Luahan Hati: Jaga Adik

Assalamualaikum, saya hanya ingin bercerita mengenai apa yang saya lalui dari saya kecil hingga sekarang. Saya merupakan anak sulung, dari kecil lagi saya ditugaskan untuk menjaga adik adik kecil saya dari bayi sehingga mereka besar, dari adik ke-3 hingga bongsu.

Saya yang menguruskan mereka dari mereka bangun sehingga mereka tidur. Saya tidak menjaga adik nombor 2 saya kerana jarak umur kami tidak jauh.

Saya yang mandikan, membuat susu mereka, dan uruskan makan mereka. Apabila waktu pulang ke kampung, waktu saya kecil saya sentiasa ditugaskan untuk menjaga adik adik, saya tidak mempunyai kesempatan untuk bermain bersama sama sepupu saya yang lain,

Saya sentiasa ditugaskan untuk menguruskan adik adik sahaja, dan cuma boleh bermain dengan sepupu jika adik adik sudah tidur.

Kalau mereka tidak tidur, saya kena menjaga mereka sahaja tanpa rehat, apabila saya mengadu dekat ibu bapa saya yang kenapa saya asyik kena menjaga adik sahaja,

Tetapi ibu bapa saya akan salahkan saya dengan mengatakan ‘habistu nak suruh aku jaga?’ Saya sedih, sebab saya tidak dapat bermain dan berseronok dengan sepupu sepupu saya ketika saya masih kecil.

Manakala, adik saya yang kedua boleh bermain, berseronok dengan sepupu sepupu saya. Adik saya yang kedua tidak pernah ditugaskan untuk menguruskan adik adik saya, saya sahaja yang ditugaskan untuk menjaga dan menguruskan adik adik.

Hal ini disebabkan, adik saya nombor 2 itu lebih pandai daripada saya. Pada waktu dulu saya juga seorang pelajar yang pandai namun disebabkan saya ditugaskan untuk menjaga adik sahaja dan membuat kerja rumah, saya jadi penat dan pelajaran saya merosot,

Saya faham saya kena pandai bahagikan masa tetapi saya hanya mempunyai waktu untuk belajar ketika di sekolah sahaja, di rumah saya yang kena menguruskan adik adik saya.

Ketika waktu sekolah menengah, saya sentiasa disisihkan oleh kawan kawan saya sebab saya tidak berapa pandai, semua orang malu untuk berkawan dengan saya disebabkan saya tidak pandai.

Saya sedih kerana di rumah dan juga di sekolah saya asyik dipersalahkan sebab saya tidak pandai, saya sentiasa berusaha untuk belajar namun belum rezeki saya untuk menjadi pandai. Segala usaha saya tidak pernah orang hargai dan nampak.

Saya pernah melakukan kesalahan, saya ingin melarikan diri saya dan ingin pulang ke kampung saya sebab tidak tahan duduk di rumah,

Namun perbuatan itu mak saya mengetahuinya dan mak saya membelasah saya dengan teruk sebab dia anggap saya tidak menghargai kelebihan saya dapat duduk di rumah,

Mak saya menelefon sekolah dan menceritakan perangai saya itu dekat cikgu cikgu. Saya jadi malu kerana saya dipanggil guru displin dan guru kaunseling.

Oh lagi satu, saya dibelasah sehingga muka saya berparut dan apabila saya tiba di sekolah semua rakan rakan saya menanyakan mengenai muka saya, saya jadi malu namun sekarang parut itu sudah hilang.

Namun nak dijadikan cerita, adik saya yang nombor 2 ni melakukan hal yang lagi teruk daripada saya, namun ibu bapa saya tidak pernah marah atas perbuatan dia itu, malah mereka sentiasa menasihati dia, ibu bapa saya selalu melebihkan adik saya itu,

Apa yang adik saya nak semua dibagi, walaupun mereka takde duit mereka sentiasa usahakan untuk membelikan apa sahaja kehendak adik saya. Tetapi saya? Hanya memakai sisa baki orang bagi, membeli barang dengan duit saya sendiri namun dimarah sebab tahu membazir je.

Alhamdulilah, saya habiskan zaman sekolah dengan keputusan SPM yang sangat bagus, saya menerima banyak tawaran belajar dan saya berjaya memasuki universiti yang sangat jauh daripada rumah,

Saya sangat bersyukur sebab apa yang saya doa dapat dimakbulkan, cikgu kaunseling saya pun pernah cakap, saya memang kena belajar jauh jauh disebabkan parents saya ini.

Saya ingat, ketika saya belajar jauh saya akan dihargai, namun sama juga saya asyik disishkan, dihina, dan dibenci.

Ketika saya cuti sem saya akan bekerja sebab saya nak beli apa yang saya nak, namun apabila saya dirumah, saya asyik dimarah sebab tidak menolong membuat kerja rumah,

Padahal sebelum saya pergi kerja saya akan selesaikan semua perkara kecuali memasak sahaja sebab tidak sempat. Saya digelar pemalas dan saya asyik dibandingkan dengan anak orang lain sahaja.

Kadang kadang saya terfikir untuk membunuh diri sahaja sebab saya asyik digelar tak guna sahaja untuk hidup di bumi ini dan selalu dianggap menyusahkan ibu bapa sahaja.

Saya tidak mempunyai lesen lagi kerana parents saya tak daftarkan, dan setiap kali ke kerja saya akan dihantar oleh parents saya dan saya dianggap menyusahkan diorang sahaja,

Saya tidak ingin pun nak menyusahkan diaorang tetapi dalam keadaan saya yang tiada lesen dan kenderaan saya terpaksa. Kalau saya boleh jalan kaki dah lama saya jalan kaki sahaja tidak menyusahkan mereka. Tetapi saya tak boleh disebabkan tempat part time saya jauh.

Saya cemburu, adik saya yang kedua mempunyai lesen dan mempunyai kenderaan sendiri, namun apabila saya meminta ibu bapa saya, mereka akan cakap,

‘Kau ni tak habis habis nak menyusahkan, adik kau lelaki lagi penting untuk dapatkan kenderaan daripada kau perempuan takpe takde lesen pun dan kenderaan pun.’

Sejak covid ini, saya ditugaskan untuk belajar online, saya tertekan duduk di rumah, saya digelar pemalas sebab hadap laptop sahaja, namun saya ada tugas dan kelas online perlu saya hadir dan buat.

Saya jadi tertekan kadang kadang sampai saya jadi seorang yang pemarah, saya asyik bergaduh dengan ahli keluarga saya, dan saya asyik dihalau balik sahaja ke universiti saya. Kalau boleh saya memang nak balik universiti, saya tertekan duduk di rumah.

Saya harap tahun depan saya boleh pulang ke kampus saya. Saya rindu kawan kawan saya yang berada di sana, mereka sahaja yang membuatkan saya rasa gembira.

Sekian sahaja luahan hati saya, saya tidak mempunyai sesiapa untuk luahkan perkara ini dan saya harap kalian yang membaca doakan saya terus kuat untuk meneruskan hidup ini.

– Anak Sulung (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *