Izinkan saya memulakan kisah ini dengan sebuah pengenalan yang ringkas. Kami berasal dari sebuah keluarga sederhana, terdiri daripada tiga orang anak perempuan.
Saya adalah anak kedua di antara kami, sementara kakak sulung saya sudah pun membina hidupnya bersama suami, hidup bahagia bersama keluarga kecilnya. Saya, seorang remaja yang masih berusaha mengenal dunia, dan adik bongsu yang sentiasa ceria dengan kehadirannya, selalu memeriahkan suasana.
Cerita yang bakal saya kongsi mungkin kelihatan biasa, penuh dengan perjalanan yang tidak sempurna. Namun, di balik baris kata-kata yang terbentuk, tersembunyi perasaan dan pemikiran seorang hati kecil yang telah melalui pengalaman hidup penuh dengan suka, duka, dan kasih sayang yang tulus.
Nama saya Kenanga (bukan nama sebenar), dan kisah ini adalah tentang ibu saya, Mawar (bukan nama sebenar), seorang wanita yang luar biasa dengan ketabahan yang tiada terucap kata-kata.
Ibu saya, seorang yang sentiasa mengalirkan senyuman meski hatinya dipenuhi beban. Ibu yang saya kenal, seorang wanita yang tabah, dan mungkin lebih kuat daripada yang saya bisa bayangkan.
Sungguh, ibu adalah lambang kesabaran. Di balik senyumnya yang menawan, tersembunyi sebuah penderitaan yang tidak kelihatan oleh sesiapa. Beliau menghidap penyakit leprosy yang telah menggerogoti tubuhnya selama 14 tahun.
Pada awalnya, tiada tanda yang jelas, tiada luka yang nampak, namun secara perlahan-lahan, penyakit ini meresap dalam dirinya, melanda tubuhnya dengan kekuatan yang halus namun memusnahkan.
Ibu bekerja sebagai seorang cleaner di pejabat, dari jam sembilan pagi hingga lima setengah petang. Setiap hari, tanpa keluhan, dia menjalani rutinnya.
Dalam hujan yang lebat, saya sering terperangkap dalam kerisauan, memerhatikan ibu yang hanya membawa sebuah payung kecil, berjalan kaki ke stesen bas untuk pulang ke rumah.
Ayah, yang tidak memiliki kenderaan untuk menjemput, membuatkan saya selalu menunggu ibu di depan pagar rumah, hanya berharap ibu pulang dengan selamat.
Namun, di kedua kakinya, luka-luka dalam bertindak sebagai saksi bisu perjuangannya. Setiap pagi, ibu akan membalut luka-luka itu dengan wound bandage, sebelum memulakan perjalanan ke tempat kerja.
Ada kalanya luka itu berbau dan mengeluarkan nanah, sering ibu mencuci luka itu dengan air infus pencuci luka. ini terkadang menggores hati ini setiap kali mengenangkannya. Tetapi ibu tidak pernah mengeluh atau menunjukkan beban itu kepada kami.
Dalam keadaan penat yang jelas terukir pada wajahnya, ibu terus melaksanakan segalanya. Seusai pulang dari kerja, dia tidak berehat seketika, tetapi terus menuju dapur untuk menyediakan hidangan.
Pada waktu itu, saya belum mampu memberi banyak bantuan. Setiap suap makanan yang disajikan mengandungi kasih sayang yang tidak tergantikan.
Pada penghujung tahun 2021, keadaan ibu semakin memburuk. Kakinya membengkak teruk, luka-luka yang sebelumnya tersembunyi kini semakin nyata.
Namun, Alhamdulillah, setelah dua minggu dirawat di hospital, luka-luka itu mulai sembuh, dan banyak sokongan yang datang dari teman-teman sepejabat, majikan, malah dari mereka yang pernah mengenali ibu. Luka-luka tersebut kini tinggal bekas, tetapi semangat dan jiwanya tetap teguh, tidak pernah pudar.
Kami mencari penyembuhan melalui pelbagai cara, salah satunya dengan menjalani rawatan ruqyah, namun usaha itu tidak segera membuahkan hasil. Kami terus berdoa, berharap akan ada pemulihan yang nyata.
Tidak lama kemudian, ujian datang silih berganti. Ibu diserang demam denggi yang teruk, sakit gastrik yang parah, serta kambuhan leprosy yang semakin serius.
Saya masih ingat dengan jelas, saat itu kami menyangkakan ibu hanya mengalami demam biasa. Namun ternyata, keadaan bertambah buruk dan ibu perlu dirawat di hospital, ditidurkan selama 15 hari. Hampir sebulan setengah beliau terbaring lemah, dilayani oleh jururawat dan dipakaikan lampin.
Dan sungguh, waktu itu bertepatan dengan bulan Ramadan. Ya Allah, betapa beratnya ujian hidup tanpa ibu. Ibu yang dahulu ceria dan kuat, kini hanya terbaring lemah, berbicara pun sudah sukar, dan makan pun tidak lagi mampu. Makanan hanya dapat diberikan melalui selang nasogastrik yang dimasukkan ke hidung.
Namun, Alhamdulillah, kini ibu semakin pulih. Beliau dapat makan seperti biasa dan kembali menjalani kehidupannya.
Saya tidak pernah tahu bagaimana rasanya hidup tanpa ibu, dan saya sangat menyedari betapa berharganya seorang ibu. Ibu adalah pelita dalam hidup ini, yang memberi cahaya yang menerangi setiap langkah.
Ujian dan cabaran datang silih berganti, namun saya percaya setiap kesabaran pasti ada ganjarannya. Semoga ibu saya sentiasa diberikan kesihatan yang baik, diberi kekuatan, dan dipulihkan sepenuhnya, agar beliau dapat kembali menjalani kehidupan seperti sediakala. tolong doakan ibu saya ya..
Dari si kecil,
– Kenanga (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit