Dengan nama Allah aku mulakan. Assalamualaikum W.B.T semua pembaca. Nama aku Nemanja (nama fav player aku dulu). Lagi 3 tahun usia aku menginjak 30 tahun.
Aku sudah berkahwin dengan seorang isteri yang solehah dan dikurniakan seorang anak yang comel. Aku seorang lepasan agama dan sekarang bekerja dalam bidang agama.
Aku nak coretkan sebuah confession yang aku tak pernah luahkan kepada sesiapa pun hatta kepada isteri aku sekalipun. Sebabnya ia berkait dengan aib besar aku. Aku menulis di sini selepas aku tewas entah ke berapa kali dalam ujian yang menimpa aku.
Aku memilih ruang ini untuk meluahkan bukan untuk membuka aib aku, tetapi untuk aku melepaskan segala bebanan dosa yang aku tanggung entah sampai bila. Lebih-lebi lagi di ruangan ini aku boleh menyembunyikan identiti aku. Biar hati aku tenang.
Cerita dia begini, baru-baru ini aku ada terbaca sebuah confession “Rahsia suami dan telefonnya”, yang berkaitan suami yang ketagihan gajet dan sering tidur lambat. Rupa-rupanya suaminya itu kaki p0rn.
Bila aku terbaca kisah itu seolah-olah aku terbaca kisah aku sendiri. Bezanya cuma Allah simpan aib aku kemas-kemas sehingga saat ini.
Dalam confession tersebut menggambarkan betapa hancur luluh hati si isteri bila dapat tahu suaminya yang baik dan kaki surau tetapi ketagihan najis p*rnografi.
Mungkin isteri aku pun akan kecewa dan hancur hati sama seperti puan tersebut bila dapat tahu suaminya pada zahirnya malaikat namun sebenarnya batinnya adalah syaitan.
Untuk pengetahuan semua, aku terjebak dengan najis p*rno ini sejak aku tingkatan satu lagi. Pendek kata separuh daripada umur aku terjebak dengan najis ini. Entah macam mana aku boleh mula tapi yang pastinya aku tak boleh kawal nafsu aku ketika itu.
Dan lebih merisaukan aku, seingat aku, pada usia aku 6 tahun lagi aku selalu terbayangkan imaginasi-imaginasi kotor.
Entah dari mana aku belajar aku pun tak ingat. Nak salahkan persekitaran rasanya aku hidup dalam persekitaran yang sihat dan ummi abah aku sangat menitik beratkan soal agama sejak aku kecil.
Nak salahkan rakan sebaya pun tak boleh sebab aku berkawan dengan orang-orang yang baik. Aku cuma boleh salahkan diri sendiri sahaja lah.
Bukan aku tak pernah cuba berubah, tapi siapa yang terjatuh ke lembah maksiat ini pasti kaki dia terbelenggu dan dia akan jatuh setiap kali dia cuba panjat keluar dari gaung maksiat ini. Kalau aku nak ceritakan kisah aku untuk cuba bangkit berubah boleh jadi bersiri-siri tulisan ini.
Berapa banyak janji aku terhadap diri sendiri dan janji aku kepada Allah, namun setiap kali itu juga aku mungkiri janji aku. Setiap kali aku jatuh aku cuba bangun sehingga sekarang aku jatuh dan malas nak bangun dah. Sampai satu tahap tengok yang haram rasa tak berdosa pun.
Paling terbaru, aku berjaya tinggalkan najis p*rno ini selama 3 bulan semenjak aku dapat tahu isteri aku mengandungkan anak kedua kami. Namun aku tewas lagi buat kali ini berpunca daripada lockdown yang memaksa aku menghabiskan masa di rumah.
Puncanya aku suka tidur lambat sebab tengok TV dan scroll telefon. Isteri aku biasanya akan masuk tidur awal. Masa berseorangan itulah datang keinginan dan ketagihan aku itu. Sungguh bodoh!
Kenapa aku kata bodoh?!
Sebabnya aku sekarang ada yang halal kenapa tetap aku cari yang haram?!
Bagi aku orang yang dah berkahwin tapi masih layan p*rno ini sungguh bodoh. Ada realiti tapi masih pilih yang fantasi. Benda ini terjadi oleh sebab ketagihan yang selalu meresahkan jiwa aku kalau tak dapat melunaskannya.
Sehinggakan ketika sedang menghadap Allah pun aku kadang-kadang terfikir benda ini. Dulu aku selalu ingat dengan berkahwin mampu mengubati penyakit aku ini. Selalu aku berdoa kepada Allah. “Ya Allah, berilah aku berkahwin awal supaya aku dapat tinggalkan maksiat ini”.
Namun aku silap, ketagihan p*rno ini bukan simply kau boleh ubat dengan berkahwin. Bahkan dia bawak effect yang lagi buruk kepada perkahwinan seperti rasa macam tak puas bila bersama, tak dapat memuaskan pasangan dan sebagainya.
Dan sampai worse case boleh hilang selera dan cinta terhadap pasangan hingga bawa kepada penceraian. Nauzubillah.
Untuk pengetahuan semua, aku bagitahu sebelum ini yang aku ini lepasan bidang agama.
Ya, seawal usia muda aku di hantar untuk menghafal kalam suci dan Alhamdulillah aku berjaya khatam dan ingat semuanya sehingga ke hari ini oleh sebab aku konsisten mengulang dan membaca sekurang-kurangya 2 juzuk sehari.
Solat memang aku jaga 5 waktu tapi kekadang rasa berat nak solat awal waktu. Sungguh aku risau nikmat mengingat Al Quran ini Allah tarik sebab maksiat yang aku buat ini. Banyak benda aku dah buat untuk berubah antaranya aku cuba alih perhatian aku dengan bermain game.
Tapi boleh pulak sambil-sambil main game terpikir ke arah tu. Aku juga banyak baca dan dengar keburukan-keburukan p*rno tapi sekejap sahaja rasa insaf kemudian terjatuh balik. Selain itu, aku cuba banyakkan juzuk murajaah aku pada setiap hari tapi tetap sahaja aku tewas.
Apa yang aku perasan kesan buruk p*rno ini dalam kehidupan aku seharian ialah aku susah nak bangun subuh dan selalu solat hujung waktu.
Aku juga jadi cepat lupa perkara-perkara yang aku selalu ingat. Fokus aku terhadap sesuatu perkara pun dah berkurang. Dan selalu hidup aku rasa kurang motivasi dan hambar.
Tambahan lagi, aku selalu malu untuk berhadapan dengan orang ramai oleh sebab aku rasa sungguh hina diri aku ini biarpun orang sekeliling memandang aku tinggi. Selain itu, mata aku menjadi liar dan susah untuk ditundukkan.
Di samping itu, aku perasan yang Allah limitkan potensi diri aku yang sebenarnya boleh pergi jauh dalam bidang agama dan akademik. Di sebalik semua itu aku cuma boleh bersyukur sebab aku tak melangkaui batas sehingga berlaku curang dan berzina. Nauzubillah.
Buat para pembaca sekalian, doakan aku menang dan bebas daripada penyakit mental ini. Susah sungguh nak cabut akar yang tertanam dalam lubuk hati sejak separuh usia aku ini.
Doakan aku bangkit dan diberikan kesedaran dengan sebab musabab yang baik bukan dengan sebab musibah dan ujian.
Buat semua yang senasib denganku, semoga kita kuat melawan penyakit akhir zaman ini. Benda ini tidak normal ya biarpun masa kini orang anggap ia normal bagi lelaki. Ketahuilah kita sedang berpenyakit!
Buat isteriku yang solehah, maafkan abang sebab abang tewas lagi kali ini. Abang banyak kali berjuang dengan memikirkan sayang dan anak tapi tetap juga abang tewas.
Banyak kali abang suruh sayang doakan abang untuk jadi suami dan lelaki yang baik tanpa sayang tahu maksud di sebalik permintaan abang ini.
Dalam hati abang selalu menafikan bila sayang ucapkan “abang lah suami terbaik sekali”. Kerana hanya Allah lah yang maha tahu di sebalik topeng suami yang baik ini ada wajah hitam hodoh dan jelek. Semoga topeng ini tidak terbuka selamanya.
– Nemanja (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit