Luahan Seorang Anak Yang Ingin Dikasihi

Saya, anak perempuan sulung dalam keluarga. Kehadiran saya dalam keluarga selama ini seolah-olah dianggap beban dan tidak berguna di mata ibu bapa mahupun adik-beradik.

Tetapi saya tetap bersabar dan hanya mampu berdoa supaya diselitkan sedikit rasa kasih dari keluarga sendiri. Tidak minta dihormati, hanya cukup dianggap wujud dan didengari.

Dahulu saya seorang yang banyak bercakap dan mudah bergaul. Seiring waktu, kehidupan yang ditempuh menjadi lebih keras dan saya lebih banyak berdiam diri, hanya bercakap bila perlu.

Mungkin kerana itu menjadi salah satu sebab yang membentuk jurang antara saya dan keluarga saya, sehinggakan adik-beradik saya sendiri bertingkah seperti hilang hormat dan mula bercakap dengan intonasi yang kurang menyenangkan.

Selain itu, saya juga terdengar perbualan antara adik-beradik saya dengan ibu saya sendiri, seolah-olah saya ini seorang yang tidak berguna dan tiada fungsi.

Walaupun dicaci dan dihina, saya tetap membantu mereka dalam diam dari segi kewangan dan sebagainya tanpa mengharapkan balasan.

Akan tetapi, saya masih juga dianggap sebagai anak yang tidak berguna. Entahlah, saya hanya mampu berdoa semoga terus diberikan kesabaran.

Saya sudah berkahwin tetapi belum dikurniakan rezeki untuk menimang cahaya mata. Saya dan suami bekerja syif dan menetap dengan keluarga saya kerana tempat kerja kami berdekatan dengan rumah ibu bapa saya.

Bukan tidak mahu menyewa atau membeli rumah sendiri, tetapi mengenangkan kesihatan ibu bapa yang semakin uzur memerlukan penjagaan. Saya tetap sabar walaupun dilayan begitu.

Adik kedua saya juga sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak angkat kerana belum dikurniakan anak kandung sendiri.

Terdapat kisah yang menyebabkan saya terkilan dengan ibu bapa saya sendiri kerana menantu perempuan diberi perhatian lebih daripada anak sendiri oleh ibu bapa saya.

Sewaktu saya mengalami keguguran, saya amat mengharapkan kunjungan dari ibu bapa saya di hospital dengan harapan menjadi penguat semangat untuk saya.

Mujur ibu bapa mertua sangat memahami keadaan saya dan berada di sisi.

Saya sangat bersyukur dikurniakan ibu bapa mertua yang baik bagi menggantikan kasih sayang dari ibu bapa saya sendiri.

Semoga ibu bapa mertua saya terus diberikan kesihatan yang berpanjangan dan selalu dimurahkan rezeki.

Doakan saya terus diberikan kesabaran dan dipermudahkan urusan.

– Anonymous (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *