Luahan Hati Untuk Pemilik Gelang KKM

Assalamualaikum para pembaca… Ekoran cerita kamu si pemilik gelang KKM, kami nak bebel sikit di ruangan IIUMC ini jika di izikan oleh admin yang bertugas…

Kamu tahu tak…? Gara-gara kamu yang pentingkan diri sendiri, kami yang menjadi mangsa…!! Kenapa kamu degil…?

Tidakkah kamu sedar bahawa virus ini masih lagi mengganas…? Tidakkah kamu sedar bahawa virus ini masih ada…?

Adakah kamu sedar atau sekadar pura-pura tidak menyedarinya dek kerana kepandaian kamu yang semakin menipis… Kenapa kamu tidak pedulikan arahan dan prosidur yang telah diberikan…?

Yaaa… Sememangnya kamu tidak pernah peduli…!!

Kamu tidak pernah peduli betapa lelahnya kami di barisan hadapan memerah keringat tanpa menghiraukan bahaya dijangkiti tetap utuh menjalankan amanah tugas yang diberikan tidak kira siang atau malam…

Kami terpisah jauh dengan keluarga kami walau jaraknya hanya senipis PPE (Personal protective equipment). Kami hanya mampu memandang mereka namun tidak mampu menyentuh kerana kami sedar pada kami mungkin ada virus-virus jahat tersebut.

Kamu tidak pernah peduli betapa susahnya perjalanan hidup kami sewaktu tempoh PKP dilaksanakan…?

Kami terpaksa mengikat perut. Apabila susu anak sudah tinggal hanya sesudu, hati kami sudah mulai gundah. Barang dapur hanya mengharapkan ihsan sesama manusia. Seolah-olah kami ini tidak berguna apabila anak-anak sudah berbunyi…

“Telur goreng dengan nasi kosong jer..?”

Jika bergaji tetap alhamdulillah… Sudah pasti hujung bulan ada hasilnya, tetapi bagaimana pula dengan kami yang bekerja sendiri…? Keluar kerja adalah hasilnya, tidak bekerja maka tiadalah hasilnya… Kami tahu kamu tidak pernah peduli…!!

Kamu tidak pernah peduli tentang anak-anak kami yang telah lama tidak bersekolah…! Anak-anak kami rindukan bau rumput dan tanah di sekolah.

Mereka rindukan hiruk-pikuk kawan-kawan, mereka rindukan nasi lemak makcik kantin bersama sirap sejuk dan mereka juga rindukan leteran daripada para guru. Mereka rindukan padang mereka bermain…

Kamu tidak pernah peduli betapa kami rindukan solat berjemaah di Rumah Allah…? Setiap Jumaat kami berkumpul berjemaah bersama-sama. Bercerita tentang kerjaya dan hal ehwal semasa.

Kamu tidak pernah peduli betapa luluhnya perasaan kami ketika ahli keluarga kami disahkan positif Covid-19. Mereka harus menerima rawatan.

Hanya mengharapkan ihsan daripada doktor dan juga nurse… Pergi entah bila akan kembali… Pergi untuk menerima rawatan, entahkan sembuh entahkan tidak… Kami terpisah jauh walaupun bezanya hanya tembok batu hospital…

Kamu tidak pernah peduli betapa hancurnya hati kami melihat ahli keluarga kami dikebumikan tanpa ditemani ahli keluarga…? Sedangkan itulah kali terakhir kami akan menatap wajah mereka.

Mereka pergi tanpa kami disisi… Bukan kami yang memandikannya, bukan kami yang kapankannya, bukan kami yang menghantar ke liang lahad rumahnya yang abadi apatah lagi jika dia itu adalah ibu yang melahirkan kami.

Bapa yang mencarikan rezeki untuk kami, pasangan yang rela berkongsi derita dengan kami ataupun mereka adalah anak-anak yang kami belai dengan penuh kasih dan sayang.

Betapa ralat dan kesalnya hati kami kerana tidak mampu menghantar mereka pergi ke alam yang abadi dengan tulang empat kerat kami sendiri… Allahuakbar…

Kamu tidak pernah peduli betapa susahnya kami mengumpul duit untuk pulang ke kampung bertemu ‘jambatan syurga’ kami setelah beberapa bulan tidak bekerja akibat PKP…?

Kami bukanlah daripada golongan ‘kayangan’… Kami perlu kembali bekerja untuk sama-sama menjana ekonomi… Tolong jangan hancurkan harapan kami…

Kamu tidak pernah peduli betapa lamanya kami menghitung hari untuk menyambut Aidil Adha bersama keluarga kami di kampung…?

Benar… Merentas negeri telah dibenarkan, tetapi kami memilih untuk bersabar. Kami tidak mahu tergesa-gesa walaupun jiwa telah sarat dengan kerinduan.

Kami tunggu keadaan lebih reda… Kami tidak mahu pulang membawa duka. Sebaliknya… Kamu telah hancurkannya… Kamu yang membawa virus jahat itu kembali…

Tidak…!!

Kamu tidak pernah peduli kerana dalam kamu ada sebahagian daripada sifat Firaun yang mementingkan diri sendiri…!!

Siapa kamu…?

Yaaa… Kamulah bangsa yang pentingkan diri sendiri si pemakai gelang KKM… Bukan semua, hanya sebahagian sahaja dan dalam sebahagian itu adalah KAMU…!!

– Kami (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *