Hai, saya Liana, seorang mualaf yang sebelumnya telah berkahwin dengan suami saya, Wan.
Enam tahun usia perkahwinan kami dan saya baru melahirkan anak yang kedua lima bulan yang lalu.
Saya tak bekerja, jadi semua tanggungjawab berkaitan kewangan ditanggung oleh suami saya. Suami yang uruskan semua urusan rasmi keluarga kecil kami dan saya uruskan urusan rumah dan anak-anak.
Walaupun saya memilih untuk tak bekerja semenjak ada anak, tapi saya bahagia dan suami kata dia ok saja, masih selesa.
Suami bekerja di luar kawasan, putaran waktu kerjanya adalah dua minggu bekerja, dua minggu cuti. Cuma kalau ada hal urgent di pejabat, paling lama pun 18 hari bekerja.
Namun masih cukup waktu untuk saya dan anak-anak apabila dia cuti. Kami tiada masalah selama enam tahun dengan putaran kehidupan begitu.
Cuma, akhir-akhir ini saya berasa lain. Mungkin naluri saya sahaja ataupun mungkin ada sesuatu yang agak lain.
Sebulan selepas saya melahirkan anak kedua kami, saya perasan suami dah lain macam. Bermula dengan cutinya ketika saya sedang berpantang.
Semasa saya melahirkan anak pertama dulu, suami boleh cuti sebulan lebih kerana dia bertukar syif dengan kawan, dan sekaligus mengambil cuti isteri bersalin dua minggu.
Berbeza pada kali ini, dia kata dia hanya boleh cuti dua minggu sahaja. Kalau dikirakan sebenarnya dia boleh je cuti sebulan dengan mengambil kira cuti bersalin dan cuti syif yang sememangnya gilirannya.
Awalnya saya persoalkan, namun di atas alasan kerja dengan ss mesej daripada atasannya, saya terpaksa turutkan walaupun makan hati kerana terpaksa berpantang sendiri.
Kedua, semenjak daripada saya berpantang sendiri tu, suami sangat jarang nak pulang ke rumah daripada kawasan beliau kerja. Saya anggap bulan yang baik jika dia bercuti selama dua minggu seperti sebelum ni. Ada saja alasannya dan dengan ss daripada atasannya.
Apabila dia balik, dia selalu dengan hpnya, dah tak macam dulu lagi perhatiannya pada kami anak beranak. Mungkin perasaan saya saja, atau mungkin ada sesuatu yang agak lain sedang berlaku. Entahlah…
Ketiga, ada suatu kali ketika anak sakit, saya memanggil dia balik sebab anak admit di hospital. Ya, dia balik tapi bukan dengan kereta kami. Dia bawa kereta lain yang sah2 bukan kereta kami sebab kereta tu kereta import, kami hanya guna kereta tempatan saja.
Saya tanya tu kereta siapa, dia jawab kereta atasan dia. Alasan pinjam kerana nak cepat sampai ke rumah. Saya rasa pelik, kerana walaupun kereta tempatan, boleh saja sampai ke rumah dalam waktu yang sama sebelum ni.
Hal yang musykil seterusnya, percutian syarikat mereka. Setiap tahun akan ada percutian diberikan kepada mereka dengan setengah daripada perbelanjaan ditanggung oleh syarikat dan selebihnya sendiri.
Sebelum ni, saya selalu ikut suami juga ke percutian bersama colleagues dia. Even dah ada anak pertama pun dia bawa saya dan anak sekali.
Tapi setelah kelahiran anak kedua kami, dia gunakan alasan tu supaya kami anak beranak tak ikut. Katanya, anak masih terlalu kecil untuk dibawa bersama.
Tapi, tempat mereka pergi tu memang tempat pelancongan yang sesuai untuk keluarga pun. Aku malas nak bertekak, sebab dia yang akan menanggung perbelanjaan tu nanti, jadi saya iyakan saja. Jadi, dia pun pergi sendiri dengan colleagues dia.
Yang agak lainnya, bila saya tengok gambar, suami saya selalu bersebelahan dengan atasan dia. Boleh dikatakan dalam setiap gambar yang di pos oleh salah seorang colleague dia, kedudukan suami akan bersebelahan dengan atasan dia.
Lupa nak cakap, atasan dia tu perempuan, seorang janda yang juga ada dua orang anak yang masih kecil. Suami pernah bercerita yang atasannya itu baru bercerai kerana suaminya ada perempuan lain. Mengingat cerita suami tu dulu buat saya rasa semakin insecure.
Bila saya melihat hal-hal ini beberapa bulan ni, saya rasa macam ada sesuatu yang agak lain sedang berlaku. Saya pernah check hp dia, tapi takda apa yang meragukan. Whatsapp conversation dia dengan atasan perempuan tu pun biasa saja, hanya tentang kerja.
Gambar sosial media suami dan whatsapnya pun masih gambar kami sekeluarga. Entahlah.. Tapi naluri saya kuat berkata ada sesuatu yang sedang berlaku. Tapi, bagaimana jika naluri saya salah?
Jika betul suami saya ada sesuatu di belakang saya, apakah yang akan saya buat? Adakah saya akan memfailkan perceraian, sebab saya memang tak dapat terima untuk dimadukan.
Saya tak dapat nak bayangkan saya berkongsi suami dengan orang lain. Jika kami bercerai, anak-anak macam mana? Mereka masih terlalu kecil. Saya pun tidak bekerja. Semua ini bermain dalam fikiran saya.
Saya hanya mampu berdoa agar naluri saya ni salah dan agar suami tidak menjandakan saya demi janda lain. Biarlah perkahwinan kami ini kekal hingga ke hujung nyawa kami.
Serabut sangat,
– Liana (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit
Mungkin ada sesuatu yang sedang berlaku di antara suami dan atasannya. Puan boleh mula siasat.