Sedih. Aku sedih. Rasa hati berkecamuk. Aku terlihat trailer sebuah drama korea tentang kehidupan seorang wanita bekerjaya selepas melahirkan anak sulungnya. Lalu aku teringat akan kisahku sendiri.
Saat aku melahirkan anakku yang pertama, aku merasa sangat helpless dan loser. Motherhood yang aku tengah alami tidak seindah pelangi.
Ya, aku tempuh semuanya. Sama seperti drama tadi, aku rasa sangat gagal. Anakku menangis, aku tidak reti menyusukannya. Apatah lagi menguruskannya. Tidak seperti yang aku baca!
Aku cuba, bertanya bagaimana untuk menjadi ibu yang lebih baik. Aku cuba. Ibu cuba wahai anakku.
Baru berjaya dalam fasa penyusuan, selepas bebulan tak tidur malam, mengendong anak semalaman, anakku keliru puting semenjak aku mula kembali bekerja.
Aduhai anak, demimu ibu teruskan penyusuanmu dengan menjadi epmom.
Selang masa mengejar masa untuk mengepam susu, hatta di dalam kereta, sewaktu memandu pergi dan balik kerja, mahupun ketika semua lena di ulit mimpi.
Belum cukup dengan itu, tangisanmu juga cukup menguji sesiapa sahaja mendengarnya. Pilu hati bila pelbagai nasihat seakan-akan aku ini tidak berusaha menenangkan tangisan anakku.
Pasanganku pula, rimas agaknya mendengar aku dan anakku yang menyerabutkan dunia ini.
Aku menjauhkan diri bila aku rasa kami beranak menyusahkan. Aku cuba urus sendiri walau aku tahu aku sangat loser. Tapi kenapa uji aku lagi?
Aku dihamburkan dengan kenyataan dari pasangan aku bahawa di tidak dapat sayangkan aku, bahkan dari awal perkahwinan lagi. Aku hancur.
Tak mengapa, kembalikanlah aku dengan baik pada orang tuaku. Seketika selepas itu, aku tahu rupanya ada orang lain, yang sememangnya ingin dijadikan yang kedua selain aku selama ini. Aku hancur, sehancurnya.
Mana mungkin aku tidak hancur, bukan kerana pasangan aku mengkhianati aku,
Tapi kerana hasrat dan keinginan aku dan pasangan aku untuk memiliki zuriat sendiri, itu lebih lagi menghancurkan aku. Kenapa menginginkan si kecil itu, jika tahu ibu ayah yang retak yang diberi kepadanya.
Aku sangat merasa remuk, loser dan down. Saat aku gendong bayiku ke pejabat agama atas urusan cerai, hinggalah saat aku tidak dapat meneruskan lagi penyusuan bayiku akibat letih dan tertekan, aku bersalah pada anakku.
Saat aku perlu tinggalkan anakku di rumah orang tua selepas aku diusir dari rumah pasanganku kerana aku menganggu hubungannya dengan si dia, hanya Tuhan tahu betapa remuk hatiku menatap si kecil itu.
Seawal subuh, sedang anakku lena diuli mimpi, aku keluar memandu kereta ke tempat kerja sejauh 3 jam, balik sesudah Isyak baru tiba di rumah, aku rasa teramat bersalah kerana anakku mendapat aku sebagai ibunya.
Jikalah aku bukan ibumu, kamu tak akan bernasib seperti ini anakku.
Maafkan ibu sayang. Bila ibu tertengok trailer drama itu, ibulah ibu yang loser, bukan ibu yang terbaik buatmu, apatah lagi ibulah isteri yang dibuang oleh ayahmu saat ibu bergelut dengan cabaran untuk menjadi ibumu.
Maafkan ibu sayang. Maafkan ibu, ibu tak dapat jadi yang terbaik. Jika ibu bukan ibumu, maafkan ibu sayang.
– Ibu (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit