Assalamualaikum dan salam sejahtera. Pertama sekalinya, terima kasih kepada admin sekiranya catatan ini terpilih untuk dipublish. Catatan ini hanyalah merupakan satu luahan isi hati saya dan jujurnya bila saya membaca confession yang lepas dan saya lihat banyak komen – komen yang memberikan kata nasihat, saya terdetik untuk bercerita di sini.
Mungkin tak banyak, tetapi ini ikhtiar saya untuk lepaskan rasa sakit yang terpendam sejak sekian lama. Rasa sakit melihat seorang lelaki yang patutnya menjadi ketua keluarga tetapi dia pula yang menjadi batu beban yang berat untuk kami pikul.
Saya anak sulung dalam keluarga. Ayah saya tidak bekerja. Dia pernah berkerja di masa mudanya, tapi kerana kemalasannya, dia akhirnya berhenti. Bekerja di pejabat, berhenti. Hatta bekerja sebagai jaga juga berhenti. Jadi segala beban tanggungjawab tergalas atas bahu ibu kami. Di masa muda mereka bergaduh teruk kerana sikap ayah saya ini.
Tidak cukup dengan kemalasan bekerja, dia menghabiskan wang memenuhi nafsu muda, berjudi, meminjam along, katakan apa lagi, semuanya sudah dia lakukan.Masih saya ingat di umur tujuh tahun, sekecil itu saya melihat mereka berperang besar dan berakhir dengan perceraian . Namun, mereka rujuk semula atas dasar memikirkan anak – anak.
Ibu, saya sampai ke hari ini, masih terdetik di hati saya kenapa ibu rujuk kembali. Kerana kalau ibu tak rujuk, lelaki yang ibu panggil sebagai suami itu takkan dapat mencuba mencabul kehormatan saya pada usia belasan tahun. Sulit untuk saya ceritakan apa yang berlaku, cukup saya katakan Allah menjaga saya sehingga kini, kerana dua kali cubaan sewaktu tidur, saya disedarkan Tuhan daripada lena dan lelaki itu tak dapat berbuat apa – apa. Benar, tiada apa yang terjadi namun, kesan ketakutan itu masih ada di dalam hati saya sehingga kini.
Saya takut dengan lelaki. Di depan mereka, saya pasang topeng wanita besi, sehingga rakan yang rapat memberitahu saya digeruni lelaki, terlihat garang pada mereka. Tuhan saja tahu betapa takutnya saya dijodohkan dengan lelaki sebegini.
Saya lihat kiri dan kanan saya, sahabat saya dikurniakan bapa yang baik, sehingga mereka jadikan ayah mereka sebagai “batchmark” untuk mereka memilih pasangan hidup. Saya rindu. Saya inginkan perasaan melihat ayah saya sendiri dan berasa kagum. Abah tak perlu jadi kaya harta, cukuplah kaya budi untuk saya memandang tinggi. Untuk saya hormati. Tetapi, maafkan kakak,abah. Kakak tak mampu pandang abah sebegitu.
Abah dah tua sekarang, uban sudah makin memutih. Tapi abah masih lagi ada sifat malas dalam diri. Tidak cukup isteri menanggung makan minum, abah minta duit dari anak – anak yang masih belajar. Benar Tuhan itu tidak zalim. Disebalik ujian ini, rezeki Dia curahkan pada saya. Menjadi pelajar dengan kelulusan yang baik, mendaki menara gading dan kini mempunyai biasiswa.
Maafkan kakak abah, duit yang kakak beri kepada abah atas dasar kasihan, adakalanya diiringi cemuhan di dalam hati. Kenapa abah saya tidak sama dengan orang lain. Abah mereka menanggung mereka. Saya? Dapat saya kira berapa kali saya merasa duit daripada abah sedangkan menjadi tanggungjawab abah sediakan nafkah isteri dan anak – anak.
Syurga anak – anak itu bergantung kepada redha Tuhan dan redha Tuhan itu bergantung kepada redha ibu dan bapa. Saya bukan anak yang baik dan kerana itu saya merasa berdosa. Saya gusar sekiranya rasa dendam sakit hati kepada bapa saya ini akan memakan diri saya. Jauh di sudut hati saya, saya terlalu ingin memaafkan. Terlalu ingin melupakan apa yang terjadi, tapi buat masa ini, maafkan kakak abah, kakak tak mampu.
Saya perlukan nasihat daripada yang sudi menasihati. Isu keluarga seperti ini, sukar saya ceritakan kepada sesiapa kerana berkait dengan aib orang tua saya, justeru, tidak pernah saya ceritakan kepada sesiapa tidak kira betapa rapat pun saya dengannya. Lega sedikit hati dapat bercerita di sini walaupun tidak sepenuhnya kerana saya percaya selagi tidak saya lepaskan isi hati, selagi itu saya tidak mampu memaafkan.
Doakan supaya suatu hari nanti saya dapat memaafkan diri sendiri, memaafkan abah saya. Kerana itu hasrat hati saya. Doakan saya berjaya buang rasa sakit hati, rasa tinggi diri dengan abah saya sendiri. Akhirnya, doakan saya berjaya, supaya dapat saya berjasa kepada orang tua saya dan adik adik saya. Doakan saya. Doakan Abah saya. Saya mohon dengan rendah hati, usah dicemuh sikapnya, doakan yang terbaik untuk kami.
Terima kasih yang sudi membaca.
– Anak Perempuan Abah
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit