Assalamualaikum semua. Nama aku Hana. Sebelum aku bercerita lebih lanjut, aku ceritakan dulu mengenai latar belakangku.
Aku anak yatim piatu dibesarkan di rumah anak yatim di Selatan tahah air. Aku tidak pernah mengenal siapa ibu bapaku kerana aku sudah berada di rumah anak yatim sejak kecil lagi.
Hidupku di situ sentiasa mengajarku untuk berdikari sendiri, menguruskan diri sendiri sejak kecil dan aku diajar kerja-kerja rumah seperti mengemas, memasak dan sebagainya.
Pendek kata walaupun pada ketika itu umurku yang seharusnya berada di sekolah rendah tetapi aku mampu melakukan kerja-kerja rumah dengan baik.
Semuanya bermula ketika usiaku menginjak lapan tahun, datang seorang lelaki ke rumah anak yatim kami, yang aku gelarkannya sebagai Ayah Man. Ayah Man datang dengan niat untuk mengambil aku sebagai anak angkat.
Aku yang sudah biasa tinggal bersama teman-temanku yang sudah dianggap seperti adik beradik sangatlah sedih jika aku harus meninggalkan mereka. Ayah Man memujuk aku kerana katanya dia mempunyai anak-anak perempuan lain di rumah yang boleh dijadikan teman.
Sebagai seorang anak yang tidak pernah merasakan kasih sayang seorang ayah, hatiku diketuk untuk mencuba kehidupan baru. Setelah seminggu aku telah membuat keputusan untuk tinggal bersama Ayah Man.
Setelah selesai segala urusan pemindahanku, walaupun berasa sedih meninggalkan sahabatku di sana tetapi hatiku sedikit teruja untuk tinggal di rumah baru bersama keluarga baru.
Ketika sampai di rumah, aku diperkenalkan dengan Mama, tiga kakak angkatku yang ku gelarkan sebagai Kak Long, Kak Ngah dan Kak Cik. Walapun kedatanganku seperti tidak disambut, tetapi aku tetap gembira untuk memulakan kehidupan baru di situ.
Lupa untuk ceritakan, Ayah Man bekerja sebagai guru sukan di sekolah rendah. Ayah Man sangat baik kepadaku, dia sentiasa mengingatkan aku bahawa dia sayang kepadaku sama seperti anak yang lain.
Mama ialah suri rumah dan tiga kakakku yang lain masih berada di sekolah menengah pada ketika itu.
Walaupun aku dilayan baik oleh Ayah Man dan Mama tetapi tidak oleh kakak-kakakku. Mereka sentiasa menggangapku seperti orang luar yang menumpang dirumah mereka.
Ya, aku tahu dan aku sedar diri siapa diriku kerana itulah aku tidak pernah melawan mereka, segala arahan dan suruhan mereka aku kerjakan.
Tugas-tugas yang sebelum ini mereka kerjakan sudah menjadi tugasku. Kerja-kerja membersih tandas, mengemas rumah dan yang lain adalah tugasku setiap hari selepas pulang dari sekolah.
Mama yang melihat pun hanya diam, hanya sesekali sahaja dia menyuruhku untuk berehat, selebihnya semuaku selesaikan sehingga ke petang.
Ayah Man akan pulang jam 6:30 petang setiap hari. Dan aku harus menyelesaikan tugas sebelum Ayah Man pulang, itulah arahan kakak-kakakku.
Aku tidak dibenarkan bercerita apa-apa kepada Ayah Man jika tidak aku akan dikerjakan oleh mereka esoknya kata mereka. Aku tiada masalah melakukan semua tugas itu kerana sejak dari rumah anak yatim lagi aku sudah diajar melakukan semua itu.
Tahun berganti tahun, aku sudah terbiasa tinggal dirumah itu dengan segala tugas yang diberikan.
Dipendekkan cerita, pada usiaku 17 tahun, Ayah Man pergi menghadap Sang Pencipta kerana serangan jantung. Pada ketika itu, luluh hatiku pecah sepecahnya kerana insan yang kusayangi pergi meninggalkanku.
Hampir sepuluh tahun aku dibawah jagaannya, walaupun aku merupakan anak angkat, tetapi aku dilayan seperti anak sendiri. Kasih sayangnya padaku tidak berbelah bagi. Apa sahaja yang dibelikan untuk kakakku, pasti dibelikan juga untukku.
Kita tutup cerita mengenai keluarga angkatku kerana pada usiaku menginjak lapan belas tahun aku diusir dari rumah oleh mereka.
Mama yang dulunya baik kepadaku juga tidak membantah kata kakakku. Tidak tahu apa yang sudah dihasut oleh mereka, Mama hanya mendiamkan diri ketika aku diusir.
Aku difitnah mencuri gelang emas kakak, ketika mereka menggeledah kamarku, mereka terjumpa gelang emas yang disorokkan dibawah lipatan baju-bajuku.
Aku berani bersumpah dengan nama Allah pada ketika itu tetapi mereka tetap menuduhku pencuri dan tidak sedar diuntung tinggal dirumah itu. Aku pergi membawa diri dalam keadaan tidak tahu mahu kemana.
Aku pergi ke stesen bas untuk berteduh. Air mataku tidak berhenti mengalir memikirkan kemana aku harus pergi. Dalam keadaan suasana stesen bas yang tidak berapa sibuk aku ditegur oleh seorang wanita bernama Cik Salmah yang bertanyakan keadaanku.
Aku menceritakan segala yang terjadi kepadanya. Cik Salmah mengajakkku pergi ke Kuala Lumpur bersamanya kerana katanya ada jawatan kosong ditempat kerjanya. Dengan berbekalkan wang saku yang tidak sampai RM100 aku pergi mengikutnya.
Di sana, aku dibawa ke sebuah kantin kilang, bekerjalah aku sebagai pembantu kebersihan. Bulan berganti bulan, aku berkenalan dengan dengan seorang lelaki di kilang itu.
Dia bekerja sebagai officer disitu, aku tidak berapa tahu mengenai pekerjaannya yang penting dia selalu dihantar keluar negara untuk berkhusus. Hubungan kami baik, aku menggangapnya sebagai teman kerana dia sentiasa ada di waktu aku susah. Dia juga tahu semua kisahku.
Suatu hari, dia melamarku menjadi isterinya. Aku sangat gembira kerana bagiku dia sangat baik, dia tidak pernah cuba untuk mengambil kesempatan keatas diriku.
Dipendekkan cerita, aku pun selamat bernikah dengan si dia yang ku gelarkannya Abang. Abang membawaku tinggalkan di rumahnya.
Rumahnya boleh tahan besar, kerana abang rupanya berpangkat tinggi di tempat kerja. Setelah bernikah aku pun berhenti kerja dan menjadi surirumah sepenuhnya. Hidupku setelah bernikah sangatlah sempurna, Abang menyayangiku sepenuh hati.
Abang juga akan membawaku bersama jika dia dihantar untuk berkhusus ke luar negara. Aku sentiasa memuatnaik semua gambar- gambarku di luar negara bersama suamiku di sosial media kerana bagiku kenangan itu perlu diabadikan.
Segala gambar-gambar seperti bilik hotel, makanan, restoran di luar negara ku muat naik di situ. Abang juga selalu membawaku membeli-belah di sana.
Tidak kusangka rupa-rupanya, kakak- kakakku memerhatikan segala kegiatanku di sosial media. Aku tidak pernah berniat untuk menunjuk-nunjuk. Bagiku itu adalah rezekiku setelah diberikan dugaan sebelum aku bertemu suamiku.
Mereka juga kerap kali menghantar pesanan memaki hamun mengatakan aku tidak sedar diri, katanya aku hanyalah anak yatim yang lupakan keluarga yang menyara hidupku.
Aku tidak pernah melupakan mereka, tetapi dengan apa yang mereka lakukan cukuplah untuk aku pergi dari keluarga itu.
Aku memang sengaja tidak memblok mereka dari melihat semua kegiatanku. Bagiku itu adalah cara untuk aku melawan kata-kata mereka. Aku tahu mereka dengki dan sakit hati dengan apa yang aku ada sekarang.
Beberapa bulan lepas, suamiku membeli lagi sebuah rumah baru untuk kami tinggal bersama. Jauh lebih besar dari rumah yang lama, dan tidak ketinggalan aku memuat naik gambar-gambar rumah baruku.
Seperti yang kusangka, pasti kakak-kakakku akan kepanasan. Mulalah mereka menghantar lagi kata-kata makian mengatakan aku sanggup menjual diri demi mendapat lelaki kaya.
Segala makian kuceritakan kepada suamiku. Kata suamiku biarkanlah mereka tak perlu dilayan, maka aku hanya diamkan sahaja.
Pada suatu hari ketika aku sedang mandi, rupa-rupanya kakakku menghantar pesanan ringkas. Dan ketika itu suamiku sedang memegang telefon bimbitku.
Dalam pesanan itu berbunyi “Hoi anak yatim. Sanggup ye kau malukan arwah ayah dengan menjual diri. Jangan ingat kami dengki dengan kau. Sebaliknya kami malu punya adik angkat tak kenang budi seperti kau.
Kaya mana suami kau, jangan-jangan kerja bapa ayam menjual perempuan seperti kau tak ubah macam pelacur” .
Kata-kata itu cukup membuat darah suamiku naik, terus didailnya nombor itu. Aku yang pada ketika itu siap mandi terus mendengar, kata suamiku,
“Tolong jaga sikit mulut kau. Selama ni aku diam kau kata isteri aku macam-macam. Jangan sampai aku jumpa muka kau. Berapa banyak sangat jasa kau sampai caci maki isteri aku macam tu? Sekali lagi kau kacau keluarga kami, aku akan pastikan polis datang kutip kau”
Terus ditutupnya telefon dengan wajah yang merah.
Aku pun terdiam sebab tidak pernah aku lihat suamiku sebegitu. Sejak dari tu, aku tidak lagi diganggu oleh mereka. Di sosial media juga, mereka sudah memblok aku sebagai pengikutnya. Aku akui hidup aku semakin aman.
Cuma kadang-kadang aku terfikir, adakah benar aku anak yang tidak mengenang budi setelah sepuluh tahun dibesarkan oleh mereka.
Itu sahaja kisahku, maaf kerana terlalu panjang. Terima kasih admin menyiarkan artikelku.
– Hana (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit