Luahan Seorang Ibu Tunggal Sebatang Kara

Assalamualaikum. Terima kasih admin jika luahanku disiarkan. Aku Mawarsepi. Berusia mencecah pertengahan 30an. Mempunyai seorang anak berusia 6 tahun. Aku menjadi ibu tunggal sejak 6 tahun lepas. Ketika di dalam pantang kerana suami menikah lain.

Terbaca confession dari Nami, 2019 bertajuk Luahan Seorang Gadis Sebatang Kara, (https://iiumc.com/luahan-seorang-gadis-sebatang-kara/), begitulah hampir serupa kisahku. Kesunyian. Cuma perjalanan dan liku sahaja yang berbeza.

Aku sangat banyak menangisi kehidupan ini. Turun naiknya keimananku selari dengan ujian yang tiada pernah hentinya, membuatkan aku terasa, ya Allah… Adakah aku tidak berhak bahagia? Kemanakah tercampaknya doa-doaku yang telah bertahun ku bentangkan pada-Mu wahai As-Samii’?

Adakah aku terlalu hina untuk Kau makbulkan doaku wahai SangMujib? Apakah solatku, tahajjud, taubatku, zikirku dan rintihan hanya umpama angin lalu?

Aku membesar dalam keluarga yang “broken family”. Ayah (arwah) tidak pernah memberikan nafkah zahir dan batin (kasih sayang). Dari kecil ibu membesarkan anak-anak seolah-olah dia ibu tunggal tetapi sebenarnya dia masih ada suami. Suami yang tidak pula ingin dia berpisah.

Hingga di waktu sekokah, aku sering dihina diejek gara-gara ayah yang sering berkelakuan pelik. Aku membesar dengan sumpah seranah ibu terhadap ayah.

Keluargaku sangat toksik. Kebanyakan dari adik beradikku semuanya membawa diri merantau kerana tertekan dengan perbalahan ibu dan ayah. Ayah yang tidak bertanggungjawab dan ibu yang sangat pemarah dan suka menyakiti hati anak-anak dengan kata-katanya yang menyakitkan.

Ibu jenis yang suka bergaduh. Dengan jiran-jiran pon dia akan bergaduh. Hinggalah kini, aku dihidangkan pula dengan anak yang sumpah seranah ibu. Tak lain tak bukan, anak yang menyumpah dan menjerkah adalah anak yang paling dia puja.

Adik beradik aku ada 6 orang. 3 lelaki Dan 3 perempuan. Aku adalah anak ke-6. Dua orang kakakku mempunyai keluarga mereka sendiri. Manakala 2 orang abang telahpon meninggal kerana dadah. Dan kini tinggal seorang abang yang sangat ibu sayangi.

Boleh diibaratkan nyamuk seekor pon tidak boleh menyentuh abang (Remy). Ibu terlalu menyayangi Remy sehingga ibu pernah mengatakan bahawa nyawa dia hanya untuk Remy. Setiap Hari Remy akan mengambil dadah. Remy tidak bekerja. Semua duit akan Remy minta dari ibu.

Ibu mendapat duit bantuan zakat, diusia 70an ibu bekerja sebagai tukang sapu di kilang dengan gaji RM12 sehari untuk memberikan Remy duit. Dari aku mula kerja 10 tahun lalu hinggalah 2019, aku akan memberikan ibu RM400-500 sebulan.

Aku bekerja separa professional. Gaji aku tidaklah banyak. Dulu aku B40 sahaja. Hanya 2/3 tahun kebelakangan ini, gajiku menjadi M40 (melebihi RM4000). Yelah setiap tahun gaji akan naik sedikit.

Pasti ada yang tertanya kenapa sampai 2019 sahaja aku memberikan belanja. Ye, pada hujung tahun 2019, ketika aku dalam keadaan yang sangat tertekan dengan masalah kerja.

Ditambah pula aku ibu tunggal yang menguruskan segalanya sendirian, manakala mereka pula asyik meminta duit, aku mengamuk. Aku tidak lagi pulang ke rumah mereka. Tetapi aku tetap menghulurkan rm100/200 sebulan melalui kakakku untuk diberikan pada ibu.

Dan kini, sewaktu raya, mereka mengulangi semula sikap mereka iaitu meminta duit dariku untuk membeli dadah (walaupon pada ketika itu, baru mingu lalu aku menghulurkan duit belanja pada ibu).

Remy jenis yang sangat panas baran, jika kehendakinya tidak dituruti. Dari kecil hingga besar, entah sudah berapa ratus sepak terajang dia yang hinggap di badanku.

Aku baru tiba dirumah ibu malam tadi. Dengan hati yang berat dan ketakutan, aku balik ke rumah ibu untuk beraya. Aku takut nak balik. Apabila balik, aku pasti tertekan dengan sikap toksik ibu dan Remy.

Tetapi aku kesiankan anakku, dia ingin merasa berhari raya bersama keluarga (walaupon tiada ayah, sekurangnya dia ingin merasa kasihnya nenek).

Selain itu juga, aku terpaksa balik kerana jika aku terus duduk di rumah sewa tempatku bekerja, aku malu, orang kampong akan bercakap-cakap dan bertanya kenapa aku tidak pulang ke rumah ibubapa dihari raya?

Perjalananku dari tempatku sewa ke rumah ibu mengambil masa 3 jam (masih negeri yang sama). Rumah ibu ni sebenarnya ibu secara officialnya telah bagitahu pada kami adik beradik, bahawa dia berikan pada Remy.

Dan beberapa bulan lepas, Remy telah menjual tanah sebelah rumah kepada pemaju dengan harga RM50k.

Kalian boleh bayangkan tak… dengan duit jualan tanah, duit BPN, BSH, duit zakat, duit yang aku dan kakakku berikan seperti biasa, mereka masih lagi menelefonku meminta duit, pada minggu lepas. Pada waktu itu, hatiku sangat sedih. Sedih.

Namun, demi kehidupan yang perlu aku teruskan. Semalam, aku balik juga menemui ibu. Dan hari ini, di bulan Ramadhan. Kawan Remy datang di pagi hari dan mengajak dia untuk mengambil dadah, di dalam semak sebelah rumah.

Kemudian, dia naik ke rumah membentak-bentak ibuku meminta duit. Ibu cakap tiada duit, lalu Remy suruh ibu minta dengan aku. Ibu cakap taknak.

Sebab baru minggu lepas aku menangis di dalam telefon apabila ibu meminta duit untuk Remy. Tapi aku yakin dan faham sikap ibu, jika bukan harini, pasti esok ibu akan kalah dan akan meminta juga duit dariku untuk diberikan pada Remy.

Selepas beberapa ketika, aku terdengar Remy memanggil ibu “ba**” sambil mengatakan mulut ibu seperti ba** kerana menyakiti hati isterinya (yang baru dikahwini 3 bulan lepas).

Aku berasa terkedu. Diam-diam aku mengemaskan barangku kerana tidak mampu lagi aku duduk walau sesaat di rumah yang tiada barokah itu.

Kemudian, Remy terus keluar rumah. Sebaik sahaja Remy keluar. Ibu terus membebel pada isteri Remy (Rani). Ibu cakap Rani jahat sebab kaki mengadu. Aku tidak mampu bertahan lagi.

Sebenarnya Rani tidak jahat. Remy itu sendiri yang mereka cerita untuk menyakitkan hati ibu apabila hajatnya tidak dipenuhi. Lantas, aku terus aku membasuh ibu. Aku cakap ibu kenapa masih tidak insaf?

Remy menjadi begitu kerana sikap ibu yang terlalu memuja Remy. Dari dahulu, ibu akan bergaduh dengan mana-mana anak (paling kerap adalah aku) atau sesiapa sahaja yang berani berkata apa-apa tentang Remy.

Kenapa ibu ingin melempiaskan marah pada Rani sedangkan yang menyumpah ibu adalah Remy? Ye kawan-kawan… begitulah sikap ibu. Hati dan matanya buta hingga tidak pernah muhasabah diri.

Aku terus lari keluar rumah ingin menginap di hotel namun hotel tidak membenarkan kerana alasan covid-19. Maka jadilah aku pelarian seperti dahulu kala. Dijalanan tanpa hala tuju sambil menulis confession ini.

(Zaman sekolah dahulu, jika cuti aku akan bekerja dengan gaji RM10 sekalipon, jika naik bas atau jalan kaki berkilometer sekalipon kerana aku bukan dari keluarga kaya.

Justeru, Remy akan meminta wang dariku. Jika tidak diberi, Remy akan pukul apabila aku menjawab. Aku kerap lari rumah dan tiada hala tuju dahulunya kerana dipukul).

Selepas bercerai dengan orang yang paling aku kasihi 6 tahun lepas, iaitu lelaki yang telah susah senang denganku dari tingkatan 5 hinggalah kami sama-sama dapat kerja yang baik.

Iaitu lelaki yang paling baik memperlakukan aku sebagai seorang wanita untuk beberapa tahun sebelum dia menemui pula cinta lain hinggalah detik kekasihnya mengandung luar nikah ketika aku juga sedang sarat.

Suami mula curang hingga ke kamar, padahal di usia perkahwinan baru 2 tahun lebih. Bermula lagi sekali detik hitam hidupku hinggalah sekarang.

Ramadhan kali ini, aku bersungguh-sungguh menjaga puasaku, solatku, sunatku, zikirku sambil berdoa dengan harapan agar inilah Ramadhan terakhir aku sebagai ibu tunggal. Izinkanlah aku merasa nikmat sebuah keluarga sakinah mawaddah.

Sesuatu yang tidak pernah aku rasakan dari kecil hingga sekarang. Namun… dugaan yang berlaku melibatkan ibu ini benar-benar membuat aku terkaku. Doa siapakah lagi yang paling makbul, kalau bukan ibu?

Bagaimana pula jika ibu tidak pernah berhajat untuk melihat aku bahagia kerana di dalam dadanya hanya ada Remy. Raja segala Raja. Raja yang tidak pernah membasuh walau sebiji pinggan selepas makan.

Dalam keadaan-keadaan beginilah aku mula menjadi suuzon pada takdir. Mempersoalkan takdir. Aku mula menjadi lemah dan kelihatan jahat (hati) kerana berani mempersoalkan takdir.

Aku sering terasa kenapakah hanya aku yang diduga? Sedangkan bekas suami telah lama bahgia bersama dengan isterinya.

Bagaimana dengan perlakuan mereka padaku, bermesra (secara Haram) dikatil rumahku ketika aku bekerja, mengabaikan aku ketika aku sarat mengandung, penipuan dan pelbagai lagi cerita luka. Kenapa, hanya aku yang menderita?

Hingga saat ini. Aku tidak kisah jika Tuhan ingin mengambil nyawaku. Aku penat. Ambillah nyawaku wahai Tuhan.

Maaf jika tulisan aku berterabor. Aku cuba ringkaskan sedayanya kisah hidupku yang terlalu panjang telahku tempoh tanpaku redha. Jika kecaman yang aku terima dari pembaca, pon aku redha. Kerana hatiku telah tiada.

– Mawarsepi (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *