Maafkan Mama Ya Sayang

Assalammualaikum, aku doakan warga pembaca berada dalam keadaan yang sihat, dipermudahkan segala urusan dan bahagia dengan kehidupan masing masing.

Aku mohon untuk mengunakan medium ini bagi mendengar pendapat & nasihat ibu ibu atau sesiapa sahaja yang boleh memberikan aku semangat untuk menjadi ibu yang lebih baik di mata anakku.

Nama aku Lya (bukan nama sebenar), aku seorang ibu anak satu dan seorang ibu yang bekerjaya. Tahun ini, anakku baru masuk 4 tahun dan sehingga kini aku masih menghantarnya di rumah pengasuh.

Alhamdulillah rezeki bagi kami ditemukan dengan pengasuh yang baik dan sangat teliti menguruskan anakku, ia juga membuatkan aku rasa tenang bila memikirkan dia yang menggantikan tempat ku selama 10 jam menjaga anakku ketika aku keluar bekerja.

Sudah hampir dua tahun kami berpindah di rumah baru, dan kerana selesa dengan pengasuh aku masih menghantar anak di situ,

Walaupun aku terpaksa berpatah balik untuk ke tempat kerja yang berada di daerah yang berlainan dengan jumlah jarak pergi dan balik kerja (sambil menempuh kesesakan) kira kira 89km setiap hari.

Seawal 6.30 pagi aku akan keluar dari rumah dan akan tiba di rumah semula pada waktu magrib. Kadang kala jika aku perlu kerja lebih masa di ‘site’ , suami aku akan bantu ambil anak dirumah pengasuh.

Walaupun kadang kala terasa agak penat tetapi untuk memastikan anak berada dalam jagaan pengasuh yang terbaik aku gagahkan jugak kudrat ini.

Kadang kala aku dan suami ada berbalah bekenaan isu ni, suamiku meminta aku menghantar di taska berdekatan rumah kerana dia tahu aku penat tetapi aku sangat berat hati untuk menghantar kepada orang yang tidak aku kenali.

Tugas mengambil dan menghantar anak memang menjadi tugas aku kerana suami bekerja di kawasan yang lebih jauh bertentangan dari rumah pengasuh.

Masa yang ada bersama anak adalah pada waktu malam pada hari hari biasa, tetapi kami perlu tidur awal kerana esok kami perlu berpagi pagi untuk kitaran hari yang berikutnya.

Jadi dapat bayangkan berapa jam sangat masa aku dan suami dapat melayan anak kami kan? Terlalu singkat. Hari yang paling berharga untuk meluahkan masa bersama adalah pada hujung minggu.

Aku dan suami berbeza hari bekerja kerana salah seorang dari kami adalah penjawat awam, jadi ada hari yang hanya aku berdua dengan anak mengisi hari minggu kami dan ada hari yang hanya suami berdua dengan anak.

Masa untuk bersama bertiga itu tidak banyak kerana kekangan kerja & jika perlu salah seorang dari kami akan mengambil cuti supaya kami dapat meluangkan masa bertiga.

Apapun kami tetap bersyukur dengan kehidupan kami jika dibandingkan dengan orang lain yang jauh dari keluarga atau perlu PJJ suami isteri dan jadi ‘weekend husband-wife’ sahaja.

Aku doakan moga Allah permudahkan segala urusan kalian & Allah akan bantu kalian untuk disatukan semula dalam satu bumbung setiap malam seperti kami ya? Keep strong dear!

Mengimbau ‘ttc journey’ kami, Alhamdulillah selepas tiga tahun berkahwin dan pernah keguguran sekali, akhirnya kami dikurniakan seorang cahayamata yang sangat baik & bijak.

Cumanya, aku selalu merasa yang aku adalah ibu yang tidak baik dan tidak sempurna untuk anakku. Pada yang punya anak anak kecil pasti dapat bayangkan kecergasan anak pada umur umur begini kan?

Mereka sangat lasak, manja dan suka mendesak ikut kehendak mereka. Aku pula jenis yang cepat naik marah tetapi aku cepat sejuk.

Kadang kala aku terlepas memarahinya, dan pernah aku mencubitnya (tapi taklah sampai lebam) dek kerana marahkan hal hal yang dilakukannya ketika aku sedang sibuk nenguruskan tugasan lain.

Mungkin kerana aku penat dengan rutin harian kerja ditambah dengan perjalanan ulang alik yang jauh membuatkan aku hilang sabar sehingga aku berbuat begitu kepada anakku.

Saat melihat anak aku menangis dengan tindakanku, baru timbul rasa kesal dan aku merasa aku seorang ibu yang gagal kerana telah melukakan hati anakku yang sekecil itu.

Aku gagal menahan amarahku. Apalah anak yang baru berumur 4 tahun ni tahu kan tentang aturan hidup.

Kadang kala aku juga dimarahi oleh ibu ku kerana dia merasakan aku terlalu garang dengan anakku sedangkan anak aku hanya baru seorang. Ibuku anaknya ramai tapi seingat aku ketika umurku begitu aku tidak pernah dipukul atau dicubit begitu.

Honestly aku ada sedikit perangai pelik yang aku terlalu pentingkan kesempurnaan. Semuanya perlu bersih, kemas & berada pada tempatnya di mata aku.

Tetapi silap besarnya aku bila aku mendesak anak juga untuk jadi begitu sedangkan dia masih terlalu kecil untuk memahami kehendakku.

Kadang kala bila suamiku tidak melakukan apa yang aku minta dia buat seperti meletakkan seluar kotor di dalam bakul (pekara itu nampak kecil tetapi sangat besar bagi aku yang ada penyakit pelik ni),

Sudahnya aku akan terbawa bawa kemarahanku kepada anakku supaya anak aku tidak berperangai begitu.

Aku akan memarahinya sekiranya dia juga ikut tidak meletakkan baju kotor di bakul khasnya. Bukannya suamiku tak bantu tugasan di rumah tapi sekiranya dia buat sesuatu aku tetap akan merasa apa yang dia buat tidak cukup untuk memuaskan hati aku.

Ya, dan sudahnya aku sendiri yang akan penat dengan perangai aku sendiri. Ya aku tahu aku salah. Kerana kita tak perlu sentiasa sempurna sebab kita perlu buat apa yang kita mampu sahaja kan?

Suami aku tidak kisah orangnya, dia bukan jenis yang membebel bila melihat rumah bersepah tapi disebabkan perangai dia yang tak kisah tulah kadang aku marah dengannya.

Ya, aku tahu aku bukan isteri yang baik dan kadang kala terlalu ‘overthinking’ dan ‘overdoing’ barangkali? .

Walaubagaimanapun, aku sedang cuba mengubah perangai pelik ku itu supaya aku tidak sakit hati dan penat sendiri dan aku sedang berusaha menjadi orang yang lebih tenang seperti suamiku.

Aku pernah dengar rumah yang bersepah juga adalah tanda anak kita bijak dan sihat. Aku sedar itu, tetapi aku tetap merasa jika kita terlalu dibiarkan takut sampai ke besar nanti anak ambil mudah soal kebersihan diri dan sekelilingnya.

Kami sudah lama merancang untuk menambah zuriat tetapi hingga kini Allah masih belum izinkan, tetapi dalam tempoh berusaha ini, aku selalu ragu ragu dan merasa layakkah aku mempunyai anak kedua sedangkan yang satu inipun kadang aku gagal menjadi ibu yang baik.

Aku cukup kagum dengan ibu ibu yang mempunyai ramai anak tetapi masih mampu menjadi ibu yang baik, melayan semuanya sama rata dan dalam masa yang sama tetap menjaga menampilan diri.

Selepas seharian penat bekerja dan melakukan rutin harian di rumah seperti memasak, aku juga suka melayari media sosial dan membiarkan anakku menonton kartunnya di ‘channel online’ menggunakan tv.

Saat itu sebenarnya aku merasa aku juga ibu yang pentingkan diri kerana sepatutnya masa singkat yang ada aku perlu melakukan aktiviti fizikal bersama anakku.

Ya tidak dinafikan walaupun kita dah tua dan mempunyai anak, kita juga gemar melakukan aktiviti yang kita buat sejak dari bujang kan?, macam aku suka menonton drama korea.

Cuma bezanya kalau dulu aku boleh semalaman tak tidur maraton drama korea tetapi semenjak berkahwin dan mempunyai anak kalau ada 16 episod tu makan masa berminggu jugak la nak habiskan ikut masa yang ada.

Biasanya aku akan berjaga malam atau jika episode tu menarik sangat aku akan menonton ketika anakku sedang menonton tv.

Kemudian, selepas itu aku merasakan aku pentingkan diri , aku membiarkan anak aku menonton tv sedangkan aku membuat aktiviti sendiri. Adakah aku dikira seorang ibu yang pentingkan diri?

Tetapi sejujurnya kadang kala aku merasa aku juga perlukan masa untuk ‘self healing’ diri aku yang penat dengan rutin harian.

Aku jugak nak buat apa yang aku suka, supaya aku ada kekuatan untuk bersemangat meneruskan hari hari mendatang.

Bila aku meluahkan pada suamiku, dia akan mengatakan yang aku sendiri tidak mahu mencuba pengasuh baru yang lebih dekat supaya dapat mengurangkan penat rutin harianku yang berulang alik jauh.

Dia merasakan itu adalah antara puncanya. Aku tahu apa yang dia katakan itu ada betulnya tetapi itulah aku, tetap merasa selagi aku mampu aku akan teruskan.

Adakah pandangan dan cara aku salah? Aku inginkan pendapat anda semua dari perspektif anda. Mohon berikan nasihat nasihat yang membina ‘please’?

Aku merasa mungkin hingga kini Allah belum menghadirkan zuriat ke dua ( selepas hampir setahun lebih mencuba ttc) kerana aku belum betul betul menjadi ibu yang sempurna dan baik untuk anak pertamaku.

Itu yang membuatkan aku ‘down’ dengan diri aku sendiri. Semasa kerja aku selalu mengimpikan aku akan ada lebih banyak masa dengan anak dan saat ‘pandemic’ tiba Allah berikan banyak masa saat aku dapat bekerja dari rumah. Bagi aku itu juga satu rezeki.

Walaupun agak huru hara contohnya bila ada ‘meeting online’ atau kursus ‘online’ di rumah anak akan menganggu tetapi aku tetap gembira sebab aku masih dapat melihat anakku didepan mata sambil membuat kerjaku.

Selepas habis PKP ini pasti aku akan rindukan saat saat ini. Aku berharap aku mampu menjadi ibu yang lebih baik, juga anak yang baik buat kedua ibubapa dan mertua ku, supaya anak aku juga boleh menjadi anak yang baik untukku.

Aku sedar, bila kita sudah menjadi ibu, banyak benda perlu kita korbankan supaya kita dapat jadi yang terbaik buat semua disekeliling kita terutama untuk amanah yang Allah telah berikan kepadaku iaitu Anak.

Doakan aku ya semua, semoga aku ada rezeki untuk menambah zuriat, kerana sebenarnya aku hanya mempunyai satu tiub fallopio sahaja lagi dan itu juga antara sebab aku merasa rendah diri dan takut jika aku tidak dapat hamil lagi.

Tapi apa pun aku tetap bersyukur kerana Allah masih kurniakan aku zuriat dengan keadaan ku yang cacat begini.

Bukan aku tidak bersyukur, cumanya aku harap moga ada rezeki untuk aku memberi kawan kepada anakku yang selalu bermain seorang diri ketika aku sedang sibuk membuat aktiviti harian lain.

Aku doakan semoga Allah kurniakan rezeki zuriat kepada anda semua yang belum dikurniakan zuriat hingga ke saat ini dan moga Allah memberikan yang terbaik dalam kehidupan anda semua.

Terima kasih kerana sudi membaca luahan ku yg tak seberapa ini, dan maafkan aku sekiranya luahan aku ni ada yang silap di mata anda.

Moga kita sama sama berubah ke arah kebaikkan dan menjadi ibubapa yang terbaik untuk anak anak kita & moga anak anak kita membesar menjadi anak yang baik & akan memimpin tangan kita ke syurga Allah nanti, Inshallah. Aamiin.

Yang sayang kamu :

Mama yang tak sempurna,

– Lya (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *