Luahan Hati Seorang Anak

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Nama aku Ija. Semoga kisah aku ini menjadi pengajaran buat kita semua sebagai anak. Sorry kalau ayat tunggang terbalik ye. Terlalu banyak untuk aku ceritakan.

Kisah ini telah berlaku berpuluh-puluh tahun yang lalu. Aku dijumpai dalam keadaan menangis laparkan susu sehingga tiada suara. Usiaku ketika itu lebih kurang 2 bulan. Menurut nenekku, ibuku meninggalkan aku tanpa kata, tanpa bekalan susu di rumah seorang diri.

Bayangkan, bayi berusia 2 bulan. Ditinggalkan dirumah seorang diri. Tidak tahu berapa lama ibuku meninggalkan aku dirumah kerana seusai nenek dan atukku pulang dari kebun, mereka menjumpaiku. Aku ditatang dan dibesarkan oleh atuk dan nenekku sehingga usiaku 4 tahun.

Kata nenek, ibuku dikhabarkan bekerja di ibu kota. Tetapi langsung tidak pernah pulang atau bertanya khabarku menurutnya.

Menurut nenek lagi, aku tidak boleh minum susu lain yang berharga lebih murah. Dari kecil, hanya boleh minum susu formula S26 katanya. Jika tidak, pasti muntah bersembur sehingga menyebabkan atuk dan nenekku panik.

Pada aku, orang kampung yang bergantung kepada pencen yang sedikit serta hasil dari kebun yang tak seberapa, teramatlah membebankan untuk membesarkan aku.

Namun, setelah aku berusia 4 tahun dengan tiba-tiba ibuku pulang dan mengambil aku semula. Kata nenek, jangankan memohon maaf. Ibu pergi membawaku tanpa berkata apa-apa.

Aku, sebagai seorang ibu hari ini. Tidak dapat aku bayangkan betapa perit dan susahnya perasaan yang ditanggung oleh nenekku. Sudahlah meninggalkan anak tanpa kata, datang mengambil jua tanpa kata.

Aku menangis semahu-mahunya mengenangkan perbuatan ibuku. Malu, sedih, marah dan bercampur baur. Aku tahu keperitan atuk dan nenek membesarkan aku dengan hasil kebun getah serta pencen yang diterima oleh atuk yang tak seberapa.

Disamping ketika itu, adik ibuku juga yang masih bersekolah. Namun, aku bersyukur kerana masih hidup. Dan ibu tidak membuangku di tong sampah. Cuma, keperitan dan kesusahan serta jasa atuk dan nenek membesarkan aku.

Tidak aku lupakan sampai bila-bila. Semoga Allah memberi kesihatan berpanjangan kepada nenekku. Dan, sehingga kini ibuku masih tidak sebulu dengan nenekku. Walhal, itu ibunya sendiri. Semoga Allah lembutkan hati ibu dan berbaik dengan nenek.

Kata nenek juga, kakak maafkan lah ibu. Ibu muda ketika itu dan mungkin dia tidak berfikir dengan baik. Tapi, kakak jangan ulang apa ibu buat pada kakak. Pesan tu, kakak ingat sampai sekarang.

Mesti tertanya-tanya mana ayahku. Aku ada ayah. Tetapi ketika kejadian itu, ayahku telah ditangkap oleh pihak berkuasa kata nenek. Aku juga tidak tahu mengenai apa.

Tetapi sepanjang ingatanku, ayahku seorang yang loveable. Cuma ayahku terlibat dengan jenayah. Ayah tidak pernah sekali pun memukul aku. Tidak seperti ibuku yang biasa menampar serta aku pernah di tendang olehnya.

Ditarik baju, dicubit. Dicekik juga aku masih ingat. Semuanya masih kekal dalam memoriku. Apalah seorang kanak-kanak tahu jika ditampar atau dipukul sebegitu.

Kalau begitu benci, kenapa ibu tak bvnvh terus kakak?? Oleh kerana keadaan ayahku yang berada di “dalam” . Jadi tiada sesiapa dari pihak keluarga disana membantu atuk dan nenek yang membesarkan aku.

Fast forward, ketika aku ingin melangsungkan pernikahan ku, aku menyatakan keinginanku berumah tangga kepada ibuku. Ketika itu ayahku sudah meninggal dunia.

Jadi, pada aku sudah pastinya ibuku akan membantu ku dalam persiapan pernikahan sebagaimana ibu bapa orang lain yang mempersiapkan anak mereka.

Tetapi, sangkaan aku meleset. Aku yang mempersiapkan semuanya. Daripada barang hantaran, jemputan. Dan paling penting, aku sendiri yang memberitahu ahli keluarga aku yang aku ingin bernikah.

Malu, namun Alhamdulillah disambut baik. Walaupun sebenarnya aku sedih kerana ibuku tidak membantuku. Malah, seolah-olah tidak senang aku bernikah.

Alhamdulillah aku telah selamat berkahwin dan pada aku, walaupun aku berasa susah kerana melakukan majoriti hal-hal persiapan sendiri sekurang-kurangnya aku mendapat pengalaman sendiri dalam menguruskan majlis perkahwinan.

Aku juga bersyukur, dikurniakan keluarga mertua yang sangat baik dan supportive.

Ibu juga dah berkahwin lain. Pernah sekali, ibu menelefon aku dengan cemas. Katanya suaminya memukulnya. Dia menangis teresak-esak.

Aku yang ketika itu sedang bekerja, cepat-cepat menelefon suamiku dan mengajak suamiku pulang menjenguk ibu kerana aku yang paling hampir dengan ibu. Walau seburuk apa pun tindakan ibu pada kakak, kakak tetap sayang ibu. Aku segera pulang.

Perjalanan yang memakan masa 2 jam tu terasa panjang. Setiba aku dirumah, aku lihat keadaan rumah baik. Tiada kesan pukulan di kepala ibu pun seperti yang didakwa oleh ibu.

Setelah memastikan keadaan semuanya baik, aku mengajak ibu membuat laporan polis. Ibu tidak mahu. Dan kami pulang dengan terpinga-pinga apakah yang sebenarnya berlaku.

Ketika dirumah ibu juga, ibu ketawa-ketawa seperti tidak berlaku pergaduhan itu. Sehingga hari ini, aku tidak tahu apakah ibu prank kakak bu?

Untuk ibu yang tetap kakak sayangi, jikalau ibu baca, nenek dah tua ibu, tak tahu esok lusa sampai bila usia nenek. Kakak harap sangat ibu boleh gembirakan nenek di akhir usia nenek. Nenek dah terlalu banyak memendam rasa.

Untuk betulkan kesilapan ibu yang lalu, kita tak mampu kembali semula ke zaman silam. Semua orang buat silap ibu.

Cuma kakak harap, ibu berlapang dada dan kakak doakan ibu berubah, sebab kakak pun tak mampu nak betulkan ibu. Hanya Allah yang memegang hati hambaNya. Ibu mohonlah kemaafan dan restu dari nenek.

Ibu janganlah terlalu keras hati dan menidakkan semua apa yang orang katakan tanpa sempat ibu fikirkan pun.

Kakak tahu, mungkin kakak adalah anak ibu yang ibu tak ingin kan. Mungkin kakak adalah anak atas kesilapan ibu. Berbanding anak-anak ibu yang lain yang bekerjaya baik, yang cerdik pandai berbanding kakak kerana kakak juga lahir dari rahim ibu.

Kakak tak pernah lupa jasa ibu sudi melahirkan kakak. Tak terbalas jasa ibu menahan sakit melahirkan kakak. Cuma terimalah kakak seadanya seperti ibu meraikan anak-anak ibu yang lain. Kakak tetap sayang ibu. Seburuk apa pun, ibu tetap ibu kakak. Cuma, nak melupakan tu perit bu.

Janganlah ibu banding-bandingkan kakak dengan adik-beradik yang lain. Itu je kakak mintak. Nak memaafkan tu mudah, nak melupakan tu susah bu.

– Ija (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *