Luna: Yatim Sebelum Waktu

Aku sebenarnya tak tahu nak mula dari mana. Yang aku tahu, beban aku bawak ni dah 20 tahun. Pada peringkat mula, aku banyak menangis, rasa sedih, teraniaya, terabai dan semua perasaan negatif yang akhirnya menyebabkan aku sekarang rasa lali. Rasa kosong. Rasa kebas. Dalam bahasa Inggeris, NUMB. Maafkan aku kalau confession ni panjang. Tapi aku terbeban. Izinkan aku meluah.

Parents aku bercerai masa aku lapan tahun. Waktu tu, aku okey. Tak kisah. Bagi aku, tu satu fasa aku kena lalui. Tapi sebenarnya, itulah permulaan penderitaan aku sampai sekarang. Pada awal penceraian, bapak aku ni kira bertanggungjawab la, cuma dia pisahkan aku daripada mak aku. Dan brainwash aku untuk benci mak aku. Jadi aku memang benci mak aku selama 8 tahun. Sepanjang 8 tahun aku terpisah dengan mak aku, ayah aku yang besarkan aku. Semua aku nak dia bagi. Tapi taklah selalu bahagia, Pada usia 8 tahun, aku kena hadap perangai dia. Adakala kalau dia marah aku, dia akan maki keturunan aku. (Aku ni kacukan. Jadi bagi dia, bangsa mak aku hina). Aku pernah cuba bunuh diri waktu tu, tapi aku teringat ustazah pernah cakap orang bunuh diri akan dihukum dengan cara sama dia ambil nyawa dia. Aku terus cancel. Tapi aku cakap dengan ayah aku, aku pernah cuba bunuh diri sebab tak tahan cara dia menghina keturunan aku. Sejak tu dia tak pernah hina dah.

Tapi selepas cerai juga permulaan hidup dia merosot. Lepas beberapa tahun, ayah aku dibuang kerja. Dia tak kerja selama dua tahun. Gaya hidup aku pun berubah mendadak, dan aku kena sesuaikan diri. Ada masa, aku tak dapat baju raya. Tapi aku cuba faham. Umur 16 tahun, itu kali pertama dia satukan aku dengan mak aku semula. Itu pun secara paksa. Ayah aku cakap, sampai bila nak macam ni. Mula-mula aku memberontak. Aku tak boleh terima mak aku. Tapi alhamdulillah lama-lama aku boleh terima. Fasa awal, ayah aku cakap kalau nak apa-apa mintak mak. Kiranya dia suruh aku baik semula dengan mak aku sebab dia tak mampu nak bela aku dah. Ini juga fasa dia mula mencuci tangan, tapi dia nak simpan aku di rumah dia. Dan dia jugak suruh aku berbaik sebab dalam dua tahun lagi aku akan masuk uni. Perkara ni sebenarnya berlarutan sampai sekarang. (Suruh aku mintak duit dengan mak kalau apa-apa hal)

Ayah aku ni bukan tiada kebaikan. Ada. Dia belikan kereta pertama second hand aku. Dia bayarkan kelas lesen memandu aku. Waktu aku belajar, setiap minggu dia turun kampus, bawak aku makan di foodcourt dan balik.

Tetapi dia ni kira tanggung aku bersama dengan mak sampai umur 21. Waktu ni, sekali lagi dia berhenti kerja dan tak nak kerja selama tiga tahun, dia hanya start kerja semula time aku umur 25 tahun. Dari umur 21-24 dia tanggung asrama kolej je. Tapi dia salahkan aku duit KWSP dia habis. Padahal, dia yang tak nak kerja 3+2= 5 Tahun. Makan minum semua mak aku tanggung, walaupun aku duduk dengan ayah aku. Hutang PTPTN semua mak aku tolong bayarkan. Bermula aku 24 tahun, aku ibarat duduk bersama orang asing. Maksud aku, kami duduk serumah tapi aku kena pandai-pandai hidup. Sebutir garam pun aku kena beli sendiri. Jangan harap nak hidup macam orang lain yang tumpang rumah ibu bapa.

Bermula umur 24, aku menjadi sasaran pinjaman duit tanpa miss, kecuali bulan dia dapat bonus. 11 bulan lagi dalam setahun, tak pernah tak miss nak pinjam duit. Bila dia dapat bonus, jangan harap aku nak merasa. Kalau aku perli, barulah dia beli piza sekotak. Tapi kalau tak, dia diam-diam enjoy duit dia sendiri. Banyak jugak bonus dia, pernah sekali tu RM 3.8k.

Aku dan dia sama-sama kerja. Kiranya dia langsung tak perlu tanggung aku. Kalau nak tahu, aku ni anak dia seorang je. Bayangkan, duit gaji RM 1,200 aku untuk tanggung makan minum aku sepenuhnya, tambang pergi kerja, segala tok nenek cukai dan bayarkan bil rumah serta wajib bagi dia pinjam duit.

Mana duit gaji dia pergi? Aku tak tahulah. Tapi gaji RM 1,500 dia tak pernah cukup walaupun dia tak de komitmen hutang atau perlu tanggung aku. Kalau aku tak bagi bapak aku pinjam, dia akan psycho aku. Dia akan marah-marah aku. Dia pernah tengking aku sebab tak nak bagi pinjam. Ada masa, dia paksa aku pinjam mak aku. Jumlah dia pinjam, ada masa boleh capai RM 500. Dia juga paksa aku cari kerja lebih baik. Konon demi masa depan aku. Tapi aku tahu sebenarnya dia nak aku banyak duit supaya dia boleh pinjam tanpa aku bising.

Dia pernah makan maggi seminggu, lepas itu cakap dengan aku, itu saja dia mampu. “Orang miskin makan macam ini sajalah. Tak hidup mewah.” Jadi aku kesian, aku bagi jugaklah. Tapi aku tengok, hari-hari dia beli wetfood kucing nak dekat RM 10. Kadang-kadang aku tengok dia beli kasut atau baju cantik untuk diri dia. Bila aku nasihat suruh jimat duit, dia tak pernah nak dengar. Aku dah bosan nasihatkan benda sama. Sebab aku ni bukannya berduit sangat. Gaji dia lagi banyak, tapi selalu tak cukup. Dari aku rasa sayang. Kepada biasa. Daripada hormat, kepada terpaksa hormat. Jujur aku cakap, conversation aku dengan ayah aku hanya tentang duit. Kalau dia bukak mulut duit.

Punyalah dia asyik associate muka aku dengan duit, sampaikan aku keluar hospital lepas 5 hari warded sebab pembedahan, perkara pertama dia cakap bila nampak aku balik adalah dia nak pinjam duit. Bukan tanya tentang pembedahan atau kesihatan aku. Aku sebenarnya sebak dan sedih gila waktu tu. Sebab sehari pun dia tak melawat aku sebab dia cakap dia sibuk uruskan kucing dia. Cuma dalam lima hari aku warded, dia pernah telefon mak aku sekali tanya aku dah dibedah atau belum. Sekali je, itu pun telefon. Jadi dari situ aku faham yang aku ni tak lebih daripada ATM dia.

Kadang-kadang aku fobia bila dia bukak mulut. Sebab aku tahu biasanya topik dia mesti pasal duit. Aku tak ingat bila kali terakhir aku makan dengan dia sebagai bapak. Aku tak ingat bila aku ada daily conversation dengan dia sebagai family. Dulu lepas dia cerai pun aku selalu ditinggalkan di rumah bersendirian. Jadi aku dah biasa tanpa kehadiran dia ataupun mak aku dalam hidup. Dia cuma besarkan aku dengan cukup makan, berikan sedikit permulaan dalam hidup dewasa. Kadang-kadang tolong uruskan hal yang aku perlukan bantuan. Itu sahaja.

Maaflah confession aku membosankan. Tapi aku betul-betul perlu vent out.

Tapi sebab perangai dia. Aku selalu tertekan. Aku selalu bergaduh teruk-teruk dan menangis. Adakalanya depression aku mengganggu prestasi kerja aku. Aku boleh menangis seminggu dan biarkan rasa sakit menguasai aku. Tapi biasanya aku luahkan kat mak aku. Pada peringkat awal, dulu-dulu. Mak aku layanlah. Sekarang, mak aku sendiri cakap dengan aku dia tak nak dengar. Nanti dia stress. Dia cakap dia tak boleh stress sebab dia dah jalani pembedahan jantung.

Aku punya stress diorang ada fikir? Selama 20 tahun sejak penceraian, semua beban di bahu aku. Mak aku fikir dengan bagi duit bayarkan semua dan banyak belanjakan duit ke atas aku, boleh tebus kesakitan aku. Tak weh. Duit memang membantu aku memulakan hidup tanpa hutang dan banyak hal berkaitan hidup dan pelajaran. Tapi duit tak boleh gantikan kasih sayang. Duit tak boleh tampal luka berdarah. Ini bukan kes wanita bekerjaya atau tidak. Sebenarnya sebab aku tengok mak aku bekerja, aku pun berazam nak kerja, demi masa depan yang kita tak tahu cerah atau mendung. Dulu mak aku kerja, aku tak pernah rasa terabai sebab aku faham erti hidup.

Tapi aku rasa terabai kerana bila parents aku bercerai, ia berakhir dengan buruk. Aku ini bidak digunakan untuk menyakiti bekas isteri. Yang dipisahkan 8 tahun sampai jurang besar yang wujud di antara mak aku tak mungkin dapat dicantum. Yes, aku melawat, bercakap dan keluar dengan mak aku. Tapi aku ada impian, fikiran dan cara aku buat sesuatu. Semua itu tak kena di mata mak aku. Ibarat aku ini dari Bumi, mak aku dari Pluto. Sebab itu juga aku selalu ada konflik dengan mak aku. Banyak kali juga mak aku jenis cakap lepas sampai menyakitkan perasaan aku.

Mak aku selalu kagumi orang lain. Tapi satu perkara pun tak ada yang mak aku kagumi tentang aku. Mak aku tak puji aku. Kalau ikutkan, aku boleh sangat jadi liar atau bohsia. Sebab aku datang dari keluarga ketandusan kasih sayang. Tapi, aku tak pernah pergi kelab, minum, ambil dadah, tidur dengan lelaki atau jadi tak tentu hala. Semua itu mak aku tak nampak. Cara aku menjaga diri dan maruah. Pada mata mak aku, aku tak cukup baik sebab aku berani melawan. Bukan macam abang tiri aku. Diam dan dengar saja. Aku cuma outspoken tentang sesuatu aku tak setuju atau kalau aku bertekad nak buat sesuatu, aku akan usahakan walaupun orang tak suka.

Baru-baru ini aku ada konflik lagi dengan ayah aku. Bila aku mengadu, mak aku terus cakap dia tak larat nak dengar. Jadi aku tanya. Siapa lagi aku ada dalam hidup ni? Ada bapak macam tak ada bapak. Mak aku jawab “You ramai kawan.” Aku tergamam dan cakap tak apalah. Maaf sebab saya telefon. Saya buat silap. Dan sampai sekarang aku diam, walaupun waktu raya aku wish mak aku. Tapi dia left it at seen.

Aku ada family. Tapi sebenarnya aku dah mula yatim dari umur 8 tahun. Kalau tanya apa kenangan gembira dengan keluarga. Aku tak tahu nak jawab apa. Kalau orang tanya aku buka puasa dengan siapa? Aku tak suka. Sebab aku selalu buka puasa dalam bilik bersendirian since umur 18. Rumah aku tak sesuai didatangi manusia sebab ayah aku is a hoarder. Kalau aku nak buang barang dia, boleh jadi perang lagi. Dan akan buat aku murung. Dari segi kewangan, aku tak terbayar jasa ibu bapa aku. Tapi aku rasa diperlukan atau dimahukan.

Dari kasih sayang, diorang gagalkan dan yatimkan aku sebelum waktu. Jadi jangan tanya jika satu saat nanti aku tak boleh titiskan air mata lagi. Sebab ada atau tiada, sama saja. Satu hari nanti aku ada keluarga sendiri, aku nak jadi career mom. Tapi aku juga akan jadi emotional supportive mom. I will also make sure my husband makes my children feel loved. Even kalau aku ditakdirkan jadi ibu tunggal, aku akan tetap pastikan I have my career, but my children can always count on me to love them.

[Maafkan bahasa rojak aku, tetapi waktu aku tulis ni pun aku masih sedih sebab terkesan dengan kata-kata mak aku, dan bapak aku seperti biasa mintak pinjam]

– Luna

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *