Maafkan Saya Cikgu

Hari ni saya bangun seperti biasa. Menghadapi rutin harian untuk terus hidup. Ya terus hidup. Alhamdulillah Allah masih beri kekuatan untuk saya bangun mencari secebis rezeki dan ilmu Allah yang tak pernah habis. Lumrah hidup akan ada turun dan naik dalam segala hal. Dalam emosi saya yang masih sedang cuba bangun dan bangun setiap hari dalam dunia yang serba menekan, saya terbaca satu post dari satu group FB yang berbunyi :

“Sebenarnya pelajar yang buas di sekolah still contact cikgu. Pelajar yang cemerlang, terbilang, terhilang di sekolah dulu terus hilang”

Saya rasa terkedu, terkilan, sedikit down dan bercampur segala perasaan selepas terlihat komen dari guru-guru di post tersebut. Saya mungkin tergolong dalam golongan yang hilang tu. Maafkan saya cikgu.

Bila saya terbaca komen-komen tersebut dari insan yang bergelar guru dan juga ibu ayah di sekolah, jelas terlihat kekecewaan itu diluahkan. Mungkin dari rasa kecewa seorang guru terhadap muridnya membuat saya sentiasa diuji dengan kegagalan dan penuh liku hidup. Maafkan saya cikgu.

Langsung tidak ada rasa angkuh dan sombong tidak menghubungi cikgu dengan teknologi sekarang yang boleh berhubung dihujung jari saja. Tapi dengan cabaran hidup hari ni, kadangkala buat saya jatuh terduduk tersungkur. Keyakinan diri mula hilang. Bila usia meningkat, kawan juga makin menjauh. Masing-masing sibuk dengan haluan sendiri. Yang dah berjaya sentiasa bercerita kejayaan. Yang masih mencipta kejayaan di lewat usia, masih mencari kekuatan untuk bangun dan terus cuba menamatkan pelajaran. Dan saya sekarang, masih berjuang di rantau orang. Bertahun-tahun hidup sendiri, belajar sambil bekerja, rindu keluarga, namun keinginan tinggi untuk turut menghadiahkan kejayaan buat orang tersayang seperti kawan yang lain buatkan saya kuat untuk habiskan apa yang dah saya mulakan. Maafkan saya cikgu.

Saya tak pandai menulis. Jadi, hanya sedikit luahan ini semoga dapat melegakan hati guru-guru yang merasa pelajar-pelajarnya hilang. Saya dan kawan-kawan lain yang sedang berusaha untuk terus tabah dalam cabaran hidup sekarang sangat memohon redha cikgu-cikgu supaya sentiasa mendoakan yang terbaik dalam perjalanan hidup kami. Mungkin untuk bersua muka masih belum berkesempatan, namun pengalaman menuntut ilmu dari cikgu-cikgu sekalian sentiasa dalam ingatan.

Lagi sekali mohon sangat cikgu-cikgu jangan pernah rasa kecewa dan tak redha dengan kami. Kami bukan sengaja. Kami kadang-kadang tak mampu berhadapan dengan tekanan emosi sendiri. Kami hilang keyakinan berdepan dengan masyarakat. Kami bukan hilang. Kami cuma perlukan masa untuk bangkit. Maafkan kami cikgu.

– Pelajar Yang Hilang

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit