Maafkan Kami, Rakyat Malaysia!

Assalamualaikum Admin dan Rakyat Malaysia. Aku terpanggil untuk berkongsikan pengalaman aku menjadi PATI di Australia selama setahun.

Artikel ini bukan untuk menggalakkan orang Malaysia ke sana. Tapi aku hanya ingin berkongsi mengapa aku terjebak sehingga sanggup menjadi PATI di negara orang.

Dahulu aku juga seperti korang, marah dan rasa terhina apabila ramai rakyat kita ke Australia menjadi PATI. aku mencemuh mereka apa saja aku tidak luahkan kepada media mengenai sikap penting diri sendiri sehingga menyusahkan orang yang betul-betul ingin melancong ke Australia.

Malang tidak berbau, betullah orang kata, jika kita membenci sesuatu, janganlah terlalu membenci. Akhirnya aku sendiri menyerah diri ke Australia menjadi PATI secara tetap selama setahun.

Aku memiliki latar belakang yang agak bagus. Menjadi Pegawai di salah satu syarikat swasta di ibu kota. Mulanya semuanya ok sehinggalah ibu menelefon aku meminta aku pulang dengan segera.

Rupanya musibah berlaku didalam keluarga aku, ibu ditipu oleh agen hartanah dan melarikan wang simpanannya RM50000.

Tidak henti setakat itu, rupanya ibu menjadi penjamin kepada pakcik aku meminjam ahlong sebanyak RM100000. Ibu ditipu apabila diminta menandatangani borang penjamin kononnya borang itu dari Bank bukannya dari ahlong.

Kerana takut dihantui ahlong, ibu berpindah kerumah aku di ibu kota. Sebenarnya kami tiada rumah sendiri. Semuanya disewa. Kami tiada harta yang boleh dicagar untuk membayar hutang. Pakcik yang sepatutnya bertanggungjawab juga hilang entah kemana. Bermulalah hidup kami dalam keadaan ketakutan.

Kerana takut dikejar ahlong, aku cuba memohon pertolongan dari pihak P***, sebenarnya bukan mudah seperti diiklankan. Aku membuat temujanji, apabila kami sampai di pejabat mereka, kami meluahkan kepada mereka tentang masalah kami. Malangnya officer yang menjaga kes kami itu tidak menunjukkan sikap amanah dan hanya memerli ibu dengan perkataan yang tidak sepatutnya.

Demi Allah aku bercakap benar. Aku telah email kepada ketua mereka tetapi tidak dilayan. Kes itu akan berjalan apabila aku membayar 10% pendahuluan dan perlu ada sedikit duit untuk meyakinkan ahlong tersebut.

Kerana tidak tahan melihat muka officer terbabit, aku cuba untuk membuat loan di bank tetapi semua ditolak kerana jumlah terlalu tinggi. Masyarakat juga tidak kurang galaknya menghina ibu kerana bodoh menjadi penjamin.

Itu jugak ayat dari officer P*** tersebut sehingga membuatkan ibu menangis. Aku cuba meminta bantuan dari Pihak Polis, tetapi mereka hanya boleh menolong sekiranya kami diperas ugut.

Aku ke banyak agensi kerajaan, tetapi tiada siapa yang boleh menolong. Kerana terdesak, aku terpengaruh dengan kawan baik yang mengajak aku masuk satu skim D*** R** dan H*** *****n. (Boleh check di BNM). Kononnya RM1000 boleh dapat satu juta.

Aku bukan mengejar kekayaan, tapi aku ingin membantu ibu. 3 tahun aku tunggu, tetapi makin menjadi-jadi dana tersebut meminta duit, dan aku mula tersedar, yang aku ditipu.

Kerana tiada pilihan lain, akhirnya aku tekad membawa ibu lari ke Australia. Aku mengambil cuti setahun tanpa gaji, dan aku terbang kesana untuk mencari peluang pekerjaan.

Sesampainya aku disana, ibu bekerja sebagai pemetik bunga dan aku bekerja sebagai buruh binaan. Sebenarnya keadaan disana tidaklah perit seperti yang dikatakan dimedia massa. Kami dilayan dengan baik dan diberi tempat tinggal selesa.

Siang malam kami bekerja kerana ingin mengumpul wang. Kami hanya membayar minimum payment kepada ahlong tersebut dan kami berjanji akan lunaskan hutang secepat mungkin.

Kerana ibu pandai mengajar mengaji Quran, ibu diberi peluang untuk mengajar anak-anak Malaysia dan Indonesia di Masjid. Itu membolehkan kami mendapat income lebih.

Hampir setahun kami disana, kami dapat mengumpul AUD30000=RM98000 berkat kami kerja tanpa henti siang malam. Kami membuka order untuk katering, mengutip buah, buruh binaan dan juga cikgu agama. Alhamdulillah cukup masa kami untuk membayar segala hutang piutang.

Ikutkan hati, mahu saja aku menjadi buruh binaan disana, walaupun illegally, kami dapat merasakan negara Australia lebih mengamalkan cara hidup Islam lebih dari Malaysia sendiri. Walaupun PATI, tapi kami dilayan sama rata lebih-lebih lagi kepada orang tua seperti ibu. tapi kami akur, kami tidak boleh mementingkan diri sendiri.

Ibu juga tidak mahu kembali ke Malaysia kerana sayangkan anak-anak muridnya. tetapi aku beritahu kepadanya, cara kami ini salah, dan menyebabkan ramai akan menjadi mangsa immigration. Aku cuba apply working visa, tetapi bukan mudah kerana perlukan banyak wang. dan wang yang kami peroleh ini 100% untuk membayar hutang.

Aku dan ibu ingin memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia kerana mungkin orang seperti kami menyebabkan segelintir rakyat Malaysia menghadapi kesusahan untuk melancong ke Australia. Tetapi aku harap korang semua dapat memaafkan aku terutamanya ibu kerana sesungguhnya aku tiada lagi cara untuk menyelamatkan ibu dari menjadi mangsa ahlong.

Hakikatnya kerajaan Malaysia perlu bertegas menangani kes ahlong dan juga scam yang semakin berleluasa sekarang ini. Pihak Malaysia juga perlu mendalami masalah rakyat sehingga mereka lari menjadi PATI di luar negara. Ramai sebenarnya alami nasib yang sama seperti aku yang tidak ada cara lain untuk mencari rezeki lebih.

Dari menjadi pencuri, lebih baik bekerja dan mendapat hasil lumayan seperti kami. Aku cuma menyarankan yang mana tidak ada masalah yang berat seperti ibu dan aku, janganlah terlalu tamak mengejar duit sehingga menyusahkan orang lain. Kita kena terima hakikat seburuk mana pun Malaysia, kita adalah anak Malaysia.

Kalau ingin berhijrah, pergilah dengan cara yang elok dan sehingga kini setiap kali aku membaca kesusahan rakyat Malaysia untuk ke Australia aku akan rasa berdosa kerana aku juga penyumbang kadar peratusan yang tinggi menjadi PATI disana.

Sahabat sekalian, tiada siapa yang dapat membantu waktu kita didalam kesusahan. Tak ramai akan sudi menjadi sahabat kita sewaktu didalam kepayahan. Walaupun aku berjaya menyelesaikan masalah ibu, tetapi aku tahu ramai lagi yang senasib denganku. Aku harap korang bersabar dan cuba mencari jalan untuk menyelesaikan masalah.

Dunia ni luas, sebenarnya Allah tidak meletakkan sempadan untuk mencari rezeki, tetapi kerana undang-undang manusialah menyebabkan perbezaan kekayaan dan kemiskinan itu terjadi. Kerana tidak ramai yang mampu untuk keluar negara membina masa depan, dan kita yang tidak mampu ini tidak boleh buat apa-apa kerana tiada duit untuk berhijrah.

Semoga ada sinar baru kepada Malaysia supaya kita akan dapat merasai rezeki yang berbaloi dengan kudrat yang dicurahkan. Sesungguhnya aku rindu Australia, tetapi aku tetap rakyat Malaysia.

Aku tahu ramai yang akan memaki hamun aku, takpe, aku faham.. tetapi maafkanlah ibu aku.. Sehingga sekarang dia masih rasa berdosa kepada rakyat malaysia yang terkandas di airport kerana immigration.

Sekian…

Assalamualaikum WBT.

– Hamdan (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *