yang tersayang.

Teruskan menebar kebaikan.

Yang Benar,

– Along (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *