Maafkan Yong, Abah

Lama dulu aku ada tulis kisah hidup aku. Boleh baca kat sini, (https://iiumc.com/abah-dan-pak-teh-aku/).

Harini rasa nak tulis lagi. Minta maaf panjang betul dan berterabur. Jiwa kacau sikit.

Aku ingat lagi, dulu hari-hari abah kejutkan bangun pagi, mandi dan abah sisir rambut aku. Abah tocangkan kemas-kemas.

Masa tu darjah satu, sekolah aku dekat je dengan kem abah, hari-hari abah hantar aku gi sekolah. Sampailah satu haritu abah datang jemput aku balik mengejut.

Abah kata nenek sakit kuat, kita kena balik kampung sekarang. Sampai dekat kampung rupanya berita palsu, sekadar trick adik beradik abah supaya abah berhenti kerja dan duduk dekat kampung, dekat dengan atuk nenek.

Sejak dari itu, hidup kami berubah 360 darjah. Abah menjadi buruh kampung untuk menyara kami anak beranak. Tapi masih tak cukup, mak pula berkorban masuk kerja kilang sebab nak top up perbelanjaan rumah.

Masa tu anak 4 orang, sekolah, susu pampers, belanja rumah. Gaji abah tak cukup, kadang takde pendapatan langsung. Mak dapat gaji RM1000 sebulan, jujurnya mak, semua mak bagi abah pegang.

Start dari tu mak dah buat silap. Tanggungjawab menyara keluarga dah jadi tanggungjawab mak sebab mak dapat lebih dari pendapatan abah.

Bila mak mengandung lagi, mak berhenti kerja kilang. Mak mula kerja potong ikan dekat bagan. Hujung minggu aku dengan angah ikut tolong mak habiskan bakul-bakul ikan tu.

Satu bakul besar RM7, kalau mak sorang mak boleh potong 4 bakul. Kalau kami berdua ikut dapat 7 bakul sehari. Sampai satu masa mak tak larat nak potong, mak mula basuh pinggan dekat warung pulak.

Kepada yang bertanya kenapa hubungan abah dan pakteh sebegitu sekali. Dulu masa muda abah jenis panas baran. Habis satu family abah amuk kalau ada tak puas hati even dengan arwah atuk dan nenek pun.

Siapa je yang suka dengan orang jenis kepala angin? Jadi abah dipulaukan dalam adik beradik dia. Bila abah dah berkeluarga, dengan kami sekali dipulaukan. Abah rasa jauh sangat daripada family dia.

Sebab tu masa disuruh berhenti kerja dulu, abah terus buat sebab nak diterima kembali dalam family dia.

Sampai sekarang kalau ada yang minta apa-apa abah sedaya upaya tunaikan walaupun terpaksa berhutang. Walau terpaksa ketepikan kami.

Abah sanggup buat apa saja, asalkan abah dapat jadi part of his family semula. Tapi aku rasa banyak yang ambil kesempatan aje. Gitulah.

Harini aku bawa anak aku main kat pasir pantai. Aku jadi teringat masa kecil dulu abah bawa kami main di pantai. Bahagia sangat masa tu. Abah adalah segalanya bagi aku masa tu.

Tiap kali exam dapat nombor 1, aku mesti tak sabar nak balik rumah bagitau abah. Tiap kali aku menang apa-apa pertandingan dekat sekolah rendah dulu, mesti aku tak sabar nak tunjuk hadiah dekat abah.

Sebab abah lah punca aku belajar sungguh-sungguh dekat sekolah dulu. Seronoknya dapat buat abah bangga.

Kenangan-kenangan ni buat aku rasa sebak bercampur kesal. Aku pun tak ingat bila abah start jadi pemarah. Silap sikit semua ditengking dijerkah. Kesempitan pendapatan, anak berderet mungkin antara puncanya.

Abah mula selalu bergaduh dengan mak, mak pula selalu menangis kesedihan takde tempat nak mengadu nasib.

Maka, kami adik beradiklah yang selalu jadi peneman tangisan mak setiap kali, saban hari. Hati rasa macam dicarik-carik setiap kali lihat air mata mak menitis. Dalam diam rasa marah pada abah dipendam.

Melihatkan semua itu aku berazam, jika ada perbalahan yang berlaku antara aku dan suami kelak tidak boleh di depan anak-anak. Andai kata suami buat silap, aku bertanggungjawab untuk tidak memburukkan suami di mata anak.

Dan andai kata aku buat silap, aku berharap suami juga takkan memburukkan aku pada anak-anak. Penting, sebab inilah jarum-jarum halus punca runtuhnya akhlak anak-anak nanti.

Aku tak mahu anak-anak ada rasa benci pada ibu bapa macam yang pernah aku rasa dulu. Anak akan autom4tik pandang serong pada ibu bapa, sekali gus hilang rasa hormat tu.

Bila rasa hormat kepada orang tua ni takde, apalah yang tinggal dalam keluarga tu? Takde apa dah, jadi broken family jelah last-last, macam family kami.

Abah, maafkan yong abah, kerana mengenang setiap buruk abah kepada yong, mak dan adik-adik. Yong lupa setiap jasa yang pernah abah lakukan sepanjang hayat yong dengan abah. Abah bela yong dari tapak kaki yong sebesar dua jari sampai dah berjaya sekarang ni.

Jahilnya yong kerana menilai dan merasa kecil hati dengan abah selama ni. Siapalah yong nak menghukum perilaku abah, itukan kerja Tuhan?

Sedangkan tanpa abah, yong tak mungkin ada dalam dunia ni. Apalah sangat jasa yang yong dah balas sampai nak ungkit semua kesilapan abah?

Apa hak yong untuk kecil hati dengan abah sebegitu sekali sedangkan abah yang azankan yong masa lahir dulu, dengan tangan abah, abah suap yong makan, abah jugaklah yang besarkan yong dari yong tak pandai berjalan sampai jadi orang sekarang ni.

Tak bersyukurnya yong selama ni. Ada orang anak yatim, takde bapa. Tapi yong ni abah masih ada, yang yong kenangkan hanya yang buruk-buruk je. Yong minta maaf abah. Sungguh.

Bila fikir-fikir balik, apa pun jerih perih yang dah berlaku, itulah namanya kehidupan. Sentiasa cekalkan hati. Biarlah sepahit apa pun, kalau kita sabar akan ada manisnya kelak.

Hidup aku bahagia sekarang, hubungan aku dengan abah pun okey, takde rasa nak marah dah. Instead aku rasa kasihan sangat dengan abah.

Rambut abah dah putih, tangan yang menyuap aku makan dan menyisir rambut aku dulu, kini kedut seribu, kesihatan abah pun dah mula merosot.

Kalaulah masa dapat diputarkan semula, macam-macam yang aku nak ubah dalam keluarga aku waktu dulu-dulu. Aku nak jadi contoh yang baik pada adik-adik, biar semua kasihkan abah sama rata macam yang kami lakukan pada mak sejak dulu.

Tak kira apa yang dah berlaku, aku tetap sayang abah sampai bila-bila. Sekarang aku berdoa agar Allah beri aku peluang untuk ganti semula masa dulu yang banyak terbuang dengan mengasihi abah sedaya upaya aku.

Adik yang dekat U baru ni syukur alhamdulillah result pertama dia cemerlang. Yong bangga sangat dengan Uda. Belajar rajin-rajin ya.

Alhamdulillah juga, Uteh yang kanser dulu kini dah berstatus cancer survivor. Masih perlu bertemu janji bulanan dengan doktor, kerana peratusan untuk sel jahat kembali menyerang masih ada,

Tapi sekarang dia dah kembali sihat dan ceria macam dulu. Dia kuat, kerana dia tidak berseorangan.

Terima kasih atas semua doa-doa kalian buat Uteh. Terharu sampai menangis aku baca doa anda semua. Terima kasih sangat-sangat, Allah dah makbulkan doa anda semua.

Akhir kata,

Terima apa yang sudah terjadi,

Ikhlaskan apa yang tidak boleh diubah,

Betulkan apa yang masih boleh diperbaiki,

Sementara masih ada masa.

Terima kasih kerana membaca.

– Cicak kobeng (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *