Maafkan Ibu, Anakku

Assalamualaikum semua pengikut IIUM Confession. Sebelum tu, saya perkenalkan sedikit latar belakang, saya berusia 30-an, ibu kepada 3 orang anak, usia perkahwinan sudah 6 tahun dan seorang surirumah.

Penulisan saya ini sebenarnya lebih untuk meluahkan apa yang terbuku di hati. Maaf andai berterabur & tidak menarik.

Hendak mengadu pada orang tua, malu berserta tidak mahu menyusahkan hati mereka. Biarlah mereka hidup tenang di kampung tanpa perlu serabut memikirkan masalah rumah tangga anak2.

Kerana sebelum ini, saya banyak mengadu pada kakak kandung, namun memandangkan dia mengandung, jadi saya saya ambil pendekatan untuk tidak lagi meluah pada dia, supaya dia dapat melalui pregnancy journey dengan tenang.

Sebenarnya mereka tahu juga akhirnya baru2 ini, apabila satu kes dikira besar berlaku dalam rumahtangga saya, kakak saya tidak dapat menahan lagi untuk mendiamkan diri dari memberitahu kepada orang tua.

Reaksi orang tua saya apalagi, terkejut bukan kepalang. Disangka tiada masalah besar (sikit2 tu adatlah) rupa2nya ada batu menghempap.

Maaf saya tak dapat nak beritahu secara terus terang (kerana saya tahu di sini ada juga saudara & rakan maya yang menjadi peminat setia IIUMC, bimbang mereka dapat meneka siapa saya).

Sebelum saya menemui kesalahan terbesar suami itu, dia juga seperti suami2 bukan dambaan isteri di luar sana. Iaitu suka melepak dengan kawan2 hingga lewat malam,

Tidak suka bercakap dengan isteri, kedekut, tidak suka bermain dengan anak2, menggunakan kuasa veto/ego seorang ketua keluarga dimana kemahuannya perlu dituruti, jika tidak dia akan menghukum nusyuz ke atas saya.

Tetapi jika dia berbuat dosa antaranya seperti meninggalkan solat, itu dosanya dengan Allah. Betapa sakitnya tuh di sini apabila dengar ayat itu meniti dibibirnya setiap kali ditegur.

Sesungguhnya saya sudah berterus terang kepada orang tua untuk hentikan sahaja perkahwinan ini, kerana saya tidak nampak jalan terang dihadapan.

Namun, ditolak mentah2 kerana mereka menyuruh saya supaya terus berdoa dan berdoa moga Allah kurniakan hidayah kepada suami saya agar berubah ke arah kebaikan suatu hari nanti.

Ini kerana mereka tidak suka penceraian (mungkin sesuatu yang amat taboo bagi orang kampung), akan nampak buruk, maruah tercemar dan sebagainya.

Saya amat tersepit dengan keadaan ini. Terus terang saya katakan saya kerap kali memikirkan bunuh diri adalah jalan terbaik, namun setiap kali pemikiran itu datang, saya akan teringat pula dosa besar & jatuh murtad jika saya berbuat demikian.

Apabila melihat muka anak2, saya akan kesian serta sedih kerana saya melahirkan mereka tetapi mereka perlu berhadapan dengan sikap bapa mereka yang begini.

Mereka masih kecil, perlukan kasih sayang seorang bapa, sering juga bertanya kemana ayah (selain waktu bekerja).

Untuk pengetahuan, suami saya sendiri pernah berkata saya sebagai ibulah yang perlu melayan anak2, dia tidak perlu. Walaupun sudah diterangkan berkali2 tentang kasih sayang ibubapa kepada anak2.

Kalau diikutkan masa terluangnya amat banyak, cuti 3/4 hari seminggu. Banyak yang saya baca kisah bapa2 di luar sana yang sering mendambakan untuk meluangkan masa yang lebih lagi dengan anak2, namun tidak dapat dek kerana kesibukan tuntukan kerja.

Selain itu, perasaan cemburu juga terbit apabila suami jiran selalu meluangkan masa bermain/ menemani anak2nya diwaktu petang (walaupun hari itu dia akan berkerja malam).

Namun semua itu takkan berlaku ka atas anak2 saya, kerana bapa mereka lebih berminat kepada haiwan iaitu burung2 dalam sangkar.

Maafkan ibu anak2ku, andai ibu tersalah memilih bapa kepada kamu semua. Sudah puas ibu nasihat, tegur tetapi tidak mendatangkan hasil.

Jika bapamu melakukan penganiayaan kepada ibu sahaja tidak mengapa, tetapi kamu juga terpalit sama. Maafkan ibu sekali lagi anakku.

Kepada yang membaca confession ini sehingga habis, terima kasih saya ucapkan. Sekian… (dari ibu yang kecewa)

– Sumaiyyah (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *