Please don’t judge people. You don’t know what it took someone to get out of bed, look and feel as presentable as possible and face the day. You never truly know the daily struggles of others. -Karen Salmansohn-
Tadi aku scroll fb, aku terjumpa kata-kata ni. Memori aku terus teringat satu scene yang buat aku sebagai pendidik kecewa dengan diri aku sendiri. Aku rasa aku teruk gila. Aku cuba share untuk pengajaran.
Ada seorang anak murid aku ni, aku namakan dia sebagai Danial, pelajar tahun 1. Dia ni selalu tak bawa buku. Hari pertama aku tanya, “kenapa tak bawa buku?” Dia senyum je tanpa jawapan.
Hari berganti hari, masih berulang kali juga dia tak bawa buku. Itu satu hal, aku tak kisah sangat. Tapi Danial ni lengkap pakej nakal dan suka buat suka hati dia.
Aku cakap pada dia, “awak ni dah lah buku tak bawa, lepas tu bising kacau kawan-kawan lain yang bawa buku”. Sekali dua je aku marah, lama-lama aku tak marah dah, aku hanya bebel biasa je.
Sebab aku pernah rasa macam mana downnya aku bila cikgu marah sebab tak bawa buku. Kena marah depan kawan-kawan. Tanpa sedar boleh beri kesan mendalam pada perkembangan psikologi.
Aku tahu jiwa kanak-kanak ni diaorang nak main. Jadi aku biarkan. Ada juga kawan dia yang lain sama-sama geng tak bawa buku dan nakal.
Tapi dia ni next level. Aku cuba untuk faham. Cuma kalau dia bising sangat je aku marah, lepas tu aku tak marah dah. Kalau dia nak main aku bagi main, kalau dia nak belajar, aku ajar.
Aku sangka aku dah jadi cikgu yang baik untuk dia. Tapi aku silap. Suatu hari Danial buat perangai berkali ganda kurang adab. Aku tak boleh tahan. Sebab dia jadikan sesi P&P pada hari tu kelam kabut.
Aku marah dia sampai dia menangis. Aku suruh dia berdiri depan kelas. Aku geram sangat. Aku rasa dia macam cabar aku.
Aku cakap pada dia dan beberapa kawan dia yang turut sama nakal,
“Awak ingat saya suka ke marah-marah? Saya tak suka, penat nak marah-marah ni. Saya tahu awak tu budak-budak, baru darjah 1, saya tahu dalam kepala awak tu nak main je. Memang saya tak boleh halang kemahuan awak sebagai budak-budak untuk main, tapi berpadalah”.
“Mentang-mentang saya tak marah, awak pijak kepala saya. Saya cuba faham awak, saya bagi awak main.
Saya faham kalau awak belum bersedia nak belajar betul-betul, saya tahu, saya faham, sebab tu saya biar je kalau awak nak berjalan, nak lari dalam kelas, tak bawa buku, kerja tak siap. Saya diam je tak marah, cuma saya kata jangan bising”.
“Awak buat kerja lain masa saya tengah mengajar. Awak main botol, awak melukis gambar raksasa lah robotlah, awak main pencil box Smiggle awak tu, awak main pembaris, pemadam ke apa ke saya tak marah pun.
Saya ambil je then cakap nanti nak balik nanti baru ambil kat saya. Saya cuma nak awak belajar adab, sebab tu saya ambil”.
“Ada saya marah? Ada saya denda awak? Tak. Saya tak marah. Saya tak denda. Tapi, macam ni awak buat kat saya?” Danial dah meleleh air mata dia.
Aku cakap, “Oo reti menangis? Ingatkan takda perasaan. Tadi bukan main melawan saya, kenapa sekarang awak nak nangis pula?”
Ya Allahh aku tak tau macam mana aku boleh ucap kata-kata macam tu, aku rasa kejamnya aku sindir dia macam tu . Dia budak-budak lagi. Tapi aku, aku tak boleh tahan. Aku tercakap. Lepas tu, lama aku diam. Aku serba salah.
Aku cuba rendahkan nada aku. Aku ceramah satu kelas. Lepas tu, aku cakap pada Danial,
“Nanti balik rumah, awak minta maaf pada mak dan ayah awak sebab awak nakal harini. Kesian mak ayah awak hantar awak pergi sekolah, ingatkan awak belajar, tapi tak, awak main.
Cakap pada mak ayah awak, Danial minta maaf sebab nakal harini sampai buat cikgu marah”. Dia angguk je sambil kesat air mata.
Lepas tu, aku cakap juga pada anak murid aku yang lain, “Awak yang lain ni pun sama, siapa rasa dia datang sekolah, lepas tu nakal, balik rumah nanti minta maaf pada mak ayah awak”. Sayu je suasana, semua senyap. Tak tahu lah diaorang faham ke tidak. Yelah, baru darjah satu.
Lepas habis marah tu aku dah tak boleh nak mengajar, aku cakap pada semua, “Saya minta maaf saya dah tak boleh teruskan. Tunggulah waktu balik”.
Aku takut aku marah lagi, jadi aku pilih untuk diam dan minta diaorang buat kerja sendiri. Aku rasa pertama kali aku marah macam tu. Ya Allah.
Selang beberapa hari lepas tu, aku ajar pada anak-anak murid aku Sirah Nabi Muhammad. Aku cerita kisah kefawatan ayahanda baginda nabi, Abdullah. Lepas habis cerita tu, aku soal jawab dengan anak-anak murid aku. Aku tanya,
“Kesian kan Nabi? Kecil-kecil dah takda ayah. Belum lahir lagi, ayahnya dah meninggal dunia”. Anak murid aku semua jawab, “kesiann” (dengan reaksi muka).
Aku sambung, “haa jadi awak semua ada mak ayah kan? Jadi, kena bersyukur. Kalau bersyukur ucap apa? Alhamdulillah. Macam mana nak tunjukkan rasa bersyukur? Kena selalu terima kasih pada mak dan ayah, dengar kata, kalau mak ayah awak minta tolong, pergi tolong, jangan lawan.
Kalau awak tengah main game mak ayah awak panggil, tinggalkan game tu. Kena selalu buat baik pada mereka, sebab nabi tak sempat nak buat baik pada ayahnya sebab tak sempat jumpa. Kecil lagi dah tak ada ayah. Umur nabi 6 tahun ibu nabi pula meninggal. Dah jadi yatim piatu. Kasihan nabi kita”.
Guess what? Tiba-tiba Danial bersuara, “cikgu, saya pun takda ayah”. Dia ucap tanpa perasaan. Sekadar memaklumkan sahaja. Naif wajahnya.
Aku terkedu. Ayah dia bercerai ke? Aku monolog sendiri. Aku tanya, “betul ke Danial?”. “Ya”. “Ayah awak sakit ke?”, saja aku tebak. “Haah”. “Bila ayah awak takda?”. “Masa saya dalam perut, ayah saya dah meninggal cikgu”.
Pap! Aku rasa macam ada batu hempap atas kepala aku. Aku rasa aku cikgu yang teruk gila. Aku teringat aku marah dia sebab perangai dia yang lain daripada anak-anak yang lain. Aku silap percaturan.
Walaupun aku tak pasti pun, betul ke Danial jadi macam tu sebab dia tak ada ayah? tapi aku percaya, itu mesti salah satu penyebabnya.
Aku, kita yang ada ayah tak akan tahu macam mana rasanya orang yang tiada ayah. Macam mana strugglenya hidup dia. Ya, Danial tak pernah dapat kasih sayang seorang ayah sepertimana aku dan kawan-kawan dia yang lain. Mungkin sebab tu dia berbeza.
Mak Danial pula seorang guru sekolah menengah, dah tentu sibuk. Dia lah ayah, dia lah ibu. Ya Allah kasihannya kau anak. Maafkan cikgu sebab pernah judge Danial sebagai anak yang nakal, anak yang tak dengar kata, walhal bukan awak pinta pun jadi begitu.
Siapa je yang tak nak jadi baik kan? Cuma awak tak jumpa jalan sebab tak rasa kasih sayang seorang ayah dan hidup bersama ibu yang struggle menguruskan segalanya.
Mungkin nakal awak tu cara untuk awak dapatkan perhatian dan kasih sayang. Malangnya, saya kejam dan tak cuba memahami awak. I felt so bad. Aku sangka, aku yang ajarkan Danial dan kawan-kawannya tentang syukur. Tapi sebaliknya, dia yang ajar aku. Aku betul-betul insaf.
Sejak kejadian itu, aku cuba tanamkan dalam diri aku bahawa setiap orang ada way of life mereka yang tersendiri, yang kita tak pernah tahu.
Sebab tu sebelum judge orang, khususnya anak murid (dalam kes aku), fikir dulu. Walaupun dia ‘hanya’ anak murid. ‘Kanak-kanak’ pula tu, tapi kesan pada emosi dia kita tak tahu.
Jangan selalu sangka buruk pada orang. Cuba kuatkan hati untuk terima kekurangan orang sebab cara kita masing-masing dibesarkan adalah tak sama. Kata orang, cuba duduk dalam kasut dia dulu sebelum kita nak judge dia.
Walaupun selalu juga aku tersasar untuk su’uzhon. Tapi kena cuba juga untuk betulkan balik tanggapan. Belum cerita lagi anak-anak yang hidup dalam serba kekurangan, kelaparan, broken family, yang kena hadap pelbagai harassments, yang ibu ayah sibuk tiada masa untuk mereka.
Kasihan mereka, datang sekolah kena marah lagi, kena palau lagi. Bagai keluar mulut buaya, masuk mulut harimau.
Mungkin sekolah adalah satu-satunya tempat untuk mereka bebas dan rasa disayangi, kita tak tahu. Sebab tu tak salah nak marah, tapi kena berpada-pada dan beringat. Aku cuba belajar itu.
Aku ni tak sampai setahun jagung pun sebagai pendidik. Banyak lagi yang kurang.
Sebelum ni aku hanya belajar teori sahaja, macam mana nak interpret seseorang melalui kata dan perbuatan. Macam mana tinggah laku seseorang dipengaruhi oleh komuniti dan persekitaran mereka. Macam mana nak capai komunikasi yang berkesan.
Aku rasa aku dah cukup faham dan boleh jadi pendidik yang baik. Namun aku silap, aku jauh lagi untuk capai tahap itu, banyak benda lagi aku kena hadap dan belajar.
Benarlah memang tak cukup sekadar faham teori selagi kau tak hadapinya secara realiti. Pengalaman adalah sebaik-baik pelajaran.
Aku tak tahu lah cerita aku ni related ke tidak dengan apa yang cuba aku sampaikan daripada quote yang aku jumpa tu. Tapi aku betul-betul rasa terpukul dengan apa yang aku dah buat pada Danial. Maafkan cikgu, Danial.
Please don’t judge people. You don’t know what it took someone to get out of bed, look and feel as presentable as possible and face the day. You never truly know the daily struggles of others. -Karen Salmansohn-
Doakan aku jadi pendidik yang baik untuk anak-anak murid aku. Doakan juga Danial dan anak-anak murid aku yang lain dilembutkan hati, dilapangkan jiwa untuk terima ilmu.
Ya Allah ampuni aku, bimbing aku untuk menjiwai anak-anak ini dan bantu aku untuk bantu mereka. Sekarang dah pkpb, aku rindu anak-anak murid aku.
– Teacher S (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit