Aku H, anak ketiga daripada enam orang adik-beradik. Kisah yang ingin aku kongsikan ini bukan sekadar luahan, tetapi juga satu perjalanan peribadi yang penuh dengan cabaran emosi, tekanan jiwa, dan sedikit harapan yang saya pegang erat.
Sejak kecil, rumah aku bukan tempat yang tenang. Pertengkaran antara ibu dan ayah menjadi latar bunyi yang biasa.
Walaupun kini keadaan mereka sudah reda, kenangan tentang pergaduhan itu masih menghantui aku. Malah, kata-kata orang sekeliling yang sering mengungkit kisah lama membuatkan luka itu sukar untuk sembuh.
Zaman persekolahan aku tidak mudah. Dari sekolah rendah hingga ke menengah, aku kerap dimarahi oleh ibu, walaupun aku tidak melakukan kesalahan.
Setiap kali keputusan peperiksaan diumumkan, aku dipersalahkan dan dibandingkan dengan abang serta kakak aku.
Aku tahu aku tidak sehebat mereka, tetapi aku sentiasa berusaha sedaya upaya untuk membuat ibu bangga. Malangnya, di mata ibu, usaha aku sentiasa tidak mencukupi.
Selepas tamat SPM, aku berpeluang menyambung pelajaran di sebuah kolej swasta dalam bidang yang aku sangat minati, bidang yang melibatkan pemakaian seragam dan disiplin.
Namun, selepas tamat pengajian, aku tidak dibenarkan oleh ibu untuk meneruskan pengajian di sana. Impian aku terhenti dan saya hilang arah selama dua tahun setengah, seolah-olah saya hidup tanpa tujuan yang jelas.
Tahun 2024 memberi aku sedikit sinar. Aku diterima menyambung pelajaran di peringkat sijil di sebuah kolej kerajaan.
Pada awalnya, aku sangat gembira dan bersemangat. Namun, menjelang akhir semester, aku mula merasai tekanan yang luar biasa.
Aku mula murung, hilang selera makan, tidak dapat tidur, dan emosi aku menjadi tidak stabil. Aku kemudian dirujuk kepada kaunselor kolej untuk mendapatkan bantuan.
Sebenarnya, sebelum ini aku pernah disahkan oleh pakar psikiatri menghidap anxiety disorder. Setelah beberapa sesi rawatan, keadaan aku bertambah baik. Aku tinggal sesi selama 1 tahun sebelum masuk belajar kerana aku dah rasa ok.
Namun, tekanan belajar dan konflik dalaman yang masih bersisa menyebabkan aku kembali tenggelam dalam emosi yang tidak stabil.
Walau begitu, aku tetap bersyukur kerana ditemukan dengan kaunselor pelatih yang banyak membantu saya iaitu Cik Amy. Nasihat dan sokongan beliau telah memberi aku kekuatan untuk bertahan dan teruskan pengajian.
Alhamdulillah, saya berjaya memperoleh Anugerah Dekan sepanjang berada di kolej ini satu kejayaan yang sangat bermakna bagi diri aku.
Namun, cabaran belum berakhir. Setelah pulang ke rumah, tekanan kembali. Ibu aku masih sering marah tanpa sebab yang jelas.
Sebagai contoh, saya bantu mereka grafik untuk perniagaannya. Setelah dia bersetuju dengan rekaan itu, aku siapkan untuk dicetak.
Tetapi apabila tiba hari akhir sebelum cetakan, dia ubah fikiran dan marah aku. Ini bukan kali pertama berlaku. Ia membuatkan saya rasa kecewa, tidak dihargai, dan seolah-olah tiada nilai sebagai anak.
Aku cuma mahu difahami dan dihargai. Aku tidak minta dibelai atau dipuji setiap masa. Aku hanya mahu sedikit ketenangan dan penghargaan atas usaha yang aku lakukan.
Aku tahu ramai di luar sana mungkin melalui perkara yang sama seperti aku, tekanan keluarga, beban emosi, dan konflik dalaman yang sukar dijelaskan. Jika anda membaca ini dan pernah rasa seperti saya, ketahuilah bahawa anda tidak keseorangan.
Akhir kata, walau perjalanan aku masih panjang, aku tetap akan terus melangkah. Dengan harapan, satu hari nanti, aku akan temui ketenangan yang saya cari.
– H (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit