Assalamualaikum.
Baru-baru ini gempar satu Malaysia bahkan turut heboh di negara luar mengenai kes kebakaran di tahfiz yang mengorbankan puluhan nyawa. Pada awalnya, tanpa usul periksa, tanpa apa-apa kenyataan dari pihak berwajib, kita terus menyalahkan pihak pengurusan tahfiz, mengatakan bangunan mereka tidak mematuhi spesifikasi, mempersoalkan kenapa membina geriji besi yang tak boleh dibuka, kenapa tiada tangga/pintu kecemasan, kenapa tiada alat pemadam api dan bermacam lagi. Tak kurang juga yang mengecam dan memaki hamun si Pengetua.
Kemudian, hasil siasatan membongkarkan punca kebakaran. Rupanya ia adalah perbuatan khianat bermotifkan dendam. Apa yang lebih mengejutkan, pelakunya terdiri daripada mereka yg boleh dikatakan baru nak mengenal dunia. Sungguh tak mampu nak memikirkan bagaimana mereka yang semuda itu terfikir (malah sudahpun melakukan) perkara sekejam itu. Dan selepas heboh tentang punca sebenar kebakaran, kecaman masyarakat beralih arah. Sudah tentu mereka mengecam, menyumpah seranah dan memaki hamun pesalah-pesalah. Ibu-bapa mereka turut dikecam, dihina, dikatakan tidak pandai jaga anak dan malah ada yang mengatakan ‘jangan buat anak kalau dah tahu tak mampu nak didik’.
Dalang-dalang kebakaran itu sudah terang lagi bersuluh bersalah dalam hal ini. Mungkin juga ibu-bapa mereka turut bersalah. Kenapa saya kata mungkin? Kerana kita tidak tahu apa benar atau tidak ibu-bapa mereka tidak mendidik mereka dengan baik.
Siapa lagi yang bersalah atau harus dipersalahkan? Kita. Ya, kita. Masyarakat. Saudara mara, jiran tetangga, kawan, rakyat Malaysia tidak kira dari pihak atasan sehinggalah rakyat biasa. Sedar atau tidak, suka atau tidak, kita turut bersalah. Kita mengecam ibu-bapa mereka tanpa mengetahui hal sebenar, tanpa mengetahui masalah mereka. Kita mengecam pesalah-pesalah itu tanpa mengetahui apa yang mereka lalui dalam hidup sehingga mereka terjebak ke arah itu. Kita mengecam, tanpa cuba untuk menghulurkan tangan.
Saya pasti, ramai yang tidak setuju dengan pendapat saya. Tidak mengapa. Kita sebagai manusia memang sukar untuk mengakui hakikat sebenar. Ego itu lumrah kita. Merasakan diri kita cukup baik juga sudah menjadi lumrah. Menyalahkan, menuding jari, mengata, dan menghukum adalah perkara yang mudah bagi kita. Wahai pembaca sekalian, mari kita tanya diri sendiri, apabila orang di sekeliling kita bermasalah, adakah kita menghulurkan tangan membantu? Ataupun kalau tidak membantu pun, adakah kita tunjukkan yang kita prihatin, mahu mengambil tahu? Adakah kita menunjukkan kasih sayang dan simpati? Atau kita hanya buat tidak tahu, sedapkan hati dengan alasan tidak mahu jaga tepi kain orang? Dan kemudian bila sesuatu yang buruk berlaku, kita hanya mengecam, mengecam dan mengecam tanpa tahu perkara sebenar.
Sudahlah. Cukuplah. Siapa kita untuk mengecam, siapa kita untuk menghina. Jangan sampai apa yang kita hinakan itu berlaku kepada diri kita sendiri atau orang yang kita sayang. Waktu itu, baru tahu tinggi atau rendahnya langit. Waktu itu, kita akan teringat semula akan segala kata hinaan kita terhadap orang lain, dan pasti kita akan termalu dengan sendiri nya.
Di dunia ini mereka akan dihukum dengan undang-undang dunia. Mereka juga akan berhadapan dengan hukuman paling berat untuk dihadapi, iaitu dihantui penyesalan dan rasa bersalah seumur hidup. Kita pasti pernah merasai penyesalan, tidak tenang bukan? Apatah lagi bila ianya melibatkan ramai nyawa. Saya pasti, mereka tidak akan dapat melupakannya. Biarlah mereka menanggung itu semua, usah kita tambahkan lagi. Diakhirat kelak, akan di adili seadilnya. Usahlah kita menghukum, kerana kita juga pernah berbuat silap dan entah apa lagi kesilapan yang akan dilakukan di masa akan datang. Kita manusia biasa. Jagalah tutur kata, kerana kadang kala tutur kata juga boleh menjadi kifarah.
– Nurash
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit