Assalamualaikum. Pertama sekali, cukuplah aku kenalkan diri aku sebagai Z. Aku dibesarkan dalam keadaan keluarga yang serba sederhana dan memiliki adik- beradik yang ramai iaitu 8 orang dan aku anak keempat.
Ayah aku telah meninggal dunia dan ibuku seorang suri rumah.
Perkara yang ingin aku tekankan di sini ialah mengenai ibu aku. Semenjak dari kecil, aku perasan ibuku kerap kali bersikap berat sebelah dan pilih kasih terhadap anak-anaknya.
Dalam keluargaku, terdapat dua anak kesayangan ibuku. Biarlah aku gelar mereka sebagai X dan Y. Mereka adalah antara terpandai dalam kalangan adik-beradikku. Sebab itu aku fikirkan ibu aku sayang lebih kepada mereka.
Sejak dari kecil, sekiranya aku atau adik-beradikku bergaduh sesama sendiri, ibu mesti membela X dan Y. Tidak kira sekiranya mereka betul atau salah.
Aku tidak kisah jika ibu nak marah kami, tapi perlulah adil. Boleh kata, menjadi perkara wajiblah untuk membela mereka.
Hingga ketika saat ini kami masing-masing berumur lewat 20an dan awal 30an, ibu tidak mengubah sikapnya. Siapalah aku untuk menegur dan siapalah aku untuk memaksa orang lain untuk sayangi diri kita?
Tetapi sekurang-kurangnya, layan anak-anak yang lain ‘as your children too’.
Ibu selalu menangkan X dan Y dalam semua perkara. Alasannya kerana mereka antara terpandai dalam keluarga. Ibu tidak marah jika mereka duduk senang lenang dirumah tanpa membuat satu pekerjaan pun, walhal kami yang lain…
Paling teruk, Y yang sejak dari kecil mula besar kepala bila ibu selalu menangkannya, hingga saat ini dia menjadi punca batu api sehingga ibu membenci aku.
Aku sedar aku hanya kerja biasa-biasa dan bukan kerja kerajaan. Aku hanya mampu beri duit belanja kepada ibu aku sekadar yang termampu mengikut gaji aku. Tapi, ibu tak pernah hargai pemberian aku.
Aku tahu aku bukan X dan Y yang bekerja memegang pangkat tinggi dan boleh beri ibu ribuan ringgit sebulan? Tetapi adakah wang ringgit yang jadi ukuran untuk mengemis kasih sayang seorang ibu?
Aku sangat terasa hati apabila datang ke kenduri, ibu hanya kenalkan anak-anak kesayangannya kepada orang lain, namun tidak pernah sekali mengenalkan diri aku. Dan ia kerap berlaku. Am I not your daughter mom?
Pernah suatu hari, ibu merendahkan aku di depan kawannya mengatakan aku hanya pelajar diploma kolej swasta sahaja, dan tidak setanding dengan kawanku yang masuk universiti awam. Jatuh air muka aku ketika itu. Aku hanya mampu diamkan diri dan menangis.
Meskipun aku kini merangkul ‘degree’ di universiti awam, namun ibuku hanya pandang sebelah mata dan pernah beritahu aku bahawa universiti dan jurusan yang aku ambil ada ramai orang lain boleh peroleh juga.
Malah, beliau juga hanya jawab endah tidak endah apabila kawannya bertanyakan pekerjaan aku. Bukannya aku mahu berbangga jenis pekerjaan aku, tapi hati aku bertanya adakah ibu malu dengan pekerjaan aku? Aku kerja halal dan bukannya buat kerja kotor.
Aku sangat kecewa dengan sikap ibu aku, sehingga satu hari aku mematahkan dan buang semua medal serta piala yang aku peroleh ketika sekolah.
Ini kerana aku sakit hati kerana ibu hanya meletakkan medal dan piala kedua-dua anak kesayangannya sebagai perhiasan di ruang tamu paling hadapan, walhal anak-anak yang lain hanya diletak tersorok di bahagian dapur.
Maaf, kerana aku seorang perempuan dan mungkin sedikit emosi.
Aku dapat rasakan semua pencapaian aku dalam hidup tak dihargai ibu. Kadang-kadang aku cemburu jika orang lain ada ibu yang tidak berat sebelah dan penyayang. Namun, hanya pendam rasa yang aku mampu.
Sehingga kini, aku hanya mampu menjauhkan diri daripada ibu kerana tidak mampu menanggung kesedihan dan kecewa dengan sikapnya. Aku tak mahu meninggikan suara bimbang dianggap derhaka.
Aku pernah tanya ibu apa salah aku hingga beliau tak mampu beri kasih sayang sama rata sama seperti X dan Y.
Namun, beliau tidak pernah mengaku sikapnya meskipun adik-beradik aku yang lain turut menjadi saksi. Aku seorang yang agak lantang apabila bersuara namun apabila timbul soal kekeluargaan aku jadi kaku.
Bukan niat aku untuk memburukkan ibu cuma apakah aku layak jadi anak ibu?
Bukankah anak itu satu anugerah dan amanah diberi Allah SWT untuk dijaga dan diberi kasih sayang?
Dosa anak kepada ibu memang ada, tetapi bagaimana dosa ibu kepada anak?
Aku selalu berdoa supaya aku tidak jadi anak derhaka sehingga mengabaikannya.
Sebenarnya banyak lagi, namun cukuplah setakat ini mampu aku luahkan
Maafkan aku anak yang berdosa dan tidak mampu jadi apa yang ibu harapkan.
– Z (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit