Assalamualaikum dan hai, para pembaca. Pada hari ini, saya ambil kesempatan untuk meluahkan rasa yang sudah tersimpan lama di hati.
Untuk pengetahuan pembaca sekalian, saya lahir pada tahun 2006 dan merupakan anak sulung.
Sejak kecil, saya dibesarkan dalam keluarga yang serba kekurangan. Mendengar hinaan dan cacian sudah menjadi kebiasaan. Air mata pula, umpama teman.
Saya sering diejek oleh orang sekeliling. Tangisan saya merupakan hiburan buat mereka. Lebih menyakitkan, orang yang mengejek saya kebanyakkannya daripada keluarga saya sendiri.
Disebabkan hal itu, saya lebih suka bersendirian. Orang melihat saya sebagai gadis yang pendiam dan lembab. Atau mungkin mereka benar?
Oh, mungkin sebab itu, orang selalu mempergunakan saya dan memperjualbelikan nama saya demi keuntungan mereka.
Setiap kali balik ke kampung, pasti saya akan menangis kerana mendengar ejekan yang dilontarkan terhadap saya. Setiap kali ke sekolah, dalam seminggu pasti akan ada satu hari di mana saya akan menangis.
Selain daripada rakan sekelas, guru juga mengejek ejek saya. Diri ini tidak pernah faham, kenapa setiap tangisan seolah dianggap bahan jenaka?
Sejak sekolah rendah lagi, saya sering dibuli. Memang saya tidak dipukul, disepak terajang. Tapi emosi saya sering diserang.
Disebabkan mental saya sering ‘didera’, saya tidak terbiasa untuk meluahkannya kepada sesiapa.
Sewaktu saya naik ke tingkatan 1, berat badan saya naik secara mendadak. Perubahan saiz badan saya yang ketara menyebabkan telinga semakin panas mendengar cacian dan hinaan terhadap diri ini.
Tinggi saya tidak sampai 150cm. Tapi berat saya sudahpun mencecah bahkan melebihi 50kg. Orang-orang mengejek saya gemuk, pendek, jongang, hodoh,
Tiap hari, saya cuba bersabar. Alhamdulillah, syukur kepada Allah. Selepas masuk ke sekolah menengah, rakan-rakan di sekeliling saya semuanya baik-baik belaka.
Bahkan, rakan-rakan yang pernah membuli saya dahulu pun mulai berubah dan menjadi teman baik saya, walaupun masih ada beberapa orang yang tidak menyukai saya.
Ada yang pernah mengatakan kepada saya bahawa saya terlihat seperti nerd, mudah dibuli. Pada awalnya, saya tidak mengambil peduli.
Lama kelamaan, kata-kata itu seperti menghantui diri saya.
Pernah sekali, saya digelar sundal, gedik dan pelacur oleh mereka yang SALAH FAHAM.
Katanya, saya cari perhatian teman lelaki orang lain yang pada ketika itu, teman lelakinya merupakan rakan sekelas saya. Padahal saya bukan berduaan, tapi ditemani oleh dua orang sahabat saya.
Mungkin sudah ditakdirkan hal itu terjadi kepada saya. Alhamdulillah, selepas kejadian tersebut, saya mulai menjaga jarak bahkan tidak selesa untuk berbual dengan lelaki yang bukan mahram.
Walaupun mereka sudah meminta maaf dan saya maafkan, tapi kejadian itu masih segar dalam ingatan saya.
Di umur sekarang, mungkin sudah tiada yang membuli saya dengan lisan di sekolah. Tapi tidak di kampung.
Adik beradik kepada umi, ibu saudara umi, bapa saudara umi, mereka seolah jijik apabila melihat saya. Gemuk, pendek. Sedangkan dalam keluarga kami, semuanya cantik belaka.
Astaghfirullahal’azim..
Umi dan abah hanya diam apabila mendengar anak sulung mereka ini diejek ejek. Namun daripada riak wajah mereka, saya sedar mereka juga terasa hati.
Bagaimana saya yakin? Umi dan abah sering menyuruh saya menjadi kurus atau tinggi saat tiada keluarga yang lain agar saya tidak dihina lagi.
Disebabkan ahli keluarga saya di kampung (bukan ibubapa saya) yang sering menghina dan mengejek saya sejak kecil, keyakinan diri saya mulai turun secara perlahan-lahan.
Saya mulai mudah naik angin. Ya, saya sudah tidak menangis di hadapan orang kerana tahu pasti akan ditertawakan. Tapi terkadang pada waktu malam, rasa ingin berteriak pun ada.
Saya sering mengelak apabila bertemu dengan mereka. Bila pulang ke kampung, saya lah orang pertama yang terlebih dahulu menolak.
Bahkan, kenduri pun saya tidak pergi kerana tahu apa yang akan berlaku. Mereka bukannya saya tidak kenal pun. Ada saja yang mahu dikutuknya, meskipun dikhalayak ramai.
Setiap kali saya TERPAKSA bertemu dengan mereka, saya sedaya upaya cuba untuk berkurung di dalam bilik. Kalau terpaksa juga keluar dari bilik, jantung saya pasti tidak keruan.
Terkadang sehingga nafas saya tidak teratur. Adakalanya, saya marah tanpa memandang mereka. Terus masuk bilik atau tandas.
Kadang-kadang, sampai rosak awning tudung sebab tanpa sedar, saya cakar-cakar kepala dan muka saya sambil menangis. Menangis di sana tanpa suara dan keluar tanpa sesiapa tahu yang saya baru saja menangis.
Saya pernah membuat ujian saringan minda sihat di sekolah, bahkan pernah dipanggil untuk diberikan taklimat tentang kesihatan minda.
Saya juga pernah menjalankan ujian saringan minda sihat secara atas talian, dan keputusan yang saya dapatkan adalah tahap kemurungan, stres dan kebimbangan saya berada pada tahap yang teruk.
Namun, saya tidak pernah sekalipun berjumpa dengan doktor kerana tidak tahu ingin mengatakan apa ditambah lagi dengan sikap saya yang mudah tergagap atau tersasul saat berkomunikasi dengan orang yang saya tidak rapat.
Sampai sekarang, saya dikatakan ‘takut orang’ hanya kerana berusaha mengelak bertemu orang-orang.
Fikiran negatif seolah olah saya dihina juga mungkin berpunca daripada diri saya, yang trauma dengan orang sekeliling. Trauma dengan mulut-mulut puaka orang sekeliling.
Nasihat saya kepada orang ramai yang membaca cerita saya, tolong jangan tunggu orang tu bunuh diri baru nak berhenti sisihkan dia. Baru nak berhenti hina dia.
Berhenti jatuhkan keyakinan diri seseorang tu. Bukankah kita layak digelar pembunuh sekiranya orang yang kita hina tu akhirnya mengambil keputusan untuk membunuh dirinya?
Terima kasih kerana sudi membaca cerita saya yang cukup membosankan ini. Mohon maaf jika cerita saya sukar difahami. Buang yang keruh, ambil yang jernih :)
– Fiya (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc. com/submit