Luahan Hati Nas

Assalamualaikum. Terima kasih admin sebab sudi siarkan confession ini. Confession ini hanyalah luahan kecil hati saya.

Nama saya Nas. Perempuan berumur pertengahan 20an. Bekerja di sebuah hospital kawasan lembah klang tapi saya bukanlah frontliner.

Saya tak pernah anggap diri ini frontliner pun sebab kerja saya tak perlu pakai berlapis – lapis PPE seperti kawan-kawan di jabatan lain seperti di Kecemasan, ICU, wad covid.

Saya cuma staff perubatan di wad biasa yang bukan covid.

Ketahuilah para frontliner kita dan penat burn inside out. Bekerja tanpa henti untuk selamatkan nyawa rakyat Malaysia. Tapi akhirnya ramai juga yang pergi menghadap Ilahi.

Hanya yang pernah mengalami tahu perasaan kami bila tak dapat selamatkan nyawa pesakit.

Bukan sahaja nyawa pesakit Covid tapi nyawa pesakit lain bukan Covid. Yang kemalangan, yang sakit jantung, komplikasi lepas strok dan banyak lagi.

Di luar sana ramai yang mencemuh, menghina mengatakan Covid ini cuma satu penipuan. Angka itu cuma helah untuk takutkan orang ramai.

Tapi masih ada doktor, staff kesihatan luar sana yang masih sanggup meluangkan masa untuk buat live dan posting di media sosial menjelaskan keadaan sebenar walaupun setelah penat kerja seharian.

Pemberian vaksin pun dijadikan isu. Banyak penjelasan pihak KKM dan pasukan perubatan yang bertauliah mengenai vaksin tapi rakaman suara doktor tak bertauliah juga yang di percaya.

Bila kes dah mencecah lebih 6 ribu ramai yang dah mula takut, tunding jari sana sini menyalahkan orang lain.

Tapi satu yang kita lupa, tengok pada diri sendiri dan keluarga. Sejauh mana kita patuh SOP bila berada di luar rumah. Anak-anak kecil masih dibawa ke shopping mall, bazar yang sesak.

Malah ada aktiviti kunjung-mengunjung masa raya tempoh hari. Bila seorang postif, contact tracing akan dijalankan. Beratus-ratus perlu diswab.

Ada yang sanggup tipu bila ditanya. Bila keluar result positif covid baru nak jelaskan semuanya. Tak fikir ke nyawa orang lain juga berharga?

Saya sendiri pernah 3 kali buat swab test sebab pesakit tak jujur bila ditanya. Lepas 3 hari baru ada simptom akhirnya positif.

Alhamdulillah ketiga-tiga swab test saya negatif tetapi masih ada simptom ringan. Tetap kerja seperti biasa sebab dah lengkap vaksin.

Bila ada seorang petugas kesihatan positif, bermaksud work load petugas itu akan ditanggung oleh kawan atau team tersebut.

Kalau 2 orang, 10 orang kiralah sendiri. Sampai harini beribu petugas kesihatan yang telah dijangkiti covid. Kami juga ada ahli keluarga di rumah.

Cuti kami tak perlu ditanya. Dah lama cuti beku, ada yang ayahnya dirawat oleh doktor lain sehinggalah meninggal dunia.

Sedangkan anaknya juga seorang doktor tetapi di negeri yang berbeza. Balik hanya dapat jumpa jenazah ayah yang dah kaku untuk dikebumikan.

Saya sendiri ada pengalaman yang lebih kurang sama masa mula masuk kerja dulu.

Ayah keluar masuk hospital hampir setahun tapi saya cuma mampu ziarah ayah sabtu ahad kalau tiada oncall. 3 kali operation ketiga-tiga tanpa saya disisi. Saya cuma mampu mendoakan dari jauh.

Saat ayah saya didialisis sebab darah makin berasid, saya masih merawat pesakit lain di hospital. Saat ayah saya di intubate, saya masih dalam perjalanan ke hospital ayah dirawat.

Akhirnya ayah pergi juga 3 hari lepas hari jadi saya yang ke 23. Ya perasaan bersalah tu masih ada sampai hari ini, berasalah sebab tak mampu luangkan masa untuk keluarga sendiri.

Bila rawat pesakit yang lebih kurang sama keadaan ayah, tak sedar ada air mata mengalir.

Mungkin ramai pembaca akan mempersoalkan kenapa pentingkan kerja berbanding keluarga. Masuklah dalam bidang pekerjaan ini baru anda akan faham tanggungjawab kami.

Walaupun PKP, PKPD mana sekali pun hospital tak pernah tutup. Kami tetap akan bekerja seperti biasa. Pesakit sentiasa ada dan makin bertambah sampai tiada ruangan untuk ditempatkan.

Selalunya nak pergi ke tandas pun kami tahan apatah lagi masa untuk makan. Kami tetap di sini untuk terus membantu.

Buat sahabat KKM sekalian, teruskan berbakti selagimana kita mampu. Semoga Allah memberi kekuatan dan melindungi kita dari dijangkiti wabak ini.

Bantu kami dengan patuh SOP, keluar bila perlu. Yang layak tolonglah daftar diri untuk vaksin. Jangan biarkan Malaysia jadi seperti India.

Dan jangan lupa doa semoga Allah angkat wabak ini dari muka bumi.

– Nas (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *